Wednesday 17 October 2018

Datuk Rosmah Anak Jalil (Daily Express)


Rosmah, Anak Jalil
Oleh Sabahuddin Senin
Kota Marudu, 2018

Rosmah memandang gumpalan awan bergerak perlahan. Ada rahsia yang belum tersingkap.Firasatnya menunggu sempurnanya sebuah harapan di sebalik sebuah perkahwinan. Sudah hampir setahun Rosmah tinggal di rumah. Semua apa yang diinginkan selama ini telah menjadi kenyataan. Tak ada yang nak dikomplain. Sejak dia bersara hampir enam bulan yang lalu, kehidupannya  berjalan seperti biasa. Dia tak lagi merasa susah seperti masa dia anak-anak, hidup dalam keluarga  yang berjuang tiap hari untuk mendapat sepinggan nasi menyara hidup tujuh orang adik-beradik, bertungkus-lumas mendapatkan nafkah,

Rosmah dilahirkan 5 tahun sebelum Malaysia terbentuk. Dia membesar bersama negeri yang tercinta. Dia melihat sendiri pembangunan dan kemajuan negerinya di depan matanya sendiri. Dari bangku sekolah dia telah merasakan ujian hidup. Orang tua selalu mengingatkan Rosmah tak ada jalan pintas untuk meraih kejayaan. Semuanya harus ditempuh dengan semangat gigih, perjuangan dan doa terus-menerus.

Orang tua Rosmah adalah teladan di depan matanya.  Mereka pejuang yang tahan lasak, tak pernah akun kalah. Mereka buat kerja apa saja, asal pekerjaan yang halal. Walaupun mereka dari keluarga sederhana, tetapi suami isteri ini saling bantu membantu untuk membesarkan anak-anak mereka. Ayah Rosman, Abdul Kadir, boleh sedikit membaca dan menulis, ibunya, Rosnih, ibu yang penyayang dan sangat mengambil berat tentang keluarga.

Tapi kedua-dua mereka tahu batas kemampuan mereka. Jadi, mereka tak merasa cemburu pada orang lain yang ada kelebihan dari mereka sendiri. Hidup berjiran diamalkan sebaik-baiknya oleh suami isteri ini.

Rosmah bersyukur pada Allah Ta’ala kerana dalam keadaan keluarga ini, ada yang boleh melanjutkan pelajaran sampai ke universiti. Ketika itu, selepas kemerdekaan negerinya haus pada pembangunan. Sumber alamnya masih utuh dan rimbanya masih tak terusik.

Dia telah biasa dengan kesusahan dan pengalaman awal hidupnya telah menjadikan dirinya seorang pejuang yang tahan lasak. Dari sekolah rendah dia telah meraih kejayaan, kemudian di sekolah menengah  hinggalah ke universiti, Rosmah, pelajar dan mahasiswa teladan yang telah meraih hasil akademik yang cemerlang.

Abdul Kadir dan Rosnih, suami isteri sangat bangga pada anak mereka yang satu ini. Anak-anak mereka yang lain juga mereka sekolahkan, dan Rosmah adalah anak yang tua, adik-adiknya enam orang semuanya. Kejayaan Rosmah telah membuka jalan kepada adik-adiknya yang lain meneruskan sekolah. Yang penting mereka semua boleh membaca dan menulis, dan dapat pekerjaan dan menampung keluarga mereka sendiri.

Rosmah merenung hidupnya selama ini. Dia telah mempunyai rumah sendiri yang dibelinya ketika dia masih kerja dengan wang pinjaman bank. Rumah Rosmah sekarang ini telah habis dibayar. Selama hidupnya Rosmah pernah dirisik, tapi masa itu hatinya belum terbuka untuk berkahwin. Dia masih punya tanggung jawab terhadap keluarga. Dia tak memilih siapa yang bakal menjadi suami, asalkan lelaki itu mempunyai kecintaan terhadap agama dan bertanggung jawab. 

“Kejayaan aku, adalah kejayaan keluarga.” Kata-kata Rosmah kepada dirinya sendiri.

