Monday 25 June 2018

Banjir, Tanah Karuhai dan Halimah (Daily Express)

Banjir, Tanah Karuhai dan Halimah
oleh Sabahuddin Senin

Ini bumi Karuhai, langit karuhai, tanah Karuhai, rimba Karuhai, di sini kalbu Karuhai dan aku. Kejadian malam dan siang untuk mereka yang dapat berfikir.

Langit belum ada tanda-tanda akan redah. Hujan turun tak berhenti. Sudah beberapa hari ini, Halimah duduk di beranda. Matanya kekadang memandang rumpun bambu. Pada hari-hari biasa ketika angin bertiup, rumpun bambu itu seperti orang menyanyi, bergerak-gerak, lemah gumalai mengikut kekuatan angin bertiup. Tapi kali ini, kelihatannya ia seperti sedang bertafakur.

Agak lama Halimah memerhati paras air keruh yang tak berhenti. Kini air telah sampai ke Pohon Bambangan yang besar itu di bawah sedikit dari laman rumahnya yang dekat dengan payah. Rumah Halimah letaknya tinggi sedikit tetapi air pun telah sampai pada anak tangga dan air masih terus naik.

Halimah tersedar dari lamunan oleh sepasang burung Merak hinggap di pohon cempedak, berehat  sebentar seperti pasangan ini berhijrah ke tempat lain. Seakan berkata kepada Halimah,"Kami singgah sebentar." Halimah mengangguk lemah. Tak sedar dia berbual-bual dengan sekawan burung. Tak lama pasangan itu pun terbang meninggalkan Halimah sendiri.

Dalam masa banjir begini Halimah rasa tak kesepian, kerana sejak kecil dia telah terbiasa sendiri. Alam di sekitarnya seperti jiran tetangga, rumpun bambu, pokok cempedak, terap, bambangan, monyet, biawak, angin, tanah payah dan semuanya adalah jiran bagi Halimah. Dia memang tak pernah kesunyian, apa lagi bosan.

Ini bumi Karuhai, langit karuhai, tanah Karuhai, rimba Karuhai, di sini kalbu Karuhai dan aku.  Pertarungan kalah menang akan memberi warna hidup. Tiap langkah tak akan berhenti, tiap tindakan terkawal, damai pada diri.

Suaminya, Arif telah hampir lima bulan lalu telah berpulang. Ingatannya masih pada arwah suaminya, selama hidupnya telah memberikan kekuatan padanya. Mereka berkongsi hidup selama lebih dari 20 tahun. Dalam penderitaan dan kesenangan mereka harung bersama. Mereka tak pernah mengeluh. Di tanah  Karuhai ini, mereka berjuang, dan menoreh getah.

Hidup harus ditangani dengan perjuangan dan pengorbanan, demikianlah  pegangan hidup Arif dan Halimah. Mereka selalu memberi peringatan satu sama lain. Di saat terakhir pun  Arif membisikan sesuatu ke telinga Halimah, dan dia mengangguk tanda faham untuk terus melanjutkan perjuangan hidup ini.

Air mulai menyentuh anak tangga kedua dan ketiga.

Halimah duduk sendiri, tidur sendiri, makan sendiri, mandi sendiri, dan sakit sendiri dan semua itu Halimah tak peduli. Kerana semangat hidupnya tak pernah kendur. Hidup sendiri telah menjadi hal biasa.  Halimah tak perlu banyak fikiran. Dan dari perkahwinan dengan Arif, mereka tak ada anak. Mereka telah berusaha sejak muda, tapi tentang ini mereka selalu redah, 'belum ada rezeki.'

Ini bumi Karuhai, langit karuhai, tanah Karuhai, rimba Karuhai, di sini kalbu Karuhai dan aku. Siang perkasa, cinta dan khidmat rangkaian kasih tak akan pernah luntur.

Halimah bersyukur kerana dia jarang sakit. Demam selesma dan sakit ngilu itu dianggap oleh Halimah penyakit biasa. Rumah papan atap zink ini telah berusia 20 tahun hampir dengan usia perkahwinan Halimah dan Arif.

