Monday 5 May 2014

Lap Top, Kuda Semberani (HADIAH CERPEN 2018, YADIM, BADAN BAHASA SABAH DAN DAILY EXRESSS



Lap Top, Kuda Semberani

oleh Sabahuddin Senin.

Penyesalan tak patut berterusan, tapi sakitnya bagai tak terperi sampai menusuk ke dalam kalbu. Tapi setelah berfikir lagi, ya semua ini ada hikmah disebaliknya. Cerita ini tak patut disebar-sebarkan apa lagi kepada teman yang dekat sekalipun, satu dunia akan tau, mudah dengan berita mengada-ngada yang disebarkan melalui internate. Itu akan menjadi beban dirimu kelak. Tapi kalau setakat berita tentang ini, lap top Kasim sudah rosak, hanya berita kecil. Kasim tak rasa terdera dan tersiksa. Walaupun sebenarnya ia adalah tekanan jiwa pada Kasim. 

Kasim berbicara sendiri. Tapi dia menyembunyikan kegelisahannya. Tak ada orang yang tau sekalipun kawan yang dekat, jiran sebelah atau kolejnya di pejabat. Semua tak tau tentang lap top Kasim, kesayangannya, sudah habis tempoh hidupnya. Kasim tak ingin menyebutnya rosak atau  sudah jadi barang buangan, kerana selama ini lap top itu adalah satu-satunya yang paling berharga dalam hidup Kasim.

Entah, hari itu nahas datang, apa penyebabnya, di mana khilaf atau memang ajal sudah sampai, 'tetiba' lap top yang bertahun-tahun sebagai teman, kekasih dan pekerja yang terbaik dan yang menurut perintah telah tidak berfungsi lagi, mati sekaligus, tidur selamanya, pulang ke alam baqa, semua dokumen-dokumen penting tak dapat diselamatkan 'menjadi korban.' Tapi ada pula suara simpati yang membisikkan ke daun telinga Kasim,"'cubalah, hantar sama si Raju, mungkin boleh diselamatkan."

Terus terang saja sebenarnya Kasim masih merasa bersalah. Kerana ketika lap top ini masih 'hidup' dan berfungsi dengan baik, Kasim pernah terucap kata-kata yang tak pantas, kurang enak, dan kasar. Kasim pernah marah-marah, sekali naik berang Kasim memukul meja dan lap top itu hampir jatuh terhentak ke atas lantai. Waktu itu Kasim sedang marah terlebih-lebih batas.

“Mengapa kau tak bilang padaku, kalau kau juga telah lelah, memorimu sudah penuh tak seperti mula-mula dulu, kau punya memori yang besar dan kapasitas untuk memuat data juga besar. Mengapa kau tak memberi isyarat. Sedikit isyarat tentu telah kuambil langkah terbaik untuk menyelamatkanmu. Tapi sayang semuanya sudah terlambat,” keluh Kasim.

Kasim tak ingin nanti ditanya, pelakuan yang kasar padamu telah menyebabkan alasan pertama kau hilang kuasa dan mati. Sekalipun Kasim sedar 'lap top' ini sebenarnya bukanlah dapat disamakan seperti orang yang suka mengomplain dan derhaka. Cuma Kasim gusar, kebiadapan Kasim masa itu terhadap lap top yang sangat setia ini tak dapat diampun. Astagafirullah.

Kasim tidak ingin yang sebab ini menjadi mimpi buruk Kasim setiap malam. Apa lagi menjadi lingkaran syaitan yang kusut muncul dalam fikiran Kasim.

“Ya Rabbi, semoga aku dapat menyelamatkan dokumen-dokumen, foto-foto kenangan, khazanah dari masa lalu.” Kasim berdoa tulus.

Kasim pernah membaca riwayat hidup seorang besar. Ia tak ambil peduli dalam kondisi bagaimana pun dia akan meneruskan kerjanya, menulis. Apakah ketika anak kecil menjerit, menangis, dalam keadaan bising sangat, dia santai saja meneruskan kerja tulisnya. Pernah tulisannya hampir selesai, terjadi kebakaran. Dia tak marah lalu ia menulis semula manuskripnya. Menurut dia, tulisannya akan lebih baik dari sebelumnya. Hari itu kena pada Kasim, dia mengomel sepanjang hari.