*Ketika Rosman masuk kerja sebagai kaki tangan kerajaan, dia mulai dengan pegawai biasa, kerana dia seorang lepasan universiti, jadi, awal tahun lapan puluhan peluang untuk dia maju dalam kerjayanya terbuka luas. Dia mempunyai dedikasi tinggi dalam kerja-kerjanya dan pekerja yang rajin.

Oleh itu, dia cepat naik ke atas hingga jadi Setiausaha Tetap di Kementerian Kewangan. Masa bersara dia telah sampai ke puncak cita-citanya. Bila dia kenangkan semula sejarah perjuangan dirinya bukan bergolek dan jatuh ke riba. Dia menjadi pegawai teladan sebelum dia bersara.

Semua ini adalah berkat doa-doa orang tuanya. Mereka telah meninggalkan dunia fana ini. Tapi perjuangan orang tuanya ini telah memberi jalan untuk Rosmah menjadi orang yang berpendidikan. Bukannya mudah bagi seorang wanita mencapai kedudukan tinggi dalam masyarakat yang tertutup dan banyak saja halangan untuk maju dalam apa-apa bidang. Mereka harus berjuang sama dengan golongan lelaki, di sekolah, di universiti dan tempat pekerjaan.

Adik-adiknya semuanya telah berkeluarga dan hidup sendiri di merata tempat di Malaysia. Dari tujuh orang, sekurang-kurangnya separuh masuk universiti dan lulus sebagai graduan. Masing-masing sibuk dengan keluarganya.

Dari awal masa, dia membantu orang tua dan adik-adik dalam belanja persekolahan. Sudah menjadi kebiasaan dan kakak tua yang bekerja akan menolong dan tempat mengadu semua perkara dan penyelesaian.

Nampak seperti semuanya berjalan tanpa sembarang masalah. Tapi sesungguhnya pertarungan keluarga dalam menghadapi hidup itu tak dapat dielak. Ketika sesuatu permasalahan keluarga, sekurangnya Rosmah akan diminta fikiran dan nasihatnya. Orang tuanya akan selalu memberitahu Rosmah segera, dan dia akan berusaha cuba mengatasi masalah itu sebagai kakak yang tua.

Orang tua dan adik-adik Rosmah menghormatinya. Rosmah kekadang terlepas cakap dan kasar, tapi mereka boleh menerima semua itu kerana dia adalah kakak yang tua. Dia pun bukannya malaikat, ada kekurangannya. Ketika pekerjaan di pejabat terlalu menekan terbawa-bawa sampai ke rumah. Tampiasnya kena juga adik-adik Rosmah. Tapi tak lama, Rosmah cepat kembali pada dirinya sebagai seorang kakak.

Ayahnya telah meninggal, tapi sempat melihat kejayaan Rosmah di universiti dan selama beberapa tahun pada pertengahan kerjayanya. Ayahnya bangga. Dia selalu tak sembunyi-sembunyi menceritakan kejayaan anaknya yang tua kepada kawan-kawan jiran-jirannya. 

“Ayah senang kamu berjaya.”

Rosmah senyum ketika suatu masa dia pulang dari Putrajaya dan sempat berkunjung ke rumah orang tua di Sandakan.

“Semua ini adalah kerana doa-doa ayah dan ibu.” Rosmah membalas dengan sopan dan beradat.

Hubungannya dengan orang tua dekat. Banyak pahit maung mereka hadapi bersama. Ayah memang tegas dalam menasihatkan Rosmah supaya jangan ikut dengan kawan-kawan yang tidak mengambil serius dalam pelajaran dan hidup bebas. Dalam soal nikah, ayah dan ibu menasihatkan Rosmah tentang ini. Pernah ayah sentuh hal itu tapi sudah lama, ternyata Rosmah belum siap.

Orang tuanya terus-menerus menasihat Rosmah masa sekolah dan di universiti. Rosmah tidak ingin membesarkan perkara ketika ada yang dia tak suka sebagai reaksi, dia diam. Dia tak suka konflik. Dia suka pada kedamaian. Walaupun dalam hidup ini tidak semuanya indah. Turun naik, ada masa gembira dan ada masa sedih.