Mereka telah membeli tanah tiga setengah ekar ini, dengan harga empat ribu ringgit. Tanah ini tak jauh dari Sungai Mesapol. Di tanah ini ada sedikit pokok kayu getah.

Tak jauh dari rumahnya beberapa pokok manggis, cempedak dan limau. Musim hujan tanah tiga setengah ekar itu senang digenangi air, sampai ke lemak betis, ketika hendak menyeberang ke jalan besar air pula sampai paras paha dan pusat. Halimah tak berapa peduli tentang banjir. Dalam hati Halimah, banjir akan surut juga akhirnya. Paling tiga hari hujan atau seminggu lepas itu air surut, dan sungai Mesapol akan mengalir seperti biasa.

Dari pagi hujan turun, lima hari berlalu, belum berhenti. Halimah melihat tempayan dan berkas air yang lain penuh dengan air hujan. Halimah tak akan kekurangan air. Suplei air boleh sampai dua minggu sampai hujan turun lagi. Halimah pakai air hanya guna untuk tanak nasi, air minum, mandi dan mencuci. Selama ini pun Halimah sangat hati-hati dengan makan minumnya.

Ini bumi Karuhai, langit Karuhai, tanah Karuhai, rimba Karuhai, di sini kalbu. Karuhai, legenda anak Kedayan dan aku. Sekali apapun yang datang, langit mnejadi saksi, perjuangan tak akan berhenti, kemenangan hanya pada yang sabar.

Pernah juga terfikir dalam benak Halimah ketika Arif meninggal, dia jual saja tanah ini dan pergi berhijrah ke tempat lain. Tapi fikiran itu cepat-cepat dibunuhnya kerana dia telah berjanji pada dirinya  dan almarhum, tidak akan meninggalkan tanah Karuhai ini. Itulah pesan Almarhum. Dan ini dipegang oleh Halimah. Dia akan tinggal di sini sampai akhir hayat.

Halimah menarik nafas dalam-dalam. Air masih naik.  Langit gelap. Hutan dekat halaman rumahnya kelihatan masih damai menerima kurnia Allah Ta’ala ini. Kehijauan dan kesuburan hutannya  masih kelihatan seperti hutan jati. Belum tersentuh  sepenuhnya. Payau dan pelanduk masih merayau walaupun makin sedikit di rimba Karuhai.

Halimah bersyukur kerana hutan jati dekat halamannya membolehkan Halimah mencari keperluan ubat-ubat tradisi yang dipelajari dari kedua orang tuanya. Dia selalu bicara kepada teman-teman, kenalan dan jirannya,” Khazanah turun-temurun. Selagi ada hutan yang terlindung, khazanah pengubatan herba dan akar kayu akan selamat dan terpelihara.”

Halimah kenal tumbuhan dan akar-akar yang boleh dimakan dan tak boleh dimakan dari hutan halaman rumahnya. Kemampuan dan ilmu pengetahuannya tentang ubat-ubat tradisi telah mendorong hidupnya lebih bererti. Orang kampung selalu datang minta pertolongan, Halimah akan berusaha membantu kepada orang yang memerlukan.

Ini bumi Karuhai, langit karuhai, tanah Karuhai, rimba Karuhai di sini kalbu Karuhai dan aku. Karuhai anak bumi leluhur, kasih ibu adalah kasih abadi, pengorbanan tak ada sempadan.

Fikiran Halimah berbaur dengan seribu satu macam idea. Dari awal-awal Halimah tidak akan membiarkan orang menumbang dan membakar hutan. Kebimbangan Halimah, kalau hutan ini tidak terkawal nanti tidak ada yang akan ditinggalkan kepada generasi akan datang untuk mewarisi hutan Karuhai yang penuh dengan herba ubat-ubatan tradisi.

Dalam usia menjangkau setengah abad, Halimah dapat melihat semua perkara dengan pertimbangan sederhana dan firasat. Kepada sesiapa saja, pesan Halimah ini, kepada orang yang ingin mendengar supaya jangan sesekali membakar hutan dan menumbang sesuka kerana ini jelas akan merugikan kepada anak-anak bangsa di masa akan datang. 

