Suntil
oleh Sabahuddin Senin
Isnin. Udara
masih dingin, matahari belum tinggi. Ini adalah minggu pertama Dr Tanya
ditugaskan di sebuah hospital luar bandar tidak jauh dari Kota Kinabalu. Dengan
kereta mengambil masa dua atau tiga jam perjalanan. Kalau ada pilihan tentu
Dr Tanya suka hospital di bandar raya. Perpindahannya di
hospital ini, diterima dengan sederhana tanpa ada jamuan perpisahan dengan
kolejnya. Dr Tanya pun senyap-senyap dipindahkan ke negeri ini.
Dr Tanya seorang doktor yang mempunyai dedikasi
tinggi pada profesinya, lulusan luar negara, Universiti Sydney , Australia .
Dia kemas, displin dan menjaga sangat kebersihan. Tentang kebersihan, dia telah
dididik oleh ayah bondanya dengan baik. Di rumah Dr Tanya, dia
mengutamakan kebersihan lebih dari segala-galanya, dari segi pakaian, bilik
tidur, dapur dan bilik air, semuanya dikerjakan sendiri sekalipun Dr Tanya mampu mengaji seorang pembantu.
Tapi Dr Tanya lebih suka mengerjakan sendiri kerana dalam hal kebersihan dia tak akan berkompromi. Dia mau sempurna. Bilik air dan tandas dicucinya berulang-ulang memastikan tidak ada bakteria bersembunyi di sudut bilik yang kalau tidak dibersihkan nanti akan berlipat gandah dalam masa sedikit.
Dr Tanya ada caranya sendiri mengemas bilik tidur
dan dapur, orang lain tidak tau. Pinggan mangkuk dicuci demikian rupa dan
disusun rapi, dia tidak akan membiarkan sedikitpun kotoran tertinggal. Rumah
Dr Tanya lebih dari kebiasaan, sangat bersih. Dan dia percaya
tiada yang boleh memberi kebahagian dan kedamaian pada fikirannya selain dari
menjaga kebersihan sampai ke batas yang ekstrim.
Di kota
terpencil ini, Dr Tanya telah berada seminggu. Dia lebih banyak
di rumah dari pergi ke tamu hujung minggu. Keperluannya semua
didapatkannya dari supermarket yang terbesar di sini. Dia tak berapa minat ke
pasar raya atau berhenti di pinggir jalan untuk membeli keperluan dapur.
Hospital di sini memang ramai pesakitnya dari
kampung-kampung di sekitarnya. Penduduk di sini datang ke hospital ini untuk
mendapatkan rawatan tapi ketika pesakit menjadi serius, pesakit akan dibawa ke
hospital besar di Kota Kinabalu.
Dr Tanya belum berkeluarga. Jadi, mudah bagi
Dr Tanya berpindah tempat. Bagi Dr Tanya , dia
boleh kompromi dalam hidupnya asal saja bukan hal yang menyangkut
dengan kebersihan. Dia samasekali tidak akan dapat bertolak ansur. Meskipun
Dr Tanya seorang doktor yang sepatutnya boleh berkomunikasi dengan sesiapa saja tanpa memandang bulu, kedudukan dan
kekayaan, tapi bila sampai pada soal kebersihan, dia menjadi lebih
agresif. Dia punya pendirian hidup, dalam memberi perkhidmatan
kemanusiaan terutamannya dalam hal kebersihan.
Pada semua hal Dr Tanya boleh dibawa berbincang
tapi satu perkara yang paling dia tak boleh terima ialah dia tak akan
dapat menerima cara hidup pada makan serih dan perempuan yang bersuntil. Dia
tak boleh melihat suntil yang melekat di bibir. Itu adalah merupakan penyiksaan
besar bagi dirinya. Dr Tanya tak tahu mengapa dia begitu tak
suka dan bersikap ekstrim pada perempuan yang “bersuntil”. Baginya suntil itu
saja satu fobia bagi dirinya. Hanya empat atau lima jarak saja sudah membuat Dr Konon tak
dapat mengendalikan dirinya. Dia menjadi panik, tak tentu arah dan
menggeletar atau mungkin saja jatuh pingsan.
Hari itu Dr Tanya, turun kerja awal sedikit. Tapi
ruang menunggu di hospital mulai dipenuhi pesakit, dari temujanji sampai
pada orang yang ingin bertemu doktor untuk mendapat rawatan biasa.