Satu perkara yang selalu menjadi ingatannya, ayah Rosmah bilang supaya dia mesti tahan dilambung gelombang dan tak mudah putus asa. Rosmah tak ingin kegagalan, barangkali itu kelemahannya. Oleh itu dia akan berhempas pulas untuk sampai ke garis penamat dan tak ingin ketinggalan dalam perlumbahan hidup. Dalam masa studi, Rosmah akan fokus dan displin menurut caranya sendiri. Inilah hasil dari kerja keras Rosmah, kejayan demi kejayaan diraihya dengan cemerlang. Dan ini telah menghapuskan sikap membawahkan golongan wanita hanya layak duduk di dapur dan menjaga hati.

Kasih ibu yang seluas bumi dan langit menjadikan diri Rosmah tidak standing ibunya. Walaupun ibu tak berpendidikan tetapi dalam menanggani hidup sehari-hari, Rosmah masih menganggap ibunya adalah kekuatan gunung yang bertahan. Semua kejayaan dirinya ini kerana  ibu dan ayah dan dia ingin dedikasi kejayaan ini  pada mereka.

“Sungguh, syurga di bawah telapak kaki ibu.”  Rosmah mengangguk-angguk pada dirinya sendiri.

Tahun lalu Rosmah mengerjakan Haji. Ini adalah kurnia Allah Ta’ala. Kebahagiaan Rosmah kerana mengerjakan perintah agama, tersentuh juga hatinya kerana orang tuanya belum mengerjakan Haji, tapi kedua mereka telah berpulang sebelum Rosmah siap mengumpul wang untuk mereka mengerjakan ibadat haji. Dalam fikirannya dia akan mengerjakan ibadat haji di masa akan datang atas nama orang tuanya.

Rasa bersyukur Rosmah tak berhenti-henti dan Rosmah terus berdoa mengingati orang tuanya. Dia merasakan kehidupannya banyak berubah. Dari awal kehidupannya dia berjuang sungguh-sungguh, dia telah berhasil untuk mencapai cita-citanya, dalam pelajaran dan kerjaya. Dia telah menggenapkan impiannya menjadi seorang pentadbir yang berjaya hingga bersara.

Demikian, adik-adik Rosmah semuanya kini berpendidikan dan mempunyai pekerjaan. Dari perjuangan hidup awal yang dilakukan oleh orang tua Rosmah, semua mereka mengecapi buah hasil perjuang itu. Selanjutnya adalah kesungguhan adik-beradik untuk meneruskan perjuangan itu supaya keturunan mereka tidak belakang atau tergelincir dari landasan hidup.

Ada lagi kejayaan Rosmah, namanya naik, dia dalam daftar penerimaan anugerah pangkat yang membawa gelaran “Datuk”. Dia telah menerima anugerah kebesaran negeri ini di istana negeri.

Meskipun gelaran Datuk itu telah sah bagi Rosmah memakainya dalam majlis resmi dan tidak resmi, Rosmah tak ambil pusing kalau orang masih memanggilnya Ros atau Mah.

“Datuk Rosmah.”  Panggilan dari kawan-kawan yang mengenalinya. Adakalanya dari teman sekerja  ketika ketemu di mana saja. Sekalipun dia cuba mengelak semua itu, kerana masih tak biasa dengan panggilan “Datuk”. Tapi dalam hati kecilnya, dia senang juga dengan panggilan itu kerana sedar akan kehadirannya.

Rosmah ketika sendirian membayangkan semua kejayaan yang telah dicapainya ini. Dia merasa semua ini adalah kerana tungkus-lumus dirinya dari awal hinggalah ketika dia berusia di hujung senja. Semua ini dalam usia sekarang bagi Rosmah adalah bonus bagi dirinya sendiri.

Dia tak ada pun yang ingin dikomplainnya kerana semua kemewahan hidup yang diidam oleh orang, dia telah punya. Rumah, kereta mewah, wang simpanan, pangkat dan derajat sebagai orang-orang penting yang dihormati semua nikmat itu telah dia rasakan. 

Kemewahan  Rosmah tidak juga menjauhkan dirinya dari sanak saudara. Dia masih memerlukan mereka. Dan mereka pun suka mempunyai seorang kakak yang bergelar datuk, berpelajaran, mewah, dermawan dan suka menolong. Dia adalah seorang yang rajin dan peka kepada kemajuan adik-beradik.

