Tuesday 17 July 2018

Foto Atuk (Daily Express)




Foto Atuk
Oleh Sabahuddin Senin

Tahun pertama Abdul Latief, berada di luar negara. Pada mulanya Abdul Latief terasa kurang tenteram. Ingatan Abdul Latief pada tanah air dan keluarga terutamanya atuk. Tapi dia kini telah dipersiapkan sebagai seorang pegawai Kementerian Luar Negara Malaysiadi WellingtonNew Zealand.

Kalau dia terasa rindu, dia akan menghantar mesej melalui whatsapp keluarga, FB atau menelefon adik-beradik atau sepupunya yang bertempiaran di seluruh Malaysia. Zaman telah berubah. Kebanyakan adik beradiknya telah bernikah, mereka memilih pasangan bukan lagi di tempat sendiri, suku sendiri, tetapi pasangan hidup mereka dari pelbagai bangsa dan negeri merata di Malaysia. Perkataan yang selalu mengiyang pada telinga Abdul Latief, “sudah jodoh”.

Sejak kebelakangan ini Abdul Latief selalu memikirkan atuk. Walaupun atuk telah meninggal tujuh tahun lalu. Abdul Latief merasa kehilangan bukan main atas pemergian atuk. Hubungan Abdul Latief dengan atuk sangat, sangat dekat. Ketika berita pemergian atuk sampai ke telinga Abdul Latief, dia  berada di Kuala Lumpur. Hari itu juga dia berangkat ke Sabah, berusaha sampai ke Kota Marudu sebelum atuk dikebumikan. Abdul Latief bersyukur sempat ikut solat jenazah dan mengkebumikan atuk.

Wellington, musim panas. Di ruang dapur Abdul Latief bersarapan sendiri, Menunggu anaknya, Akram bersiap-siap untuk turun ke sekolah. Pagi ini, fikirannya pada atuk. Dia mengeluarkan dari dompetnya sesuatu. Dia temukan potret atuk ukuran passport yang suatu masa dulu atuk titipkan kepadanya. Lama dia merenung foto atuk. Wajah dan sosok tubuh atuk jelas pada mata dan fikiran Abdul Latief.

Amin menghirup kopi hitam kurang gula, puas. Sedikit perayaan buat dirinya sendiri dengan cucunya, Abdul Latief. Tadi dia pesan roti telur dengan kuah dhal. Abdul Latief, cucunya menemani Amin  sejak awal pagi tadi, memesan roti kosong dan tea o. Mereka baru selesai urusan di bank. Amin kini seratus peratus tenang dan gembira.

Beberapa malam yang lalu, Amin kurang tidur kerana memikirkan bagaimana dia boleh menerima bungkusan itu. Fikiran Amin ke sana ke mari tentang bungkusan lebih kurang setengah kilo itu. Kerana terlalu memikirkan tentang bungkusan itu akhirnya ia terbawa-bawa dalam tidur atuk sampai atuk ngigau tentang bungkusan

Buat Amin, bungkusan itu segala-galanya. Dia tidak peduli berapa lama ia akan sampai asalkan bungkusan itu diterimanya. Pada masa ini dia tinggal jauh di Kota Marudu. Tak mungkin dia boleh balek ke Sandakan, alamat lama Amin. Segala surat-menyurat masih pada alamat lama.

Sudah masuk setengah tahun Amin berpindah ke tempat baru ini ikut anaknya, Ahmad, anak bungsu atuk. Ketika atuk meninggalkan Sandakan atuk tak menoleh langsung.

“Selamat tinggal Sandakan.”

Amin tak akan balik ke Sandakan. Itu keputusan yang terbaik bagi usianya yang sekarang telah mencapai lapan puluhan. Tapi dia masih mempunyai daya ingat yang kuat.

Halim, Halimah dan Yusuf, adalah cucu Amin. Hampir semua cucu Amin pernah dibesarkan dalam jagaannya. Amin memang seorang atuk yang sangat ambil berat masa depan cucu-cucunya. Dia bukan seorang atuk yang mementingkan diri sendiri dan kedekut.

Tiap kali cucu Amin datang melawat, atuk selalu memberi sedikit buah tangan pada cucu-cucunya. Abdul Latief, cucu atuk selalunya orang paling dekat dan istimewa buat atuk. Atuk hanya memberitahunya, Abdul Latief akan kerjakan perintah itu sepenuhnya dengan itaat. Dia adalah salah seorang cucu Amin paling praktikal dalam semua perkara.

Abdul Latief seorang graduan dari UMS dan dia adalah contoh terbaik pada mata atuk. Atuk biasa dengan Abdul Latief yang siap menolong atuk tak kira apakah itu pada siang hari atau malam hari, asalkan dia diberitahu dia akan datang. Hubungan baik atuk dengan Abdul Latief, cucunya tetap mesra.

Abdul Latief sudah lebih setahun belum dapat kerja. Suatu masa dia bekerja di lapangan terbang Kota Kinabalu hanya setengah tahun untuk program membantu graduan yang belum mendapat pekerjaan.

Tapi kontrak kerja Abdul Latief sekarang telah habis tempoh. Dia menunggu keputusan permohonan dari Kementerian Luar Negera Malaysia. Tentu persaingannya hebat. Dia sendiri telah duduk ujian beberapa kali. Sekarang dia masih menunggu. Jadi, atuk menyuruhnya banyak berdoa.

“Kerja solat Tahajud secara terator.”

Bungkusan dari Dik Milah di Sandakan telah diterima, dikirim melalui bus. Abdul Latief, mengambil bungkusan itu di Perhentian Bus Inanam dan menyerahkan kepada atuk.

"Alhamdulillah. Akhirnya kau sampai juga." Kata-kata itu sebenarnya ditujukan pada dirinya.

Tiga bulan yang lalu, atuk sakit. Dia tak pasti apakah dia bertemu dengan cucunya lagi.Tapi kebimbangannya hari ini telah padam. Urusan dengan bank pun telah selesai. Hari ini dia merayakan pesta kecil dengan Abdul Latief. Mereka berdua duduk di Restoran Bismillah, atuk mengunjuk not lima puluh ringgit pada Abdul Latief.

"Ikhlas." kata atuk kepada Abdul Latief..
"Buat belanja minyak." Tambah atuk.
"Tak payahlah atuk," Balas cepat Abdul Latief.
Tapi atuk masih tetap berkeras dan memasukkan not lima puluh ringgit itu ke dalam poket baju cucunya.”
“Rezeki, biar kita kongsi bersama." Atuk masih tetap mendesak. Abdul Latief membiarkan tangan atuk memasukkan wang not lima puluh ringgit ke dalam poket, Abdul Latief sedikit pun tak menunjukkan protes.

"Terima kasih atuk." dengan suara agak perlahan.