Orang awam datang ke hospital pagi-pagi lagi, sejak dari
pukul enam pagi, bertolak dari kampung-kampung di luar Kota , naik kereta sapu atau kereta tumpangan,
yang lain tentu dengan kereta sendiri.
Macam-macam rupa orang sakit, yang pakai dastar tradisi, wanita menggendong anak, warga emas, pesakit yang datang untuk temu janji dan wanita yang bersuntil. Semua menunggu dengan sabar, panggilan untuk diambil bp. Setelah itu baru mendaftar, ambil nombor, dan duduk sampai pada panggilan. Ini mengambil masa boleh jadi dua atau tiga jam. Tapi kalau ambil darah hingga selesai ambil ubat boleh sampai petang baru selesai. Orang hanya mengeluh tapi menerimanya dengan sabar.
Dr Tanya masuk melalui ruang tengah tempat orang
awam menunggu giliran. Dia tak memerhati sangat, sekali-sekali dia
memandang pada pesakit. Dia mencari bilik 5, di situ, bilik
Dr Tanya. Sekilas pandang mungkin kira-kira lima puluh hingga sembilan puluh orang sedang
menunggu.
Semua mata seperti tertumpu kepada Dr Tanya. Dia
mempunyai penampilan yang kemas dan agak tinggi orangnya dan pertama kali
dilihat di hospital ini.
Kehadiran ramai pesakit memenuhi ruang tengah telah
memberikan gambaran suasana hospital yang sibuk. Mata
Dr Tanya memandang ke kiri sedikit dan melihat seorang ibu
menggendong anaknya. Sepintas pada wajah ibu setengah umur, dia memandangnya
dengan pandangan seperti menyelidik. Matanya tertumpu pada mulut ibu muda itu.
Pada bibirnya sebelah kiri bawah melekat tembakau yang dinamakan oleh penduduk
setempat, “suntil”.
Dr Tanya membuat reaksi kurang suka. Tapi dia
sembunyikan rasa tidak senang itu pada dirinya saja. Dia, orang yang
sangat pembersih tentu saja tidak dapat menyembunyikan perasaannya dengan
perempuan bersuntil ini. Dr Tanya merasa semacam gangguan
pada dirinya. Matanya mulai mencari-cari lagi kalau ada pesakit bersuntil.
Dia mengira sambil berjalan dalam hatinya.
Dia merasa tekanan. Dia fikir, dia fobia dengan perempuan yang bersuntil walaupun dirinya telah dilatih dalam semua keadaan akan dapat menyesuaikan diri. Ini serius katanya dalam hati. Tapi dia adalah seorang doktor, boleh bertolak ansur dalam semua perkara lain selain dia boleh mendengar sabar pesakit dengan baik. Tapi suntil, Dr Tanya tidak boleh menerimanya. Dia sangat jijik dengan suntil atau orang yang bersuntil. Kalau orang bilang sombong dengan pendirian itu, dia tak ambil peduli kerana dia dibesarkan oleh orang tuanya dengan memberi keutamaan kebersihan dari segala-galanya.
Dr Tanya masuk ke dalam biliknya, lalu terus
duduk. Jururawat pembantunya cuba memberi senyuman dan ucapan
selamat pagi tapi Dr Tanya menjawab ringkas, tanpa emosi. Kolej
Dr Tanya yang lain pun telah masuk ke bilik masing-masing, bilik
nombor enam dan bilik nombor tujuh. Hari ini kelihatannya ramai pesakit
temujanji dan juga pesakit awam. Musim penyakit, jadi, tentu ramai datang untuk
mendapat rawatan. Tapi, bagi Dr Tanya , perasaannya tak
tenteram, pada mata Dr Tanya ramai pesakit yang datang hari ini
pengemar dan penagih sirih dan bersuntil. Barangkali itu hanya pada penglihatan
dan perasaan dirinya saja.
Pengalaman Dr Tanya selama ini dia belum terdedah
dengan keadaan masyarakat di sini yang masih pengemar dan penagih makan
sirih, rokok kirai dan bersuntil. Fobia ini datang dalam satu masa, dia sendiri
pun merasa cemas melihat orang yang masih bersuntil di alaf 21 ini. Dia cuba
mencari jawaban tapi dia sendiri tak dapat menjawab pertanyaan dirinya. Jururawat, pembantu Dr Tanya telah memanggil nama
pesakit.