Sebenarnya Kasim jarang menoleh balik pada yang lepas. Masa silam, masa yang telah berlalu. Mengenangkanmu, 'lap top' dia akan menjadi tersiksa. Biarkan ia lepas perlahan-lahan dari genggaman memori. Kasim mencintai lap topnya. Walaupun orang lain fikir Kasim mengada-ngada. Tak mengapa. Yang jelas Kasim terbiasa dan sangat kasih dengan lap top ini. Dan Lap top ini seperti telah mengenali diri Kasim sejak Kasim masih remaja.

Kasim tak menyimpan rahsia apa-apa. Kerana lap top itu sendiri tau diri Kasim dari luar dan dalam. Tak ada yang Kasim sembunyikan. Mereka saling percaya satu sama lain.

“Kau telah mengenalku sekian lama, bukan?” Tanya Kasim, maksudnya kepada lap topnya.

“Alangkah siksa setelah mengenalmu begitu lama, berpisah tanpa sepatah kata, Aku kehilanganmu.” Kasim masih merasa bersalah.

Di luar tadi, guntur bukan main hebat seperti menempeling diri Kasim dan terpelanting ke sudut rumah.
                                                             
Sie la vie, sekadar kata-kata menghibur Kasim. Dia mengenangkan lap top kesayangannya. Lap top ini pernah ikut Kasim ke sana ke mari, ke mana saja kasim pergi ia pasti ikut. Kasim tidak pernah meninggalkan lap  top kesayangannya lebih dari sehari. Ketika Kasim ke luar negara, Sydney, Tokyo, atau Kepulauan Pasifik, ia pasti menjadi teman perjalanan yang terbaik.

Jelas lap top ini tak pernah mengomel. Ia teman setia sepanjang jalan. Ketika Kasim tergerak ingin menulis, ia selalu siap.  Hampir 24 jam ia berada disamping Kasim, tolak masa tidur dan ke bilik air, ia ditinggalkan tapi tak lama. Setelah selesai urusan  Kasim pulang menghadap lap top, dan ia diam tak berkata apa-apa. Inilah teman baik ketika diperlukan lap top sentiasa berada disampingnya.

Kalau lap top ini seperti kuda semberani bersayap yang terbang tanpa sempadan, melayang di cakerawala dan ia terbang bebas ke mana saja, menemukan orbit baru. Inilah kehebatan lap top ini, ia adalah penyempurnaan mimpi Kasim. Ia dapat ikut berkelana ke mana saja. Kasim menganggap semua ini adalah kurnia Allah.

Setelah sehari peristiwa tragik itu, Kasim berangkat ke Kuala Lumpur. Kali ini sendiri tanpa lap top kesayangannya. Kasim merasa kehilangan. Terasa benar masa Kasim dalam kapal terbang sebelum berlepas. Paramugari telah mengumumkan sebentar lagi kapal terbang akan berlepas. Penumpang-penumpang senyap. Semua tertib dengan lamunan masing-masing. Memang terasa kapal terbang ini bergerak melaju sebelum meninggalkan landasan. Kasim duduk dekat jendela, Kasim boleh melihat bandar raya Kota Kinabalu sepintas.

Kasim tak begitu tenang. Fikirannya masih merayau. Masih pada lap top. Kasim tak dapat mencari sebab mengapa lap top itu tak lagi memberikan reaksi. Diam, hilang kuasa dan seperti putus nyawa. Mengapa diri Kasim seperti ini akibatnya terlalu sayang pada suatu benda lebih dari segala-galanya.

Aduh! Kasim tak dapat membayangkan apa tindakan selanjutnya. Kasim kehilangan akal. Pagi tadi lap top itu masih “ok” masih baik dan menekuni semua perintah Kasim. Ratusan kata-kata malah mungkin jutaan telah terkumpul dan tersimpan dalam data pada la top kesayangannya ini. Orang lain tak tau rahasia Kasim hanya lap top ini. Hubungan Kasim dan lap top, terlalu dekat dan payah untuk dipisahkan.

Kalau nak dibandingkan, lap top ini hampir seperti lampu Aladin. Ya serupa! Bisiknya pada dirinya sendiri. Kasim boleh terbang melayang jauh sampai ke bintang-bintang, orbit dan galaksi baru. Kasim puas dengan perkhidmatan yang diberikan oleh lap top kesayangannya.