Atuk, sejak kebelakangan ini cepat penat. Dia tak selincah tiga puluh tahun dulu. Tapi atuk masih dapat berjalan satu km dari rumahnya ke simpang tiga jalan ke Kudat dan Kota Marudu untuk membeli keperluan rumah. Anaknya, Taufik tak punya kereta.Jadi biasa jalan kaki dan naik kereta sapu.

Tak punya kereta bukan satu masalah bagi keluarga ini. Ahli-ahli keluarga pun tak membuat sembarang komplain atas kekurangan ini, masing-masing mengerti. Lagi pun berjalan kaki sekurang-kurangnya latihan olahraga pada ahli-ahli keluarga semuanya termasuk atuk dan nenek.

Ketika atuk menerima panggilan telefon dan memberitahu surat yang ditunggu-tunggu oleh atuk selama ini telah sampai. Surat itu tercicir di rumah jiran sebelum diserahkan pada anak perempuannya, Dik Saodah. Tahun lepas Dik Saodah juga yang mengirim surat itu, memasukkannya ke dalam kotak dengan ikan masin, dan keropok kesukaan nenek, lalu mengirimkannya dengan bus dari Sandakan ke Kota Kinabalu. Kali ini cara yang sama juga. Dan minta salah seorang cucunya mengambilnya di Terminal Bus Inanam.

Amin memandang Abdul Latief. Tak banyak kesempatan bagi Amin duduk bersama cucunya, apalagi berbicara apa saja topik, secara terbuka. Keadaan zaman telah banyak berubah. Tak ada masa bagi keluarga duduk bergurau senda, bertukar-tukar fikir, bertanya dan mendengar nasihat, apa lagi  masa kunjung-mengunjungi satu sama lain makin kurang.

Ini adalah kesempatan bagi mereka berdua, atuk dan cucu. Pertemuan singkat ini memberi kebahagian yang bukan alang kepalang kepada atuk. Pada raya aidil fitri yang lalu, Abdul Latief datang beraya dengan atuk di Kota Marudu. Sebelum Abdul Latief meninggalkan atuk:

"Tuk, saya tak ada yang dapat berikan pada atuk selain minyak wangi ini."
"Baik, cucu. Jangan fikirkan, kedatangan cucu pun  hadiah terbaik untuk atuk dan nenek."

Terasa jurang zaman masa Amin dengan zaman cucunya sekarang menjadi lebar dan jauh. Generasi Abdul Latief telah banyak melupakan perkara yang berhubungan dengan tradisi dan budaya, sopan santun dan kasih pada jenerasi atuk. Zaman atuk seperti jembatan penghubung makin jauh dengan generasi muda. Mereka pun kurang ambil tahu tentang zaman atuk dan nenek.

Amin masih merayau dalam fikirannya. Sekali-sekali dia senyum pada cucunya. Abdul Latief memandang atuk seperti mempelajari wajah atuk dimakan usia. Inilah masa Abdul Latief dapat bercerita dengan atuk. Sejak kebelakangan ini Abdul Latief memang sibuk mengurus dirinya sendiri. Dia perlu mendapat pekerjaan supaya dia dapat berdiri sendiri. Dia ingin supaya hidupnya stabil. Dia nak memulai hidupnya ini sebagai seorang graduan yang punya pekerjaan..

Kedua-dua mereka dalam lamunan masing-masing. Amin melayang-layang ke dalam masa silam, Abdul Latief pula memikirkan masa depannya. Tapi satu perkara yang dapat mereka kongsikan bersama, mereka berdua tak pernah mengaku kalah dalam percaturan hidup. Dengan cara sendiri mereka ingin merubah cara hidup mereka menjadi lebih baik dari masa-masa sebelumnya.

Atuk dalam usia ini, merasakan ini adalah bonus dalam kehidupannya untuk melakukan sesuatu yang lebih baik dengan kadar kemampuannya. Mungkin inilah titik temu antara mereka berdua yang merapatkan jurang antara jenerasi atuk dengan generasi Abdul Latief. Membina kehidupan supaya lebih bererti, memperbaiki hidup masa lalu.

Lamunan kedua-dua mereka terganggu dengan masuk keluarnya pelanggan baru restoran mamak ini, meja di sebelahnya empat lima orang telah keluar setelah membayar di kaunter, kini ada tiga orang pelanggan baru duduk dan memesan minuman.

Kelmarin atuk turun dari Kota Marudu ke Kota Kinabalu dengan kereta penumpang. Atuk sangat independent. Dalam usia demikian dia boleh pergi ke mana-mana sendiri. Temujanji dengan hospital untuk ambil ubat tiap bulan, atuk sendiri yang pergi ke hospital. Daya ingatannya masih segar hanya saja langkah kakinya sedikit perlahan. Sakit-sakit sendi telah dia rasa lama. Sebelum bertolak atuk diingatkan oleh nenek supaya berjumpa terus dengan Abdul Latief. Dia telah dihubungi supaya menjemput atuk di perhentian bus Kota Kinabalu/ Kota Marudu di Inanam..

"Jangan pakai habis."
"Yalah bah."

Nenek terus berpesan kepada atuk dan mengulang-ulang peringatan itu sebelum atuk berangkat pagi semalam dari Kota Marudu.

Atuk sambil minum memikirkan kepulangannya ke Kota Marudu. Atuk telah selesai, surat dalam bungkusan telah diterima, atuk telah pergi ke bank, semuanya telah atuk buat. Mereka berdua duduk di kedai kopi lebih dari sejam.

“Atuk dah buat semua, jadi mau pulang.” Atuk berkata perlahan pada Abdul Latief.

Restoran mamak itu semakin ramai. Waktu rehat, mereka berdua duduk di kedai mamak ini, sudah hampir lebih satu jam. Walaupun tak lama tapi cukup rasanya jalinan kasih sayang antara mereka berdua. Memang banyak perkara yang mau dicakapkan.

Dari pandangan mata atuk, sebenarnya ada yang ingin atuk luahkan pada Abdul Latief. Tapi percakapan mereka terhalang-halang, kerana keluar masuk pelanggan. Kedai mamak ini semakin ramai.

“Atuk sihatkah? Tanya Abdul Latief.

“Ya.” Atuk membalas  pertanyaan cucunya.

Tapi selama ini Atuk kurang aktif seperti dulu. Pergerakannya terbatas dan perlahan.  Langkahnya makin lambat. Tidak seperti dulu, sepuluh tahun dulu, dua puluh tahun atau tiga puluh tahun lalu, atuk lincah dan aktif. Selera makannya sekarang makin kurang. Tapi atuk tidak menunjukkan sembarang isyarat penyakinnya bertambah berat kepada orang rumah ataupun cucu-cucunya.