"Sekarang mereka tak peduli, tapi esok mereka akan melihat hikmahnya." Bisiknya pada dirinya sendiri.

Halimah tak suka pada orang yang mendera atau menzalimi binatang apa lagi memberi makan racun. Tiap kali Halimah melihat orang-orang berburu suka-suka menembak hidupan liar, hati Halimah terasa terluka dan siksa.

Halimah sedar pelanduk dan payau di hutan sekeliling rumahnya mulai pupus. Inilah yang tidak dapat Halimah buat apa-apa, dia hanya menyaksikan semua itu.  Satu masa dulu, Halimah dan Arif hampir bergaduh besar dengan orang-orang  yang berburu itu datang ke halaman rumah mereka untuk tujuan suka-suka. Mereka menembak apa saja terlintas di depan mata mereka, biawak, kera, tupai dan burung, tak kira besar atau kecil. Dan tak mempedulikan kehadiran mereka berdua.

Bulan lalu, ada orang, tak jauh dari rumah Halimah, cuba menumbang pokok kayu kertas di tanah Halimah. Sakit hati Halimah bila melihat orang-orang yang tak punya hati dan tak peduli tentang alam sekitar.

Pernah pada suatu musim kemarau, orang diam-diam membakar hutan. Apapun tujuannya hampir hutan Karuhai dan halaman rumahnya hanggus semuanya oleh api.

Apa dah jadi!  Halimah meregut. Dia hanya melihat dan saksi mata pada kejahatan itu. Kejadian yang menyayat hati. Mereka tak peduli. Kalau mereka nak bakar hutan mereka buat sesuka hati. Dulunya hutan rimba Karuhai kini telah jadi botak tak ada satu pokok, hanggus jadi debu.

Mata Halimah memandang bukit. Dia mencari-cari sesuatu, bunyi ranting patah dari arah bukit tapi jelas dia tak mendengar apa-apa. Bukan suara guntur dan kilat. Hari itu petir menyambar pokok cempedak yang selalu berbuah manis. Kini pokok cempedak itu telah mati.

Karuhai, dan Arif datang silih-berganti dalam fikiran Halimah. dia layan semua.

Tak jauh dari rumah Halimah terdapat sebuah kampung di atas air. Dulu penduduk kampung kurang, orang kampung sendiri kurang suka berumah di situ. Tapi hari ini, penduduk kampung makin bertambah. Ramai orang datang dari luar berumah di situ. Ketua kampung pun agak mudah dibawa berunding. Orang luar beli tapak, kini kampung ini telah ramai dengan orang-orang baru dari pelbagai suku dan bangsa, dalam dan luar.

Halimah melihat perkembangan itu dari jauh. Dia sendiri pun tak tahu apakah ini adalah merupakan pembangunan dan kemajuan untuk kampung. Walapun begitu buah fikiran Halimah tidak pernah diminta. Halimah sendiri pun tak teriyah-iyah untuk menanyakan pandangan Halimah. Dia sendiri adalah generasi kelima asal kampung ini.

Hidupnya terpisah dari masyarakat kampung, Halimah tak hairan kalau dia  kurang bergaul secara terbuka. Namun demikian dia tidak ingin mencari musuh dalam hidupnya. Masa suaminya hidup, Arif sendiri pun tak pernah gaduh apa lagi bertengkar mulut.

Biarlah biarlah! kata Halimah perlahan kepada dirinya sendiri. Usianya telah menghampiri separuh abad.

Air sungai telah melimpah tebing dan telah masuk  ke bawah kolong, kini perlahan-lahan naik. Halimah tak hiraukan semua itu. Ini tanah kelahirannya. Dia dibesarkan di sini. Ibunya telah meninggal ketika dia masih kecil, berusia kira-kira sembilan tahun, dia dibesarkan oleh Mak Ciknya, Mak Iyah.

