Sunday 27 May 2018

Catatan Ramadan Al-Mubarak (Utusan Borneo)




Mittagong bulan Mei, di selatan Kota Sydney.

Aku duduk di ruang sofa.  Musim gugur di luar. Seperti aku ingin berangkat ke tanah air.

Langit cerah. Anak bulan telah memberi isyarat. Ramadan Al-Mubarak akan mula. Tarawih sebentar lagi. Alam raya tenang. Aku pun tenang. Setenang lautan di waktu subuh.

Tahun ini aku ingin dengan ibu, bertahun-tahun aku meninggalkannya. Memang aku rasa bersalah. Aku hanya berdoa, satu hari aku akan pulang. Hari ini, seperti doa itu sempurna. Aku bersama ibu.

Diam-diam aku tatapi wajah ibu. Usia ibu larut bersama senja. Semangat  hidupnya tetap hebat. Ibu tak pernah menyerah kalah dalam hidup. Ibu adalah wanita penyayang. Hidup ibu sederhana.

Aku rasa tenang disamping ibu. Tinggal di tanah asing, pada mulanya bukannya senang. Tapi lama-kelamaan ia telah menjadi sebahagian dari hidup. Aku terima semua ini kerana ia adalah medan perjuangan di mana saja, di tanah kelahiran atau di tanah asing.

Seperti ibu tekun menyiapkan juadah makan malam. Awal-awal ibu telah menyiapkan bahan-bahan untuk dimasak sebelah petang. Kepulangan aku dalam bulan Ramadan itu adalah spesial bukan selalu untuk seorang ibu.

Sejak akhir ini, aku banyak sendiri dan lebih banyak diam. Aku kurang bicara. Tak ada keinginan untuk pergi keluar dengan kawan-kawan menghabiskan masa di kedai kopi atau makan petang di Teluk Likas. Fikirku menerja ke langit lepas.

Musim gugur, damai melihat daun-daun kering berjatuhan dan berserakan di atas jalan.

Lebih aman tinggal dengan ibu. Tahun ini tak ada perayaan atau barangkali suatu yang istimewa aku pulang menjelang bulan Puasa Ramadan Al Mubarak. Jadi inilah istimewanya.

Di mana saja berada, aku selalu berfikir kebajikan ibu. Aku anak satu-satunya. Dari kecil lagi hubungan kami erat, perpisahan adalah satu hal yang tidak mungkin pernah difikirkan.

Waktu bergolek perlahan di musim gugur.

Rumah ibu sederhana. Tiga bilik dan ruang duduknya luas dan kurang perabot. Halamannya tak luas. Ada kebun di sebelah rumah dan dapat dilihat dari pintu masuk ke beranda rumah. Dari jendela aku melihat kilasan gunung perkasa di Asia Tenggara, gunung Kinabalu.

Pilihan Raya Umum baru ini telah berlalu. Aku baca melalui internate. Orang masih banyak memberikan tafsiran masa depan negeri ini. Aku sendiri tak begitu selesa bicara politik. Tapi ketika ditanyakan aku akan balas biasa-biasa saja supaya percakapan kami dapat dilanjutkan.

Solat maghrib telah aku kerjakan tadi. Dingin. Aku duduk cuba menenangkan diri. Aku masih keletihan. Sejak kebelakangan ini aku memang mudah keletihan.

Aku merelakan dingin di luar menyatu dalam diri. Sepi. Sendiri.

Suara ibu memanggilku beberapa kali,”Nin.”

Sepi.

Ketika aku tersentak, aku jawab panggilan ibu meskipun terlambat. “Ya, ma.”

Lama sudah aku ingin ketenangan. Baru terasa lega di sini. Di rumah ibu, aku memang selesa. Rumah ini tempat aku dibesarkan. Semua kenangan di rumah ini.

Jadi, Ketenangan itu telah memberi aku harapan. Tahun ini telah membawa perubahaan. Kekurangan lalu ditutupi. Tidak perlu keluh-kisah sebab segalanya pun pasti akan berubah. Hidup pun akan berubah untuk lebih baik.

Aku tak dengar apa-apa dari dapur. Apakah ibu menyiapkan minuman ringan. Malam ini telah ditentukan yang besok akan bermula puasa.

Pengasingan dalam musim gugur ini melahirkan rasa kelaianan. Terpisah dari rumpunnya. Cahaya siang mulai meredup. Malam di ambang pintu hari.