Dua tahun sebelum ini atuk menjalani bedah buang batu karang. Tiga biji batu karang menutup saluran kencingnya. Hampir juga setahun atuk guna plastik dengan tuib dimasukkan ke dalam kemaluannya, air kencing masuk terus ke dalam kantung kencing dari plastik yang atuk bawa ke mana-mana. Ketika penuh, atuk akan membuang air kencing itu dari kantung plastik tadi.

Begitulah rutin sehari-hari sampai masa atuk dioperasi untuk membuang batu karang itu. Operasi atuk buang batu karang telah dibuat dan berjaya. Tapi  masalah atuk belum habis di situ. Kerana pada suatu hari atuk sepatutnya bertemu dengan doktor spesialis pada suatu pagi itu tapi atuk datang pada pukul lima petang. Jadi, Kaunter Bahagian Urology, seorang wanita yang bertugas untuk temujanji petang itu memberitahu atuk supaya masuk melalui Kecemasan kerana pada malam itu ada doctor Urology yang bertugas di wad tingkat dua, hospital Selayang.

Ketika masuk melalui Kecemasan, atuk diambil ujian darah. Hasil ujian darah menunjukkan atuk ada gejala Kanser Prostate. Malam itu bertemu dengan doktor spesilis, membaca hasil keputusan ujian darah, memang benar atuk mempunyai Kanser Prostate. Jadi, pemeriksaan dan temujanji dengan doctor spesialis dilanjutkan dengan banyak ujian-ujian Kanser Prostate ini.

Atuk menghadapi ujian ini dengan sabar dan tabah. Nenek dan keluarga dekat pun tak diberitahu tentang ini. Dari ujian-ujian lanjutan jelas Kanser Prostate atuk di peringkat ke empat.

“Cu, makan, order lagi.” Kata atuk kepada Abdul Latief. Hari ini seperti mereka berdua saja merayakan sesuatu. Selama ini tak pernah mereka bersama menghabiskan masa berbual panjang. Sekalipun suasana di kedai mamak sibuk dan terus didatangi pelanggan, mereka berdua seperti tidak ambil pusing apa yang berlaku di sekeliling.

Atuk dan Abdul Latief bercerita dari perkara kecil sampai perkara-perkara yang tidak relevan, dari yang serius kepada yang remeh-temeh. Kadang-kadang mereka berdua ketawa semaunya seperti dunia ini adalah kepunyaan mereka berdua saja.

Atuk sangat bahagia. Jarang atuk ada peluang bersama dengan cucunya seperti hari ini. Atuk turun ke Kota Kinabalu, naik kereta sewa dari Kota Marudu, bayar dua puluh lima ringgit, kira-kira dua setengah jam, atuk telah berada di Kota Kinabalu. Semuanya tersusun sekarang. Begitu juga kalau ke hospital di Kota Marudu, atuk turun pagi-pagi dan tunggu di stesyen bus, banyak kereta sapu akan berhenti. Tambang hanya empat ringgit, dari Kampung Muhibbah sampai ke Kota Marudu. Dari sana naik bus sampai ke hospital, dua ringgit lima puluh sen.

Kali ini atuk buat air mukanya jadi serius, memandang tepat pada Abdul Latief. Atuk mempelajari wajah cucunya. Abdul Latief pun rasa terheran memandang lembut pada atuk kesayangannya ini. Dalam fikiran Abdul Latief tentu ada hal yang serius nak dikatakan oleh atuk. Dia pun memerhatikan arah percakapan atuk. Jarang Abdul Latief melihat atuknya serius.

Atuk mendekati Abdul Latief, berbicara perlahan. Kelihatan gigi atuk yang tinggal  sebilah. Dari raut wajah atuk Abdul Latief dapat melihat garis-garis wajahnya yang penuh dengan pengalaman hidup dan perjuangan yang tak pernah menyerah.

Lama Abdul Latief merenung foto atuk.

Anak lelakinya datang menghampiri Abdul Latief yang sedang merenung foto atuk. Anaknya, Ahmad, mendekatinya dari belakang. Perlahan-lahan, bertanya Abdul Latief.

“Ayah siapa ini?” Tanya Ahmad, anak Abdul Latief, yang dari tadi menatap tekun pada foto atuk. Ahmad tak pernah bertemu atuk. Dia lahir setelah atuk meninggal dunia.

“Ini foto Atuk. Dia seorang pengasih, pemurah dan tekun berdoa.” Jawab Abdul Latief perlahan kepada Ahmad. Abdul Latief menoleh dan tersenyum. Bingkas berdiri dan keduanya berjalan menuju pintu depan.

Matahari musim panas Wellington masih lembut.

*Disiarkan oleh Daily Express pada 7 Oktober 2018




Wednesday 4 July 2018

Suntil (Daily Express)





                                                                                                                 

Suntil
oleh Sabahuddin Senin

Isnin. Udara masih dingin, matahari belum tinggi. Ini adalah minggu pertama Dr Tanya ditugaskan di sebuah hospital luar bandar tidak jauh dari Kota Kinabalu. Dengan kereta mengambil masa dua atau tiga jam perjalanan. Kalau ada pilihan tentu Dr Tanya suka hospital di bandar raya. Perpindahannya di hospital ini, diterima dengan sederhana tanpa ada jamuan perpisahan dengan kolejnya. Dr Tanya pun senyap-senyap dipindahkan ke negeri ini.

Dr Tanya seorang doktor yang mempunyai dedikasi tinggi pada profesinya, lulusan luar negara, Universiti Sydney, Australia. Dia kemas, displin dan menjaga sangat kebersihan. Tentang kebersihan, dia telah dididik oleh ayah bondanya dengan baik. Di rumah Dr Tanya, dia mengutamakan kebersihan lebih dari segala-galanya, dari segi pakaian, bilik tidur, dapur dan bilik air, semuanya dikerjakan sendiri sekalipun Dr Tanya mampu mengaji seorang pembantu. 

Tapi Dr Tanya lebih suka mengerjakan sendiri kerana dalam hal kebersihan dia tak akan berkompromi. Dia mau sempurna. Bilik air dan tandas dicucinya berulang-ulang memastikan tidak ada bakteria bersembunyi di sudut bilik yang kalau tidak dibersihkan nanti akan berlipat gandah dalam masa sedikit.

Dr Tanya ada caranya sendiri mengemas bilik tidur dan dapur, orang lain tidak tau. Pinggan mangkuk dicuci demikian rupa dan disusun rapi, dia tidak akan membiarkan sedikitpun kotoran tertinggal. Rumah Dr Tanya lebih dari kebiasaan, sangat bersih. Dan dia percaya tiada yang boleh memberi kebahagian dan kedamaian pada fikirannya selain dari menjaga kebersihan sampai ke batas yang ekstrim.