Mak Iyah sangat menyayanginya. Menjaga kebajikan dirinya sekalipun Mak Iyah seorang janda yang tak beranak. Suami Mak Iyah, Haji Mastor meninggal lima tahun sebelumnya. Jadi, Halimah adalah anak kemenakan Mak Iyah yang sangat dekat di hati nuraini Mak Iyah.

Musim hujan ini membawa balik kenangan. Ia adalah mahkota hati yang menghiasi perjalanan hidup seseorang.

Halimah mulai mengenangkan semua ingatannya semasa hidup bersama Mak Iyah. Halaman rumah Halimah cukup luas, dia melihat hujan belum redah. Hutan basah kuyub seperti telah lama berendam dalam cuaca sejuk. 

Halimah asyik memandang rumpun bambu, pohon manggis, langsat dan cempedak. Dia biarkan matanya menyerap semua itu. Masuk ke dalam retinanya dan ditafsirkan oleh otak Halimah.

Ini rimba Karuhai, tanah si Karuhai, Karuhai gagah perkasa, lagenda Kedayan, anak yang kasih pada ibu. Pengorbanannya adalah bulan purnama, doanya sempurna, dua kalbu yang telah bersatu, anak dan ibu.

Mak Iyah seorang pencerita yang terbaik. Banyak cerita-cerita rakyat Kedayan yang dikenal oleh Mak Iyah. Cerita-cerita itu pula telah dia ceritakan pula pada Halimah. Sampai hari ini Halimah ingat ceriita itu di luar kepala.

Hujan belum mau berhenti.  Air sungai makin deras mengalir sampai ke laut Sipitang. Fikiran Halimah terus datang bergolek seperti kepala air sampai ke muara membawa semua apa saja turun ke muara. Kerana sendiri, Halimah melayan fikirannya.

Memang terlalu sukar baginya untuk meninggalkan tempat ini. Kerana di sini semua legenda hidup Kedayan hidup dalam jiwa raga Halimah.  

Siang seperti telah dilipat ke dalam malam. Malam berlenggang perlahan tapi pasti ke arah tuju, seperti sungai yang mengalir sampai ke laut lepas.

Masa begini telah mengetuk ingatan masa lalu, masa anak-anak, remaja dan dewasa. Air hujan seperti memberi nafas pada hidup ini. Segalanya kembali seperti foto-foto silam dari album dirinya sendiri. Halimah tersenyum.

Musim banjir begini, penduduk kampung menjadi resah. Ada yang telah meninggalkan rumah pergi berlindung di rumah saudara jauh dari deras air sungai dan hawa dingin.

Fikirannya terbang ke sana ke mari. Halimah tak peduli. Dia rela, membiarkan semua fikirannya bergumul satu sama lain. Inilah keseronokan  dan keasyikan Halimah.

Malam ini dia tak terasa lapar. Rumah Halimah masih pakai lampu minyak tanah. Lampu lestrik masih belum sampai ke rumahnya, paip air juga belum sampai. Jadi, Halimah hidup sederhana. Seadanya. Dia tak pernah menyesali kehidupan sederhana ini. Dia telah biasa dan akur dengan hidup begini.

Halimah rasa damai. Tiap bulan tak diganggu dengan bil air, lestrik dan kereta. Halimah tak pernah iri hati pada orang lain atau tetanggannya yang punya segalanya. Itu rezeki dia.

Ada orang perli Halimah. Sekarang sudah abad 21, tapi masih ada orang masih mau hidup di gua batu. Tapi Halimah tak peduli, dia nak cakap apa saja, itu dia punya fasal. Cakap-cakap orang tak akan merugikan Halimah. Masuk telinga kiri keluar telinga kanan.

Gosif telah  menjadi barang yang sedap bagi setengah orang. Mereka tak akan berhenti dalam tiap bual kalau tidak cakap tentang orang lain. Orang lelaki pun sudah sama dengan orang perempuan. Orang lelaki sudah rasa sedap untuk duduk minum kopi sambil bergosif.

Halimah tak peduli.