“Suntil binti Tembakau.”
Dr Tanya masih melihat fail di atas meja. Pesakit
duduk, masih mengendong anak usianya setahun. Dia menatap wajah pesakit
beberapa saat. Dan memulai pertanyaan demi pertanyaan.
“Sudah tiga hari doktor.” Jawab pesakit ringkas.
Tanpa melihat pada pesakit, Dr Tanya menulis
preskripsi, ubat batuk dan demam. Suntil pesakit wanita itu melekat
pada bibir mulutnya, masa dia menerangkan suntil itu seperti bergerak turun
naik. Kelihatannya dia seorang peribumi dari kampung yang jauh, utara negeri
ini.
Dr Tanya kurang selesa tapi dia berpura-pura
tidak menampakkannya. Dia ingin muak di tempat itu hanya kerana melihat
suntil pesakit itu. Bagi Dr Tanya , suntil adalah suatu yang
paling jijik dan muak. Dia tak dapat berkompromi dengan suntil. Dia tak
boleh melihatnya, apa lagi berdepan dengan orang perempuan yang
bersuntil. Dr Tanya tak suka pada suntil, juga pada
orang bersuntil. Menurutnya orang bersuntil itu adalah orang yang tidak
menjaga kebersihan dan kurang adab. Sedangkan kebersihan bagi dirinya adalah
yang paling penting dan utama dalam hidup. Bukan itu saja, suntil itu barang
yang ketinggalan zaman dan tidak ada faedahnya.
Dr Tanya melihat perkara ini hitam putih, dia tak
akan dapat menerima apa pun alasan. Dan ini ada hubungan dengan hidup
peribadinya. Dia samasekali tak akan bertoleransi dalam perkara ini. Dan
pandangannya dari fobia jadi fanatik, dia tak ada rasa simpatik pada perempuan
bersuntil ini. Dia rasa geli dan tak tahan melihat orang bersuntil. Sampai dia
mau muntah. Jika ada peluang mengelak, dia akan mengelak. Tapi dia terperangkap
kerana dirinya seorang doktor. Sekalipun dia benar-benar ingin muntah
tapi dia masih dapat bertahan.
“Suntil atau makan sirih itu tak baik untuk kesihatan.”
Dr Tanya menjelaskan supaya pesakitnya benar-benar faham.
“Sejak bila kamu ambil suntil?” Tambah Dr Tanya .
“Begini doktor, dari nenek, ibu saya, semuanya suka suntil.
Saya bunting anak kedua, saya mulai suka suntil. Masa itulah, hingga hari ini,
doktor. Sekarang saya ada lima
orang anak.” Pesakit peribumi menjelaskan kepada Dr Tanya.
Tapi Dr Tanya tak begitu ambil minat
percakapan itu. Makin lama percakapan mereka, makin
Dr Tanya kurang minat untuk melanjutkan percakapan. Baginya
alasan perempuan bersuntil itu tak masuk akal. Perasaan
Dr Tanya semakin tak tenang pada pesakitnya.
Dr Tanya menulis sesuatu, kemudian dia memberikan kepada pesakit
peribumi.
“Ada
lagi.” Tanya Dr Tanya .
“Tak ada lagi, doktor.” Pesakit pribumi berdiri dari
kerusinya lalu pergi dan membuka pintu dan menutupnya rapat.
Dr Tanya tak berkata- apa-apa, hanya mengangguk
pada pesakit pribumi. Dia masih menimbang-nimbang fikirannya tentang
perempuan peribumi yang bersuntil sebentar tadi. Minggu pertama di hospital
ini, Dr Tanya cuba
bertenang. Dia tak ingin mengikutkan perasaannya. Yang jelas dia tak punya
kesabaran bila menyentuh pada kebersihan. Dia benar-benar tak dapat menahan
dirinya dan muak terhadap orang yang tidak ambil indah tentang kebersihan.
Suntil termasuk dalam bab kebersihan.
Sekalipun dia cuba menyembunyikan air muka dan
sikapnya tapi tetap tak dapat dia sembunyikan. Semua berbaur dengan fobia
tentang orang perempuan yang bersuntil. Sepanjang pagi hingga makan tengahari
dia telah bertemu bukan satu tetapi lebih dari lima orang yang bersuntil terutamanya kaum
wanita peribumi.