Di kota terpencil ini, Dr Tanya  telah berada seminggu. Dia lebih banyak di rumah dari pergi ke tamu hujung minggu. Keperluannya semua didapatkannya dari supermarket yang terbesar di sini. Dia tak berapa minat ke pasar raya atau berhenti di pinggir jalan untuk membeli keperluan dapur.

Hospital di sini memang ramai pesakitnya dari kampung-kampung di sekitarnya. Penduduk di sini datang ke hospital ini untuk mendapatkan rawatan tapi ketika pesakit menjadi serius, pesakit akan dibawa ke hospital besar di Kota Kinabalu.

Dr Tanya belum berkeluarga. Jadi, mudah bagi Dr Tanya berpindah tempat. Bagi Dr Tanya , dia boleh kompromi  dalam hidupnya asal saja bukan hal yang menyangkut dengan kebersihan. Dia samasekali tidak akan dapat bertolak ansur. Meskipun Dr Tanya seorang doktor yang sepatutnya boleh berkomunikasi dengan sesiapa saja tanpa memandang bulu, kedudukan dan kekayaan, tapi bila sampai pada soal kebersihan, dia menjadi lebih agresif.  Dia punya pendirian hidup, dalam memberi perkhidmatan kemanusiaan terutamannya dalam hal kebersihan.

Pada semua hal Dr Tanya boleh dibawa berbincang tapi satu perkara yang paling dia tak boleh terima ialah dia tak akan dapat menerima cara hidup pada makan serih dan perempuan yang bersuntil. Dia tak boleh melihat suntil yang melekat di bibir. Itu adalah merupakan penyiksaan besar bagi dirinya. Dr Tanya tak tahu mengapa dia begitu tak suka dan bersikap ekstrim pada perempuan yang “bersuntil”. Baginya suntil itu saja satu fobia bagi dirinya. Hanya empat atau lima jarak saja sudah membuat Dr Konon tak dapat mengendalikan dirinya. Dia menjadi panik, tak tentu arah  dan menggeletar atau mungkin saja jatuh pingsan.

Hari itu Dr Tanya, turun kerja awal sedikit. Tapi ruang menunggu di hospital mulai dipenuhi pesakit, dari temujanji sampai pada orang yang ingin bertemu doktor untuk mendapat rawatan biasa.

Orang awam datang ke hospital pagi-pagi lagi, sejak dari pukul enam pagi, bertolak dari kampung-kampung di luar Kota, naik kereta sapu atau kereta tumpangan, yang lain tentu dengan kereta sendiri.  

Macam-macam rupa orang sakit, yang pakai dastar tradisi, wanita menggendong anak, warga emas, pesakit yang datang untuk temu janji dan wanita yang bersuntil. Semua menunggu dengan sabar, panggilan untuk diambil bp. Setelah itu baru mendaftar, ambil nombor, dan duduk sampai pada panggilan. Ini mengambil masa boleh jadi dua atau tiga jam. Tapi kalau ambil darah hingga selesai ambil ubat boleh sampai petang baru selesai. Orang hanya mengeluh tapi menerimanya dengan sabar.

Dr Tanya masuk melalui ruang tengah tempat orang awam menunggu giliran. Dia tak memerhati sangat, sekali-sekali dia memandang pada pesakit. Dia mencari bilik 5, di situ, bilik Dr Tanya. Sekilas pandang mungkin kira-kira lima puluh hingga sembilan puluh orang sedang menunggu. 

Semua mata seperti tertumpu kepada Dr Tanya. Dia mempunyai penampilan yang kemas dan agak tinggi orangnya dan pertama kali dilihat di hospital ini.

Kehadiran ramai pesakit memenuhi ruang tengah telah memberikan gambaran suasana hospital yang sibuk.  Mata Dr Tanya memandang ke kiri sedikit dan melihat seorang ibu menggendong anaknya. Sepintas pada wajah ibu setengah umur, dia memandangnya dengan pandangan seperti menyelidik. Matanya tertumpu pada mulut ibu muda itu. Pada bibirnya sebelah kiri bawah melekat tembakau yang dinamakan oleh penduduk setempat, “suntil”.  

Dr Tanya membuat reaksi kurang suka. Tapi dia sembunyikan rasa tidak senang itu pada dirinya saja. Dia, orang  yang sangat pembersih tentu saja tidak dapat menyembunyikan perasaannya dengan perempuan bersuntil ini. Dr Tanya merasa semacam gangguan pada dirinya. Matanya mulai mencari-cari lagi kalau ada pesakit bersuntil. Dia mengira sambil berjalan dalam hatinya.

Dia merasa tekanan. Dia fikir, dia fobia dengan perempuan yang bersuntil walaupun dirinya telah dilatih dalam semua keadaan akan dapat menyesuaikan diri. Ini serius katanya dalam hati. Tapi dia adalah seorang doktor, boleh bertolak ansur dalam semua perkara lain selain dia boleh mendengar sabar pesakit dengan baik. Tapi suntil, Dr Tanya tidak boleh menerimanya. Dia sangat jijik dengan suntil atau orang yang bersuntil. Kalau orang bilang sombong dengan pendirian itu, dia tak ambil peduli kerana dia dibesarkan oleh orang tuanya  dengan memberi keutamaan kebersihan dari segala-galanya.

Dr Tanya masuk ke dalam biliknya, lalu terus duduk. Jururawat pembantunya cuba memberi senyuman dan ucapan selamat pagi tapi Dr Tanya menjawab ringkas, tanpa emosi. Kolej Dr Tanya yang lain pun telah masuk ke bilik masing-masing, bilik nombor enam dan bilik nombor tujuh. Hari ini kelihatannya ramai pesakit temujanji dan juga pesakit awam. Musim penyakit, jadi, tentu ramai datang untuk mendapat rawatan. Tapi, bagi Dr Tanya , perasaannya tak tenteram, pada mata Dr Tanya ramai pesakit yang datang hari ini pengemar dan penagih sirih dan bersuntil. Barangkali itu hanya pada penglihatan dan perasaan dirinya saja.

Pengalaman Dr Tanya selama ini dia belum terdedah dengan keadaan masyarakat di sini yang masih pengemar dan penagih makan sirih, rokok kirai dan bersuntil. Fobia ini datang dalam satu masa, dia sendiri pun merasa cemas melihat orang yang masih bersuntil di alaf 21 ini. Dia cuba mencari jawaban tapi dia sendiri tak dapat menjawab pertanyaan dirinya. Jururawat, pembantu Dr Tanya telah memanggil nama pesakit.
 “Suntil binti Tembakau.”
Dr Tanya masih melihat fail di atas meja. Pesakit duduk, masih mengendong anak usianya setahun. Dia menatap wajah pesakit beberapa saat. Dan memulai pertanyaan demi pertanyaan.
“Sudah tiga hari doktor.” Jawab pesakit ringkas.
Tanpa melihat pada pesakit, Dr Tanya menulis preskripsi, ubat batuk dan demam.  Suntil pesakit wanita itu melekat pada bibir mulutnya, masa dia menerangkan suntil itu seperti bergerak turun naik. Kelihatannya dia seorang peribumi dari kampung yang jauh, utara negeri ini.