Maghrib tadi Halimah kerjakan salat setelah itu dia duduk-duduk melayan fikirannya, Karuhai, Mak Iyah dan almarhum suaminya sementara menunggu datangnya waktu Isha. Air telah naik ke paras tangga terakhir, enam anak tangga telah tenggelam. Sekejap lagi akan mencercah lantai rumah. Tapi Halimah tenang saja. Dia tahu Allah akan menolongnya. Selama ini dia tak pernah putus berdoa. Hanya Allah temannya tempat dia tumpahkan segala isi perut dan fikirannya.

Dia yakin pertolongan Allah akan datang. Kekuasaan Allah atas segala-galanya. Hujan dan banjir pasrah pada kekuasaan Allah. Dia yang menghidupkan dan Dia yang mematikan.

Hujan telah berhenti, air sungai masih mengalir deras. Hutan di sekitar rumah Halimah sunyi. Bunyi air masih terdengar dari rumah Halimah.

Ini bumi Karuhai, langit Karuhai, tanah Karuhai rimba Karuhai, di sini kalbu Karuhai. Kasih Ibu ribuan kurnia, pengorbananmu perjuangan sampai kiamat.

Halimah memandang sosok tubuh dari pintas imaginasinya. “Karuhai.” seperti melihat kali terakhir. Hadirnya Karuhai, memberikan kekuatan pada Halimah, tapi dia merasakan ini seperti pertemuan terakhir. Karuhai seperti berkata sesuatu. Halimah cuba mencari pengertian dari gerak dan lafaz kata-kata Karuhai.

“Aku tak akan meninggalkanmu sekalipun musim banjir di tanah Karuhai, tanpa pengorbanan segalanya tak bererti.”

Halimah merenung kata-kata Karuhai. Selama ini bukan banjir tetapi bermacam-macam, kemarau, dan api pernah menguji kesabaran Halimah dan Arif. suatu masa dulu. Tapi mereka selamat dari semua itu. Karuhai hidup dalam jiwa Halimah. Keistimewaan Karuhai, semangat pengorbanannya, kemurahan dan kasih.

Sepanjang hidup Halimah, Karuhai, adalah kekuatan dan semangat pada tanah leluhur Halimah.  Halimah yakin semua ini tak akan menjadi penghalang dalam dirinya. Tuhan sangat sayang pada Halimah. Dan Halimah tidak pernah menuntut yang bukan haknya.

Tuhan tidak pernah meninggalkan Halimah, dan dia tahu benar. Karuhai itu penjelmaan dirinya, dalam hidup Halimah. Mak Iyah telah menanam watak murni, Karuhai dalam diri Halimah. Di dalam semua keadaan, seperti keadaan sekarang, Halimah, tak akan menyerah dan gulung tikar meninggalkan rumah, bahteranya saat air naik menjadi besar. Sebagai nakhoda, Halimah akan berusaha membaca gerak gelombang dan mata angin dan mengemudi bathera agar selamat dan sampai di pelabuhan.

Air telah sampai ke puncaknya, hampir mencerca lantai. Seluas mata memandang semua air, pohon-pohon dan tanaman hampir ditenggalami air. Tapi Halimah dalam keadaan teruji sedar paras air tak naik lagi, malah mulai menurun.

Kelangsungan hidup Halimah akan terus berjalan. Hidup sendiri bukan beban. Bercerai mati dengan Arif, hidup Halimah masih berjalan.

Karuhai, kau setia, dan perkasa. Rimbamu hidup dan berakar pada naluri yang tulus. Mak Iyah hidup, Karuhai, anak leluhur, kasih Karuhai seluas langit dan bumi.

Malam itu perlahan-lahan air yang bergenang itu telah mencapai puncaknya. Malam pun tenang. Arif, Karuhai dan Mak Iyah, telah kembali ke lubuknya. Karuhai, sayang, Mak Iyah  abadi dalam kalbu Halimah. Di saat-saat begini ia datang dengan satu kekuatan bertahan dan pelipur lara.

*Disiarkan oleh Daily Express, 26 Ogos 2018
End///