Kasim terus membayangkan apa-apa saja tentang lap top istimewa ini. Ia seperti kuda semberani yang bersayap. Kasim ikut saja terbang dalam imaginasinya. Kasim tak pernah membuat batas antara lamunan atau fikirannya.

“Tragik, tragik.”

Tak habis-habis Kasim mengeluh dan rasa bersalah. Sebenarnya Kasim terlalu sayang pada lap top ini.

“Apa salah kalau Kasim suka dan sayang pada lap top, soal jawab dalam dirinya.”

“Orang lain juga pun boleh sayang pada kereta, rumah atau kasih pada dirinya sendiri.”

Lihat si Raimi itu, kereta merahnya itu dibuatnya seperti kekasihnya. Tiap hari ia mengelap dan membersihkan luar dalam kereta kesayangannya. Ia jadi majnun dengan keretanya itu. Sampai Raimi memarahi orang kalau tersentuh sedikit pun pada kereta kesayangannya. Jadi, buat Kasim, kalau dia kasih pada lap top lebih dari segala-galanya, orang lain tak boleh cemburu atau mengata.

Tak habis-habis Kasim cuba membalas dan menjawab pada sesiapapun ketika mereka cuba membuat lawak tentang dirinya dengan lap top. Bagi Kasim, lap top ini adalah suatu yang bernilai. Jadi, adalah biasa buat Kasim tak membiarkan orang lain menyentuh apa lagi menggunakan lap top kesayangannya ini.

Siang malam lap top ini berada disisinya. Tak kira makan minum, kecuali mandi, tidur dan bilik air. Itu pun Kasim akan mengawasi lap topnya dan mata Kasim tak akan lari dari memandang pada lap top itu.

Boleh dikatakan tak ada masa buat Kasim membiarkan lap topnya sendiri. Kasim pasti ada di situ. “Kau adalah kuda tungganganku, atau kapal angkasa. Terbang bersamaku ke mana-mana saja.” Kasim bercakap-cakap sendiri.

Kasim memejam mata. Cuba menenangkan dirinya. Kapal terbang terus melaju pada kecepatan yang tinggi. Kasim melayang-layang tanpa landasan. Dirinya terangkat dalam ruang udara dan pohon-pohon, bukit dan Bandar raya yang ditinggalkan menjadi kecil. Laut terbentang luas.

Ayuh!Kudaku semberani, lebarkan kepakmu!

Tadinya dalam keadaan kesal Kasim melihat lap topnya tadi perlahan-lahan bertukar menjadi kuda semberani yang mempunyai kepak yang lebar siap menurut perintah. Terasa udara dingin, Kasim dapat melihat warna kemerahan, senja di bawah sana.

Kasim menarik nafas panjang, panjang. Dan membuat perintah kepada Kuda Semberaninya berlari kencang. Kasim meninggalkan belahan siang dan mulai memasuki belahan malam. Kasim melihat ruang gelap dan perlahan-lahan bintang-bintang bermunculan di angkasa raya.

Kini Kasim dan kuda semberaninya perlahan-lahan masuk dalam kawasan terapung. Sekali-sekali Kasim melihat komet melintasi langit malam. Bumi telah jauh dia tinggalkan di bawah. Kasim melihat bumi seperti sebiji telur dan akhirnya setitik noktah.

Kasim tau dia telah berada jauh, sangat jauh dari bumi leluhurnya. Kasim melihat angkasa raya seperti pohon besar dengan buah-buah yang bergayutan dengan butir-butir bintang. Lebat buahnya, semua dahan dan rantingnya penuh dengan butir-butir bintang dengan cahaya gemerlapan.

Kemudian Kasim membuat perintah kepada Kuda semberani supaya merapati pohon besar angkasa raya itu. Kasim ingin berteduh sebentar di situ untuk menghilangkan kepenatannya. Kasim fikir, dia telah berkelana di angkasa  raya ini dalam satu waktu yang panjang. Otaknya tak dapat mengira sudah berapa lama.