Rumahnya besar terletak di kawasan yang mahal. Rosmah punya tukang kebun. Rosmah punya caranya sendiri untuk merayakan kunjungan ahli-ahli keluarga. Mereka bebas di dalam rumah Rosmah. 

Sering ketika Rosmah sendiri, dia mulai memerhatikan sekelilingnya, ruang tamunya luas, dekorasi modern dan dindingnya gaya terkini, kerusi sofanya warna putih. Demikian juga dapurnya modern dan gaya terbaru. Biliknya ada empat buah, sebuah di tingkat bawah dan tiga pula di tingkat atas.

“Ini istana Rosmah.” Kata suara hatinya.

Hari Raya Puasa tadi, beberapa orang adik dan anak kemenakannya datang bertamu beberapa hari di rumah Rosmah. Dia terbiasa dengan rumah yang kemas dan rapi dan tinggal sendiri. Ketika kunjungan adik-adiknya dalam sehari saja dia boleh tahan. Lebih dari sehari dua, mula dia merasa kurang tenang dengan bising. Tapi pada sudut hatinya dia masih ingin keluarganya tetap dekat pada dirinya. Hidup sendirian bagi Rosmah dalam jangka panjang adalah merupakan kesepian yang menyiksa. Dan kekurangan itu datang dalam dirinya ketika dia sendirian.

Dalam dirinya terus ada perlawanan, hidup sendiri atau memilih hidup berkeluarga. Beberapa kali orang yang sama datang merisik, menyampaikan hajatnya itu kepada ahli keluarganya. Tapi Rosmah tak memberi reaksi. Perkara itu masih terkatung-katung di udara tanpa kata putus.

“Sudah terlambat.”

Itu saja kata-kata Rosmah pada dirinya ketika fikiran itu datang. Dia telah mempunyai segala-galanya. Tapi semua itu sebenarnya tak memberikan kedamaian dirinya sempurna. Ketika Rosmah di sekelilingi oleh anak-anak kemenakannya ada perasaan kegembiraan dan juga ada perasaan ingin sendiri. Tapi dia masih perlukan kehidupan seperti masa orang tuanya hidup membesarkan anak-anak.

Perasaan seperti ini Rosman rasa kehilangan.  Mungkin sekarang telah terlambat. Dia cuba membunuh fikiran itu. Tiap kali datang hinggap pada dahan fikirnya.

“Kahwin.” Gema kata-kata itu datang lagi.

Rosmah tak memilih hidup berkeluarga. Bukan tak ada orang yang ingin merisik dalam hidupnya. Tapi masa itu dia tak ada fikiran dan masa untuk memilih hidup berkeluarga. Kalau dia berkahwin tentu dia tak akan dapat kedudukannya sekarang. Memang dia merasakan kesunyian dan sepi tapi apa yang diinginkan bagi seseorang di dunia ini telah sempurna kecuali ‘kahwin.’

Dalam pertarungan ini, Rosman tak ingin mengalah dengan fikiran itu tapi desakan itu begitu hebat gelombangnya dia yang menganggap dirinya kebal dari segala rasa dan fikiran seperti itu, terhumban dan terbawa gelombang. Rosmah kalah pada gelombang fikiran itu.

Masa-masa duduk sendiri, Rosmah gusar, adakalanya dia mengharap orang yang merisik dulu itu datang sekali lagi. Tapi di langit masih belum ada tanda-tanda. Dia mulai menyesal mengapa dia tidak memilih keduanya sekali, kerjaya dan hidup berkeluarga. Rosmah bukan orang yang suka memilih pasangan hidup.

Adik-adiknya pun selalu mengingatkan Rosmah hidup berumah tangga. Kata-kata adik-adiknya itu masih diingatnya. Tapi semua itu telah berlalu. Dia mengelak tentang hal kahwin ini sejak dia mulai bekerja.