Ya, rasa tenang adalah mensyukuri nikmat yang turun melimpahi dalam kalbu seorang musafir. Ramadan, bulan suci, kemanapun aku berkelana, Ramadan itu seperti kehadiran seorang sahabat, pelindung, pertemuan dengan ibu dan yang ada taliannya pada diri.

Ke manapun aku pergi, jauh di rantau, di pelantaran lautan dalam, di gurun panas yang terbuka, di bumi terasing aku tunggu kedatangan Ramadan dengan segala kegemilangannya. Pasti aku bersama ibu di sana.

Aku telah jauh berjalan, mendaki gunung, menuruni lembah dan memasuki rimba sejagat, tapi ketika Ramadan turun dari samawi, segala-galanya aku lepaskan terutamanya keasyikan meraih dunia, jiwaku telah tertutup sekalipun teman-teman cepat menuduh aku sebagai korban perjuangan, kalah dan menyerah pada yang tak pasti.

Cuaca makin dingin. Lebih masa di rumah dari sebelumnya di benua selatan.
Tahun ini, aku fikir seperti berada di tanah air. Tak pernah terbayang aku tak akan pulang ke tanah air. Tapi kenyataannya aku masih di sini. Syukur! Tanah air yang kutinggalkan belasan-belasan tahun.

Aku telah tidak mengenal teman-teman lama. Mereka dengan urusan dan kehidupan mereka sendiri. Segala-galanya telah berubah. Kota yang pernah aku dibesarkan di sini telah lama berubah. Orang-orang pun telah ramai hilang entah di mana. Yang ada orang-orang baru dan tak kukenal. Meskipun ini tanah tumpah darahku.

Ramadan telah menyingkap kenangan-kenangan lalu. Hidup masa silam datang seperti mimpi. Aku telah melakukan banyak perkara dan melalui banyak ujian dalam hidup ini.Memang aku tak pernah merasa kalah dan menyerah. Tapi kalau kau masih nak menuduh, terpulang.

Tapi dalam jiwa raga ini, aku tau, aku tak pernah menyerah malah aku merasakan kasih sayang Tuhan  hidup dalam diri. Aku bukan manusia superman, manusia biasa-biasa saja yang berjuang dalam hidup, ada kelemahan dan ada cita-cita sekalipun tidak sebesar langit dan seluas bumi.

Jalan di hadapan makin sunyi dan sepi. Dingin Mittagong, aku di sini. Kupejam mata, membayangkan, yang jauh-jauh. Aku seperti melayang jauh ke cakerawala, ke orbit baru.

Aku kembali kepada-Mu. Kerana di situ ada damai. Di situ ada kedamaian. Di luar sana tak ada, yang ada kebuasan, kezaliman dan kejahatan yang berluasa.

Kerajaan jatuh bangun, perabadan jatuh bangun,suku bangsa jatuh bangun, aku pun jatuh bangun. Lumrah dalam hidup. Tapi, begitu pun aku tak akan biar langit dan bumi menjadikan aku budak dunia. Kalau aku tak melayanmu, itu kerana aku memang tau permainanmu. Aku tak akan membiarkanmu memperlakukan aku semaumu.

Kalau perlu perlawanan aku memang siap-siaga. Pertarungan dalam musim dingin, kalah menang apa ertinya pada sebuah tindakan. Sekali lagi, aku mengingatkan kamu, siasah yang licik itu tidak akan mempengaruhi orang seperti aku.

Memang ada konflik dalam diri.  Semua orang ada. Oleh itu aku berusaha terus merubah keinginan ini hingga ke garis penghabisan.  Ketika aku berjalan, kau datang berlari-lari dari belakang, berbisik ke daun telingaku supaya aku putar balik mengikut kemahuanmu.

Sudah pergi, kamu!

Aku masih di sini. Musim dingin makin menebal.

Kau masih terus berjanji manis-manis dan membuat harapan supaya aku terpisah dari rombonganku, dari kabilahku. Kau memang tak ingin aku dalam rombongan yang bergerak dalam satu kabilah menuju negeri damai.

Aku menutup mata dan menarik nafas dalam. Aku sendiri.

Selama ini aku tak bersama dengan Ibu. Tapi doa-doaku siang malam, telah menjadi kebiasaan ia mengalir di hujung lidah. Pada satu Ramadan, kami dipertemukan. Sekalipun telah bertahun tahun lamanya kami berpisah. Berpisah, agak lama dalam takaran waktu untuk seorang anak berpisah dengan orang tuanya.