Di sini takaran waktu tak dapat diukur lagi. Inilah kebesaran Tuhan semesta Alam. Kasim ingin menjelajah sejauh rasa dan fikir di luar ukuran waktu. Kuda semberani Kasim telah mendekati pohon angkasa raya itu. Dia melihat ramai mahluk angkasa lepas, mereka kelihatan damai.

Tiap kali berpapasan Kasim mengangkat tangan dan memberi salam. Ternyata mahluk angkasa raya itu faham. Semua itu meresap ke dalam diri Kasim.

Kasim melihat ada sebuah pintu gerbang dan kuda semberani Kasim masuk ke dalam. Akhirnya, kuda semberani berhenti  dekat dengan  pohon besar. Kasim boleh mengapai butir-butir bintang.

“Indah.”  Kata suara hati Kasim.

Kasim turun dari pelana kuda semberani, mencari tempat untuk bersandar pohon angkasa raya itu. Dalam sejenak saja, Kasim terlelap. Fikiran dan suara hatinya bersatu. Semua inderanya pun seperti ikut berehat. Kasim biarkan alam raya menyatu dalam dirinya. Segala-galanya menjadi bulat dan damai.

Entah sudah beberapa lama Kasim terlelap di situ. Dari lidahnya, Kasim seperti terucap,” Tiada yang kekal abadi segalanya akan berakhir, yang kekal abadi Yang Punya Kuasa atas kamu, Tuhan semesta Alam.”

Kasim memandang ke arah bumi dan mencari-cari arah ke sana. Suara hatinya membawa fikirnya kembali pada landasan. Bumi begitu jauh terasa Kasim payah untuk kembali ke sana. Kasim cuba segala ikthiar supaya dia dapat kembali. Mustahil, Kasim boleh kembali lagi ke bumi. Kasim merasa bimbang.

Ya Tuhan! Aku mohon pada-Mu.

Rasa kesal  Kasim mulai berubah kepada satu kekuatan dan kemahuan. Kasim naik pelana kuda semberaninya lalu memacut punggungnya.  Sepantas kilat derap langkahnya membawa Kasim kembali pada dunia nyata. Bumi makin dekat dan dari ruangan terapung Kasim masuk ke wilayah graviti, melaju ke bumi. Begitu hebat kelajuan itu, kuda semberani dan Kasim terpisah.

Dalam keadaan darurat ini, antara alam nyata, fikir dan imaginasi bertembung satu sama lain. Melahirkan satu  dentuman besar, begitu dahsyat seperti ledakan bom nuklear. Kasim terlempar dari kuda semberani dari dua arah yang terpisah. Kasim berusaha tidak terjatuh dari kuda tunggangnya tapi ternyata dia tak dapat berbuat apa-apa selain melihat kebenaran perpisahan ini telah menjadi kenyataan. Tiada yang kekal abadi, hanya kembali kepada-Nya.

Dari jauh Kasim tak dapat berbuat apa-apa, kuda semberani, tunggangannya perlahan-lahan menjadi api komet yang meletus di satu belahan langit yang lain.

Kasim memejam mata kembali ke dalam dirinya. Kembali ke dunia alami. Penglihatan Kasim kabur tapi tak lama kemudian berubah.

Kapal terbang melucur terus ke destinasi. Paramugari mendekati Kasim membangunkannya. Dari tadi Paramugarai memandang Kasim bercakap-cakap sendiri dan sekali-sekali seperti mengigau, memekik lalu diam. Semua ini terjadi masa kapal terbang hendak berlepas dan dalam beberapa minit setelah meninggalkan landasan.

Paramugari datang kepada Kasim ingin membantu Kasim keluar dari mimpi buruknya. Lalu paramugari itu  bertanya kepada Kasim,”Encik, ok?”

“Ya.” Jawab Kasim ringkas. Memandang ke luar jendela kapal terbang. Di luar gelap, kapal terbang masih di tahap ketinggian.

Kasim mengangkat kepalanya seperti sedang bertafakur. Tiada yang kekal abadi, yang kekal hanya Dia. Lap top kesayangannya juga adalah benda yang tak kekal. Dan kuda semberaninya yang hidup dalam fikirannya itu tak akan bertahan lama, semuanya akan kembali mengalami proses pereputan yang ia juga terkandung dalam takaran waktu.

*Disiarkan oleh Daily Express 8 Julai 2018