Dr Tanya kurang selesa tapi dia berpura-pura tidak menampakkannya. Dia ingin muak di tempat itu hanya kerana melihat suntil pesakit itu. Bagi Dr Tanya , suntil adalah suatu yang paling jijik dan muak. Dia tak dapat berkompromi dengan suntil. Dia tak boleh melihatnya, apa lagi berdepan dengan orang perempuan yang bersuntil.  Dr Tanya tak suka pada suntil, juga pada orang bersuntil. Menurutnya orang bersuntil itu adalah orang yang tidak menjaga kebersihan dan kurang adab. Sedangkan kebersihan bagi dirinya adalah yang paling penting dan utama dalam hidup. Bukan itu saja, suntil itu barang yang ketinggalan zaman dan tidak ada faedahnya.

Dr Tanya melihat perkara ini hitam putih, dia tak akan dapat menerima apa pun alasan. Dan ini ada hubungan dengan hidup peribadinya. Dia samasekali tak akan bertoleransi dalam perkara ini. Dan pandangannya dari fobia jadi fanatik, dia tak ada rasa simpatik pada perempuan bersuntil ini. Dia rasa geli dan tak tahan melihat orang bersuntil. Sampai dia mau muntah. Jika ada peluang mengelak, dia akan mengelak. Tapi dia terperangkap kerana dirinya seorang doktor.  Sekalipun dia benar-benar ingin muntah tapi dia masih dapat bertahan.

“Suntil atau makan sirih itu tak baik untuk kesihatan.” Dr Tanya menjelaskan supaya pesakitnya benar-benar faham.
“Sejak bila kamu ambil suntil?” Tambah Dr Tanya .
“Begini doktor, dari nenek, ibu saya, semuanya suka suntil. Saya bunting anak kedua, saya mulai suka suntil. Masa itulah, hingga hari ini, doktor. Sekarang saya ada lima orang anak.” Pesakit peribumi menjelaskan kepada Dr Tanya.

Tapi Dr Tanya  tak begitu ambil minat percakapan itu. Makin lama percakapan mereka, makin Dr Tanya kurang minat untuk melanjutkan percakapan. Baginya alasan perempuan bersuntil itu tak masuk akal. Perasaan Dr Tanya semakin tak tenang pada pesakitnya. Dr Tanya menulis sesuatu, kemudian dia memberikan kepada pesakit peribumi.

Ada lagi.”  Tanya Dr Tanya .
“Tak ada lagi, doktor.” Pesakit pribumi  berdiri dari kerusinya lalu pergi dan membuka pintu dan menutupnya rapat.

Dr Tanya tak berkata- apa-apa, hanya mengangguk pada pesakit pribumi. Dia masih menimbang-nimbang fikirannya tentang perempuan peribumi yang bersuntil sebentar tadi. Minggu pertama di hospital ini, Dr Tanya cuba bertenang. Dia tak ingin mengikutkan perasaannya. Yang jelas dia tak punya kesabaran bila menyentuh pada kebersihan. Dia benar-benar tak dapat menahan dirinya dan muak terhadap orang yang tidak ambil indah tentang kebersihan. Suntil termasuk dalam bab kebersihan.
                        
Sekalipun dia cuba menyembunyikan air muka dan sikapnya tapi tetap tak dapat dia sembunyikan. Semua berbaur dengan fobia tentang orang perempuan yang bersuntil. Sepanjang pagi hingga makan tengahari dia telah bertemu bukan satu tetapi lebih dari lima orang yang bersuntil terutamanya kaum wanita peribumi.

Dia sempat menghitung-hitung jumlah yang akan ditemui setiap hari sepanjang minggu. Aduh!Ramai. Dia tak tau bagaimana untuk mengatasi fobia melihat orang yang pengotor terhadap dirinya, fikir Dr Tanya . Dia cemas. Dia cuba menyembunyikan perasaannya. 

Akhirnya,  Dr Tanya rasa tertekan dan menjadi pergolakan yang hebat dalam dirinya. Ketika Dr Tanya sedar dia berusaha mengawal dirinya. “Baru minggu pertama di sini.” Bisik suara hati Dr Tanya .

“Apa yang harus saya buat” Dr Tanya menyoal dirinya. Dia telah berada dalam bilik ini hampir tiga jam. Pesakit masuk dan keluar. Jururawat membantu Dr Tanya dengan tekun. Sedikit saja percakapan antara mereka berdua. Dr Tanya pun tak ingin bercakap panjang, yang penting-penting saja dia akan cakap atau bertanya pada jururawat.

Tak dapat Dr Tanya bayangkan  kalau begini setiap hari, dia tak akan dapat menerima hakikatnya, apa akan jadi pada dirinya. Kelemahan dirinya, fobia dan prasangka ekstrim pada perempuan yang bersuntil. Tak perlu orang lain tau dan dia berharap hal ini tak akan menganggu profesinya sebagai seorang doktor.

Baru satu hari bekerja sebagai doktor di hospital ini, otaknya mulai terganggu. Sungguh, dia memang tak boleh samasekali melihat orang terutamanya perempuan yang bersuntil. Dr Tanya mulai berfikir semua orang di sini suka mengambil suntil. Wajah-wajah pesakit pada penglihatannya semua bersuntil terutamanya kaum perempuan. Rasa gelinya tak tertahan, dia boleh menggeletar kalau sudah terlampau. Macam-macam datang pada kepalanya, Ini saja yang dia tak boleh tahan. Perkara yang lain tak akan pernah membuatnya fobia, cuma suntil.

Dadanya sesak. Seperti menyentuh barang yang sangat menjijikan, reaksinya sangat negatif seperti orang sangat ketakutan terhadap sesuatu. Kerana dalam penglihatannya ‘suntil’ menjadi musuh dirinya. 

Tadi salah seorang pesakit bilang pada Dr Tanya, masa hendak bersalin, perempuan bersuntil itu bilang padanya dia bersalin dengan suntil di bibirnya. Sebenarnya pesakit itu menyembunyikan suntilnya di celah mulutnya. Percakapan ini membuat Dr Tanya semakin tak terana, jiwanya tersiksa di depan pesakit perempuan yang bersuntil itu. Gambaran yang dilukiskan perempuan bersuntil itu, dia dapat membayangkan di depan matanya.