Pada masa orang tuanya masih hidup pun ada juga dibisikkan ke telinganya. Tapi setiap percakapan itu dia selalu mengelak atau menukar subjek percakapan ke tempat lain. Sebenarnya Rosmah bukan seratus peratus tak menerima pada cadangan adik-adik dan orang tua.Tapi dia selalu mengatakan kepada mereka, ada tugas yang lebih berat iaitu menyara orang tua dan memastikan adik-adik semuanya pada kedudukan yang terbaik.

Kerana itu Rosmah menjadi penasihat keluarga dan sekaligus kepala keluarga yang diagihkan pendapat dan cadangannya. Dia memilih jalan ini supaya adik-adiknya menjadi  orang, ada pelajaran dan pekerjaan.

Rosmah merasa puas dengan pencapaiannya. Generasi penerus mesti lebih baik dari sebelumnya. Penat-lelah di zaman orang tua membesarkan mereka semua telah ditebus.

“Tuhan, aku mohon pengampunanmu.” Rosmah cuba membetulkan dirinya. Kalau kali ini ada isyarat dari langit, tentu Rosmah akan menadah kedua tangan menerima isyarat itu dan membacanya sebagai harapan.

Dalam usia begini Rosmah maklum, ia sudah jauh ketinggalan di belakang dalam hal perjodohan. Adik-adiknya pun telah kendur untuk bertanya apa lagi membawa percakapan tentang  ini. Akhirnya, Rosmah ditinggalkan sendiri dengan dunianya. Mereka merasakan dia telah banyak berkorban untuk mereka.

Tiap hari Rosmah seperti membolak-balik sejarah hidupnya. Kekadang Rosmah menolak saja fikiran-fikiran yang datang menyelinap masuk ke dalam dirinya. Dia berusaha untuk tidak memikirkan perkara itu. Ada juga cakap-cakap orang samapai ke telinganya.

"Dia belum kahwin, anak dara tua, kesian."

Dia tak ambil pusing. Tapi, ia datang juga. Dalam dirinya terjadi pergelutan hebat. Dia ingin melepaskan belenggu yang mengikat dirinya selama ini. Dia tak pernah memikirkan perkara ini ketika dia belum bersara.

Tiap hari Rosmah sibuk. Rosmah tak ada masa untuk memikirkan hal-hal remeh-temeh seperti hidup berkeluarga. Dia tak ada masa, dia disibukkan dengan mesyuarat dan pekerjaan di ofis. Jadualnya penuh tiap hari. Dan Rosmah sendiri tak ingin memikirkan perkara ini. Baginya kerja dan berkorban menolong keluarga adalah agenda pertama. Tak ada kompromi. Dan misi Rosmah tak akan selesai selagi ahli-ahli keluarga tak ditolongnya dari segi bantuan kewangan  ketika mereka bersekolah hingga ke peringkat univerisiti.

Sekarang mereka semua sudah berkeluarga. Masing-masing telah mempunyai rumah sendiri dan pekerjaan sendiri. Semua mereka telah berdiri sendiri. Untuk itu, Rosmah merasa tenang. Jiwanya damai. Jadi, apapun perjuangan selalu dituntut pengorbanan. Bagi diri Rosmah, pengorbanan dirinya ini tak ada apa-apa demi untuk adik-adik dan keluarga.

Malam itu Rosmah sendiri lagi. Menimbang-nimbang hidup dirinya. Dia puas. Misinya telah selesai untuk adik-adik. Sekalipun dirinya sendiri. Rosmah memandang keluar jendela, bintang-bintang di celah langit seperti mengintip Rosmah.

Alam masih setia pada Rosmah. Apa saja yang dilihat Rosmah seperti memahami dan bersimpati kepada Rosmah. Ada suara halus dari jauh, gelombangnya bergetar di setiap penjuru. Bukan mimpi dan tidak juga impian, makin dekat suara itu dan Rosmah cuba menangkap makna bisikan suara itu.

“Inilah waktumu merisik. Datanglah, aku tak akan memilih. Langit dan bumi telah siap. Lembah hijau itu telah lama menunggu datangnya hujan musim semi membebaskanmu dari kemarau panjang."

Dalam doa Rosmah masih berharap. Khabar baik itu akan sampai, langit tak akan pernah gagal mengirimkan sebuah harapan menjadi sempurna.


*Disiarkan oleh Daily Express, 2 Disember 2018