Tak ada sebab untuk meninggalkannya. Tak ada sebab mengabaikan tanggungjawab. Tak ada sebab melupakan kebajikan ibu.

Waktu berjalan cepat.  Seperti komet melaju di angkasa seolah-olah  menjerumus ke bumi dan hanggus.

Musim Dingin turun, Daun-daun luruh dari gagangnya. Ramadan tetap datang.

Ramadan, Ramadan, damailah kalbu ini. Kini aku dalam bulan Ramadan dan melangkah masuk. Semua fikir dan rasa telah berkumpul dan bergumul dalam jiwa.

Aku pulang tak membawa harta. Tapi aku membawa hati seorang anak kembali kepada ibu yang menunggu bertahun-tahun kehadiran seorang anak iaitu aku.

Dalam sesaat, melayang-layang fikirku. Kalau ia sebiji telur ayam, ia telah siap untuk menetas menjadi seekor anak ayam.

Aku beristiqamah. Kisah hidup tidak semuanya indah dan berakhir dengan kemenangan. Pernah seorang teman bilang, kalau orang kecil seperti dahan kecil, jatuhnya tidak seberapa, bunyinya pun tak terlalu kuat. Tapi kejatuhan orang besar seperti pohon, ketika tumbang bunyi sampai ke hujung tanjung, Tapi aku tak sampai jadi begitu. Aku tak mau kalah dalam hidup.

Cerita teman ini mengiyang dalam diri sampai aku berada di kejauhan tanah asing dan dari rantau terbawa pulang ke tanah air. Cuma sebenarnya banyak cerita terlepas dari ingatan.  Kekadang timbul sekejap dan akhirnya lupa. Barangkali faktor usia. Tak ada yang dapat melawan usia. Semua orang akan alami juga.

Sepi.

Ya, Ramadan dan ibu, sentiasa hidup dalam diri. Masa Ramadan selalu dan memang memberikan kepuasan rohani. Kepuasan rohani di mana saja berada. Ketika dalam usia muda atau menjelang senja, semuanya ini aku sedar.

Justru itu, ketika Ramadan datang, pintu kalbu ini terbuka luas memberi laluan air samawi.

Malam ini aku menunggu peluang seperti ini lagi. Tiap detik sepanjang Ramadan, aku dapat mencium udaramu yang penuh dengan kurnia-kurnia-Mu.

Kotak kecil berisi buah kurma tersedia untuk berbuka dan bangun di waktu pagi, Di sini pun taklah susah untuk mendapatkan buah kurma, semuanya senang didapat, tidak seperti mula-mula sampai tahun-tahun awal 80 an.  

Ramadan tahun ini peluang besar bersama ibu. Dalam usia renta, ibu masih bangun pagi untuk siapkan makan. Tapi masakan ibu adalah satu kurnia dalam bulan Ramadan ini.

Setuju, aku berbalas-balas sendiri.

Hubungan antara aku dan ibu sukar untuk dipisahkan. Awal perpisahan kami ketika aku meninggalkan halaman pergi melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Pulau Pinang.

Memang berat, akhirnya  ketika aku mengucup dahi ibu sebelum masuk ke dewan keberangkatan. Ibu balas dengan ciuman dan membisikan  ke telingaku,”Solat, kerjakan solat dan banyak berdoa.” Aku pandang ibu, membalasnya dengan pandang mata. Mengangguk pergi.

Inilah senjataku ke mana saja aku pergi, aku pegang pada nasihat ini. usia muda mudah digoda. Ia adalah perjuangan diri.

Ibu, aku ingin mengucapkan kata-kata itu. Tapi terasa berat, nanti.

Ketika aku di mana saja, jauh di tanah asing, di rimba mana, lautan mana dan langit mana, kata-kata itu kuperhatikan. Ketika aku tinggalkan ibu, aku masih dalam usia dua puluhan tahun. Banyak yang belum aku tahu dan banyak yang dilanggar dan terlanggar, segaja dan tak segaja.

Itulah hakikat hidup. Dingin. Terkepung oleh hawa dingin.

Waktu mengalir. Ramadan datang. Aku rindukan masa-masa Ramadan. Masa lalu seperti mimpi.  Aku tak akan dapat kembali sekalipun aku ingin. Ia telah terlepas selamanya dari kandungan.

Aku dibesarkan dengan peraturan sederhana. Ibu memberi ingat supaya aku belajar mengaji. Ibu  titipkan aku dengan seorang guru ngaji jiran kami. Dari awal aku belajar tekun sekalipun aku kurang dalam lagu tapi aku kuasai tajwid. 