Waktu berjalan terus. Ketika rehat tengahari Dr Tanya masih boleh mengontrol dirinya. Tak ada apa-apa yang berlaku. Dia tak jatuh pengsan atau diarak beramai masuk wad kecemasan. Itu tak terjadi. Dia juga tak akan merontah-rontah atau melaung seperti orang gila ketika dekat orang perempuan bersuntil. Dia tenang sekalipun ada reaksi besar yang negatif pada wajah dan tubuhnya.

Dia cuba mengelakkan fobianya itu supaya orang lain tidak melihatnya termasuk jururawat yang baru dikenalnya itu. Biar dia sendiri yang tahu. Dia sembunyikan kelemahannya. Kalau ini penyakit Dr Tanya mahu dirinya bebas dari perasaan ini. 

Petang itu semuanya berjalan dengan baik. Tak ada yang dibimbangkan. Hari pertama ini biar menjadi memori dirinya yang dia sendiri tak akan lupakan.

Dalam satu hari, Dr Tanya terdedah dengan orang perempuan yang bersuntil, dia lelah tapi dia telah selamat. Dari pagi hingga ke petang, semua ini adalah ujiannya terhadap diri Dr Tanya sendiri. Dr Tanya masih menganggap kebersihan itu adalah merupakan anak tangga kejayaan dan refleksi kehidupan luar dan dalam seseorang. 

Tapi dia tak akan menyerah kalah pada kepentingan diri sendiri dari orang awam. Dr Tanya seorang doktor, dia ingin memberikan perkhidmatan pada semua orang dari tingkat, kedudukan dan lapisan, tapi fobianya yang satu ini, suntil, adalah merupakan pertarungan yang tak akan berakhir, antara kebiasaan dan tradisi dengan sikap dan cara hidup yang terbaik.Inilah cara Dr Tanya mengatasi rasa fobianya, pertarungan dalam dirinya sendiri.

Petang itu Dr Tanya meninggalkan hospital melihat ke depan dengan penuh curiga. Besok dia akan turun dan bertarung lagi seperti tidak ada sesuatu apa pun telah terjadi pada dirinya pada hari pertama, dengan pesakit seperti Suntil.
                                  
End///…
                                  *disiarkan oleh Daily Express 29 Julai 2018

Monday 2 July 2018

Nenek Dan Cucu (Utusan Borneo)

Nenek Dan Cucu
Oleh Sabahuddin Senin

Abdul Hakeem dan Laila, isterinya, berdua telah pergi ke klinik kesihatan Langkon. Aladdin, anak mereka yang berumur masuk dua tahun ikut bersama. Tapi, Mansoorah hari ini tak ikut, dia bersekolah.

Sekolah Tadika Kemas lebih kurang sepuluh minit dari rumah mereka di Kampung Damai. Hari ini adalah giliran nenek dan atuk akan mengambil Mansoorah di sekolah tadika. Tiap hari Mansoorah pergi ke sekolah tadika dihantar oleh ayahnya, Abdul Hakeem. Kalau tidak Laila akan pula membawanya, lima belas minit sebelum pukul lapan pagi. Pukul sebelas pagi, salah seorang dari mereka akan membawa pulang Mansoorah.

Begitulah rutin tiap hari, bergilir-gilir sepanjang minggu dari isnin hingga jumaat. Tapi hari ini, Abdul Hakeem dan Laila tak akan sempat mengambil Mansoorah di sekolah tadika pada pukul sebelas pagi. Jadi, nenek dan atuk akan pergi berdua setengah jam sebelum jam sebelas pagi. Hal ini telah mereka bincangkan sekeluarga sehari sebelumnya.

Nenek dan atuk telah dijelaskan berulangkali supaya nenek dan atuk sampai sebelum jam sebelas pagi. Jalan ke sekolah tadika, taklah payah, semuanya masih dalam Kampung Damai. Keluar dari halaman rumah Abdul Hakeem, ke kiri jalan beraspal terus sampai simpang dua dekat surau. Jiran sebelah kiri kami, Mak Akram, dia ada kedai kantin, rumahnya tak berpagar. Tapi di Kampung Damai ini mempunyai beberapa buah kedai. Rumah sebelah kanan jalan menuju ke surau, imam rafiq, dulu rumah itu kepunyaan JKR, tahun-tahun tujuh puluhan, ketika JKR membina jalan raya dari Kota Belud ke Kota Marudu.

Walaupun jalan ke sekolah tadika itu, tak jauh dan mudah tapi bagi nenek dan atuk adalah satu cabaran dan ujian besar bagi mereka berdua yang kini berusia kira-kira lapan puluh tiga tahun. Di sebelah kiri ada tujuh rumah termasuk rumah yang baru dibuat masih empat tiang berdiri dan lantai semen fondasi. Rumah-rumah di sebelah kanan ada lapan buah rumah, juga ada sebuah rumah yang masih dalam pembinaan dan dua simpang lain. Tapi semua jalan itu berputar-putar masih di Kampung Damai.

Di simpang dua, surau sederhana, simpang ke kiri, lebih kurang seratus meter, di depan pohon mangga yang berbuah lebat, simpang lagi ke kiri, di sebuah rumah besar bertingkat dua, dan pohon mangga dekat dapurnya  telah rebah  masuk sedikit ke kawasan  sekolah tadika. Pohon mangga itu masih hidup, sebahagian akarnya  masih mencengkam tanah.

Nenek dan atuk sebentar-sebentar melihat jam dinding kalau sudah masanya menjemput Mansoorah di Tadika. Nenek kelihatan bimbang. Atuk, sudah biasa menjadi pengiring ke mana saja mereka pergi berdua. Atuk tak pernah tinggal, Atuk mesti ikut sama. Atuk sendiri tak suka ditinggalkan sendiri. Atuk suka keluar rumah, ke mana saja. Tapi nenek kurang suka keluar rumah, berjalan-jalan tak tentu arah, diam di rumah lebih daripada keluar.

Abdul Hakeem dan Lailah  percaya nenek dan atuk boleh ikut perancangan yang telah dibuat oleh mereka berdua beberapa hari sebelumnya. Sebelum pergi, Abdul Hakeem dan Laila bertanya berulang-ulang pada nenek dan atuk, apakah mereka berdua  boleh melakukan tugasan ini, mengambil Mansoorah, di sekolah tadika sejam sebelas pagi.

Ketika turun tangga Abdul Hakeem memandang mata isterinya, Laila mencari kata muafakat antara mereka berdua yang nenek dan atuk boleh sampai ke sekolah tadika sebelum pukul sebelas pagi. Di luar pagar rumah, Abdul Hakeem berjalan di depan sambil memegang tangan Aladdin keluar pintu pagar besi diikuti oleh isterinya, Laila.

Nenek melihat anaknya, Abdul Hakeem dan Laila mengganding Aladdin sampai keluar jalan pagar halaman rumah. Mata nenek melihat anak beranak itu berjalan belok ke kanan terus ke stesen bus. Jalan ini tak sunyi, tiap petang ramai kereta parking di luar pagar, orang-orang memilih jalan naik ke bukit sejauh tiga kilometer sampai ke puncak Stesen TV.

Pandangan nenek masih pada jalan. Walaupun mereka telah pergi kira-kira setengah jam tadi. Nenek merasa seperti kehilangan mereka. Sunyi. Aladdin dan Mansoorah, cucunya, adalah kesenangan nenek dan atuk. Cucu-cucunya ini tak pernah diam, sekalipun perbedaan umur keduanya taklah begitu jauh, Aladdin masuk dua tahun dan Mansoorah sudah lima tahun.

Tadi pagi Abdul Hakeem menghantar Mansoorah ke sekolah tadika, Aladdin ikut. Dua cucu nenek ini, tak pernah diam, mereka main sepanjang hari, berlari-lari, ketawa dan menangis. Kadang-kala nenek dan atuk tak dapat menahan kemarahannya kepada cucu berdua ini. Tapi kemarahan nenek dan atuk cepat redah. Kalau mereka ke kedai jiran selalu mereka beli gula-gula dan keropok.  Aladdin dan Mansoorah faham benar nenek dan atuk. Nenek selalu membawa mereka ikut, dan menurutkan kemahuan mereka berdua.

Nenek masuk ke dalam rumah. Atuk masih baring di tempat tidur, tilam di atas lantai. Terasa sepi, ketiadaan Aladdin dan Mansoorah. Nenek duduk di atas sofa bertantangan dengan jam dinding. Nenek boleh melihat dengan jelas pada jam dinding. Nenek telah duduk di sini entah dah berapa lama. Sebentar tadi, jam dinding berbunyi  sepuluh kali. Masih ada sejam setengah sebelum mengambil Mansoorah di sekolah tadika.

Nenek boleh melihat kaki atuk dekat pintu bilik mereka berdua. Bilik nenek dan atuk bersebelahan dengan bilik Aladdin dan Mansoorah.  Abdul Hakeem dan Laila bilik ketiga di hujung dekat dengan tangga turun ke dapur.

Walaupun dengan usianya, nenek masih boleh memasak. Abdul Hakeem dan Laila tak melarang nenek memasak apa yang nenek suka, masak mee rebus, goreng, tumis, dadar telur, ikan kering, apa saja ikut selera nenek.  Kesukaannya nenek sendiri, masak kicap dan goreng ikan atau masak ayam kurma.

Pagi tadi nenek masak mee goring, goreng telur mata sapi, dan kopi giling. Semua mereka duduk di meja panjang dan makan agak terator. Cucu-cucu nenek tak pernah tak suka masakan nenek. Mereka terbiasa dengan masakan nenek. Tak hairanlah nenek selalu berusaha supaya tiap pagi sarapan pagi tepat pada masanya. Hanya satu hal, nenek mulai sedikit lambat. Itu tak disedari oleh nenek.

Melihat cucu suka dengan masakan nenek, setelah solat subuh, nenek mulai menyiapkan sarapan yang sederhana tiap pagi. Kecuali kalau nenek rasa kurang sihat, maka nenek tidak akan bangun dan baring saja di tempat tidur. Umur nenek dan atuk dalam keadaan sekarang ini,  semua penyakit mudah berkeluaran. Nenek tak hairan  sakit-sakit sendi, darah tinggi, kencing-kencing malam menjadi sebahagian dari hidupnya. Atuk pula ada prostate kanser peringkat empat sejak dua tahun dulu. Atuk dapat bekalan ubat untuk harmon terapi.

Tapi kedua, nenek dan atuk punya selera makan yang baik. Abdul Hakeem dan Laila tidak pernah lupa membawa makanan ketika mereka pulang dari berbelanja hujung bulan atau turun ke tamu hujung minggu. Dan ini disenangi oleh nenek dan atuk. Mereka berdua mendapat pelayanan dan khidmat yang baik dari Abdul Hakeem dan Laila. Umur tidak menjadi batas untuk menjalin kasih terhadap anak-anak dan cucu-cucunya.

Sekalipun kedua cucu nenek dan atuk tidak sepanjang masa seperti ‘malaikat.’  Kerap Aladdin dan Mansoorah bergaduh saja sepanjang hari.  Dan perkara-perkara yang digaduhkan hal yang remeh-temeh . Selalunya kakak tak ingin mengalah pada adiknya, Aladdin. Dan Aladdin mulai pandai membalas balik pada kakaknya, Mansoorah.

Sebenarnya apa yang disukai atau pujian pada Aladdin, Mansoorah akan iri pada adiknya. Akhirnya, selalu saja terjadi gaduh antara Mansoorah dan Aladdin, tiada lain kerana ada rasa cemburu antara mereka berdua. Mansoorah dan Aladdin, keduanya dekat dengan nenek. Hubungan mereka antara satu sama lain penuh dengan rasa kasih.

Hidup atuk dan nenek pula berwarna-warni. Nenek  tekun menjaga dan memelihara atuk. Nenek  selalu ngomeng pada atuk yang selalu suka tidur setelah solat subuh. Nenek pula terbiasa sejak muda lagi tak akan baring setelah solat subuh. Ada saja yang dikerjakan oleh nenek.  Gaduh nenek dan atuk akan selalu tentang tidur dan perkara-perkara kecil seperti menolong di dapur atau ketika nenek memanggil atuk tidak dijawab cepat oleh atuk. Masalahnya kedua atuk dan nenek ada masalah pendengaran dan penglihatan kerana faktor usia.

Nenek akan ngomel sejam dua setelah itu hubungan mereka seperti biasa. Atuk banyak berdiam tetapi adakalanya terjadi soal jawab antara mereka. Tapi akhirnya meredah. Pahit maung masa-masa lalu selalu menjadi perbualan mereka  berulang-ulang. Kini, mereka telah sampai ke peringkat akhir dalam hidup. Tak ada lagi yang datang dalam fikiran mereka kecuali hidup bersama dengan anak dan cucu mereka Abdul Hakeem yang berkahwin lewat dalam hidupnya, ketika Abdul Hakeem berusia lima puluh tahun menikahi Laila, 25 tahun, yang berasal dari negara lautan teduh.

Nenek masih merenung-renung hidupnya. Tapi nenek tak membiarkan fikirannya terbang jauh. Sekadar  melihat sedikit ke belakang.

“Alhamdulillah,  semua ini...” Nenek  menarik nafas dalam.