Fikiranku berlinggar-linggar satu kali guru ngaji naik berang dan menamparku, fasal kesalahan sedikit sebutan dan guru ngajiku hilang kesabaran.

Masa itu guru ngaji boleh buat apa saja, apa lagi kalau guru ngaji aku itu  muda belia dan cepat marah. Tapi aku masih berterima kasih padanya sekalipun kenangan itu suka mengoda ketika seperti aku sendiri.

Aku tilawat Al-Qur’an agak mendatar. Aku akui aku bukan seorang qari, tetapi memadai. Semua ini adalah kerana kebaikan dan perhatian ibu supaya anak  satu-satunya ini punya dasar mengaji. 

Bila kukenangkan ibu tak akan habis semua kebaikan dan kasih ibu bila mau diceritakan. Aku bersyukur kerana punya seorang ibu yang sangat kasih.

Tahun ini aku masih di negeri orang. Aku sendiri di sini. Memang aku merindukan ibu. Tiap tahun sebelum Ramadan aku pulang dan tinggal dengan ibu sepanjang bulan.

Kalau duduk sebulan dengan ibu seperti anak yang bertahun tahun tak pulang sekali pulang mendapat penghormatan  dan semua keperluannya diperhatikan. Dan ibuku adalah orang yang sangat ambil berat tentang semua ini.

Aku memandang langit. Tenang. Maghrib telah selesai. .

Aku melihat  empat penjuru rumah, sepi dan sendiri. Aku cari ibu. Tak kelihatan. Tadi seperti di dapur menyediakan makan malam. Tak ada bunyi. Aku diam.  Aku yakin ibu tak ingin diganggu.  Biarkan dia sendiri.  Dia juga perlu ketenangan dan damai.

Aku mulai gusar, ibu tak kelihatan. Dan tak ada suara atau sentuhan piring atau bunyi air paip.

Usiaku  hampir 60 tahun. Dulu aku muda seperti yang lain, punya tubuh yang gagah dan keberanian melakukan apa saja. Sekarang aku agak perlahan dan berhati-hati.

Aku telah memasuki senja. Usahaku terbatas dan harus dilakukan dengan perancangan yang baik. Ya, semua orang mesti mengalami yang sama.

Ramadan telah datang, malaikat turun dari samawi. Kurnia-kurnia turun seperti cahaya. 

Pulang ke tanah air bertemu dengan ibu. Dan aku gagal melakukan ini. Ibu setia menunggu tiap tahun ketika tiba Ramadan menunggu anaknya pulang.

Ketika musim dingin di sini berangkat ke tanah air adalah satu bonus. Iklim khatulistiwa satu yang spesial. Ini merupakan hadiah pada aku.

Ibu tidak mengharapkan apa-apa.  Dia mau aku pulang. Dia ingin melihat aku sendiri. Dia puas hanya melihat aku pulang dan tinggal bersamanya masa Ramadan. Itu sudah mencukupi dan hadiah yang terbaik buat ibu.

Mataku masih mencari-cari ibu.  Sebentar aku tertegun. Aku masih keletihan. Jauh, Jauh dalam kembara kalbu di langit terbuka.

Semua ini seperti dalam lamunan, mimpi dan kenangan, berbuar dalam satu masa. Aku rasa kehilangan ini terlalu besar bagi diri ini. Aku kehilangan  ibu yang tak ada gantinya. Memang aku tau hal seperti ini akan terjadi. Tiada yang dapat menolak masa itu.

Aku masih meraba-raba membetulkan diri. Malam turun terlalu cepat. Ibu hilang dalam sekelip mata. Aku seperti terbangun dari kasyaf. Pemandangan pada ibu hanya berlaku dalam sekelip mata.

Semua ingatan dan kenangan itu memukul-mukul diri dalam bulan Ramadan tahun ini.

Aku menarik nafas. Aku mulai sedar. Aku tak ke mana mana. Di ruang ini aku masih duduk. Aku belum berangkat. Masih di tanah asing. Semuanya berlaku dalam beberapa ketika.

Tadi aku lihat ibu seperti di halaman rumah sedang memasak di dapur. Dalam kasyaf ibu berkata,”Syukur, kau telah pulang.”


Waktu telah berlalu. Ibuku pun telah berlalu. Yang indah itu masih Ramadan Al-Mubarak.

Mittagong, dalam musim gugur, aku masih dalam dakapanmu. Tanah air masih jauh.


*Diterbitkan Utusan Borneo 24 June 2018