Mata nenek mulai kurang awas. Tubuh nenek membongkok sedikit ke depan dan badan nenek mulai menurun dan nenek nampak pendek. Atuk masih boleh berjalan, tapi kalau solat atuk duduk di kerusi.

Nenek melihat jam dinding, fikirnya sudah masanya mereka pergi ke sekolah tadika. Bimbang nanti mereka datang terlambat. Atuk tertidur tadi, nafasnya turun naik dan dekurnya tak terlalu kuat. Nenek memerhatinya dari jauh. Nenek sudah biasa dengan Atuk yang suka tidur pagi. Dari kerusi sofa nenek mendekati  bilik mereka, cuba membangunkan atuk. Beberapa kali nenek memanggil atuk tapi tak ada reaksi. Nenek meninggikan suaranya.

Atuk memberi reaksi sedikit membuka matanya. Nenek gusar, takut terlambat mengambil Mansoorah.  Atuk masih dalam keadaan duduk, mengambil sedikit masa atuk menguasai dirinya. Akhirnya, atuk bingkas dan berdiri sejenak lalu melangkah. Nenek hanya memandang atuk.

“Kita dah lambat.” Nenek  mengingatkan atuk yang sedang berjalan ke bilik air.

Kini mereka dah bersiap akan pergi. Atuk mengunci  pintu pagar dan nenek menunggu. Langit terang-benderang, tak ada awan hitam. Ini adalah pertama kali nenek dan atuk menjemput Mansoorah. Perlahan-lahan mereka ikut jalan ke surau.  Atuk di depan sejarak tiga dan empat langkah seperti  nahkoda dengan batheranya. Mereka tak banyak bicara.

Ketika sampai di simpang dua di depan surau, mereka membelok ke kanan. Mulanya teragak-agak juga, tapi mereka yakin, ini jalan ke sekolah tadika. Sampai di hujung jalan ada pohon mangga lebat berbuah belok ke kiri ke jalan masuk kanan sejauh seratus meter sebelah kiri , di situ, sekolah tadika Mansoorah. Mansoorah menunggu di dalam, guru Tadika menyuruhnya bersiap-siap. Ia mendekati pintu diikuti oleh guru.  Nenek dan atuk berdiri tidak jauh dari pintu masuk sekolah tadika. Mereka berdua senyum pada guru Tadika.

“Ayah Mansoorah tak datang.” Tanya guru Tadika.
“Tidak, mereka pergi ke klinik Kesihatan Langkon.” Jawab nenek secara sopan.

Perlahan-lahan nenek dan atuk meninggalkan sekolah tadika menuju jalan pulang ke rumah. Tangan kanan Mansoorah dipegang oleh nenek, mereka berjalan perlahan. Atuk seperti biasa berjalan di depan. Mansoorah berhenti di depan pohon mangga.

“Nek, banyak buah.” Kata Mansoorah menunjuk ke arah pohon mangga.
“Ya.” Nenek mengangguk setuju.

Di selekoh, atuk telah meninggalkan mereka jauh. Atuk masuk ke dalam salah sebuah kedai kampung damai dan di sana atuk berbual dengan orang punya kedai, Haji Ahmad. Lama mereka berbual. Mulanya,nenek dan Mansoorah menunggu atuk. Tapi ketika atuk asyik bercerita, nenek menarik sedikit tangan Mansoorah supaya mereka jalan duluan.

Mansoorah ikut saja nenek. Dan tak membantah kemahuan nenek. Hari tak begitu panas. Mereka telah melewati beberapa rumah. Nenek membelok ke kanan. Mansoorah ikut. Atuk tak kelihatan. Mansoorah cuba mengatakan sesuatu, tapi nenek berjalan tanpa berhenti.  Di sebelah kanan jalan ada rumah papan dua tingkat, dari beranda ada orang cuba menarik perhatian nenek.

“Ini bukan jalan ke rumah nenek.”  Perempuan setengah umur itu berkata dari beranda rumahnya  ke arah nenek dan Mansorrah. Tapi nenek diam dan tak memberi reaksi.

Nenek rasa kesal dengan atuk, perangai atuk yang suka berhenti dan bercerita panjang dengan orang. Memang dari dulu atuk begitu. Pernah nenek menunggu sampai tiga jam menunggu atuk. Pengalaman ini bukan sekali dengan atuk, jadi nenek memang telah biasa dengan tabiat atuk yang tak pegang pada janji. Ketika atuk bilang,”sebentar”, itu bukan sebentar boleh sampai satu dua jam, setengah hari atau sepanjang hari. Jadi, nenek sudah jera. Sebab itu, tadi, nenek tak tunggu lama-lama.

Sejak kebelakangan ini, dunia nenek semakin kecil. Nenek menjadi pelupa. Kali ini nenek mulai merasakan ada yang tak beres. Nenek cuba menenangkan dirinya dan tidak menunjukkan ada kebimbangan pada dirinya. Nenek tak menampakkan pada cucunya, Mansoorah.

Nenek tak dapat mengenal di mana sekarang lokasi mereka. Apa lagi rupa jalan dan di mana sudah jalan pulang ke rumah. Penjual ikan yang biasa dengan nenek menghentikan motorsikalnya dan berkata kepada nenek, “Nenek telah sesat ni, ini bukan jalan ke rumah nenek, dah jauh, patah balik, ikut jalan ini sampai hujung belok kanan, di situ, rumah nenek.”

Kemudian penjual ikan itu meneruskan perjalanannya. Nenek berpatah balik. Mansoorah diam menurut. Nenek. Jelas, nenek samasekali hilang arah. Ingatannya pada jalan pulang makin kusut. Mansoorah pula yang membimbing tangan nenek. Mereka melalui jalan berlalang panjang di tepi jalan yang telah ditebas. Beberapa buah rumah dilalui mereka, akhirnya, nenek mulai kenal pada pintu rumah yang ada dua bendera yang telah lusuh dimakan waktu.

Atuk masih belum kelihatan. Masih berbual panjang dengan Haji Ahmad. Di depan pintu pagar, Mansoorah memandang nenek kesayangannya, lalu memeluknya. Nenek membalas pelukan cucunya dengan kasih dan doa. Nenek merasakan mereka telah selamat dari sesat di jalan. Sedang nenek dan Mansoorah masih berpelukan, tak begitu jauh penjual ikan sampai dengan senyum lebar.

“Ada ikan apa hari ini.” Tanya nenek kepada penjual ikan yang bermotor itu.
“Ada ikan basung, romahan dan ikan filipin.” Jawabnya kepada nenek, pelanggannya yang baik.

Dari jauh kelihatan atuk datang dari arah kedai Haji Ahmad, berjalan menuju arah mereka masih ketawa.

end///... 
*Disiarkan oleh Utusan Borneo, 12 Ogos 2018