Dia sempat menghitung-hitung jumlah yang akan ditemui
setiap hari sepanjang minggu. Aduh!Ramai. Dia tak tau bagaimana untuk mengatasi
fobia melihat orang yang pengotor terhadap dirinya, fikir Dr Tanya .
Dia cemas. Dia cuba
menyembunyikan perasaannya.
Akhirnya, Dr Tanya rasa tertekan dan
menjadi pergolakan yang hebat dalam dirinya. Ketika
Dr Tanya sedar dia berusaha mengawal dirinya. “Baru minggu
pertama di sini.” Bisik suara hati Dr Tanya .
“Apa yang harus saya buat” Dr Tanya menyoal
dirinya. Dia telah berada dalam bilik ini hampir tiga jam. Pesakit masuk
dan keluar. Jururawat membantu Dr Tanya dengan tekun. Sedikit saja
percakapan antara mereka berdua. Dr Tanya pun tak ingin
bercakap panjang, yang penting-penting saja dia akan cakap atau bertanya
pada jururawat.
Tak dapat Dr Tanya bayangkan kalau begini
setiap hari, dia tak akan dapat menerima hakikatnya, apa akan jadi pada
dirinya. Kelemahan dirinya, fobia dan prasangka ekstrim pada perempuan yang
bersuntil. Tak perlu orang lain tau dan dia berharap hal ini tak akan menganggu
profesinya sebagai seorang doktor.
Baru satu hari bekerja sebagai doktor di hospital ini,
otaknya mulai terganggu. Sungguh, dia memang tak boleh samasekali melihat orang
terutamanya perempuan yang bersuntil. Dr Tanya mulai
berfikir semua orang di sini suka mengambil suntil. Wajah-wajah pesakit
pada penglihatannya semua bersuntil terutamanya kaum perempuan. Rasa gelinya
tak tertahan, dia boleh menggeletar kalau sudah terlampau. Macam-macam datang
pada kepalanya, Ini saja yang dia tak boleh tahan. Perkara yang lain tak akan
pernah membuatnya fobia, cuma suntil.
Dadanya sesak. Seperti menyentuh barang yang sangat
menjijikan, reaksinya sangat negatif seperti orang sangat ketakutan terhadap
sesuatu. Kerana dalam penglihatannya ‘suntil’ menjadi musuh dirinya.
Tadi salah seorang pesakit bilang pada Dr Tanya, masa hendak bersalin, perempuan bersuntil itu bilang padanya dia bersalin dengan suntil di bibirnya. Sebenarnya pesakit itu menyembunyikan suntilnya di celah mulutnya. Percakapan ini membuat Dr Tanya semakin tak terana, jiwanya tersiksa di depan pesakit perempuan yang bersuntil itu. Gambaran yang dilukiskan perempuan bersuntil itu, dia dapat membayangkan di depan matanya.
Waktu berjalan terus. Ketika rehat tengahari
Dr Tanya masih boleh mengontrol dirinya. Tak ada apa-apa yang
berlaku. Dia tak jatuh pengsan atau diarak beramai masuk wad kecemasan. Itu tak
terjadi. Dia juga tak akan merontah-rontah atau melaung seperti orang gila
ketika dekat orang perempuan bersuntil. Dia tenang sekalipun ada reaksi besar
yang negatif pada wajah dan tubuhnya.
Dia cuba
mengelakkan fobianya itu supaya orang lain tidak melihatnya termasuk jururawat
yang baru dikenalnya itu. Biar dia sendiri yang tahu. Dia sembunyikan
kelemahannya. Kalau ini penyakit Dr Tanya mahu dirinya bebas dari
perasaan ini.
Petang itu semuanya berjalan dengan baik. Tak ada yang
dibimbangkan. Hari pertama ini biar menjadi memori dirinya yang dia sendiri tak
akan lupakan.
Dalam satu hari, Dr Tanya terdedah dengan orang
perempuan yang bersuntil, dia lelah tapi dia telah selamat. Dari pagi
hingga ke petang, semua ini adalah ujiannya terhadap diri
Dr Tanya sendiri. Dr Tanya masih menganggap kebersihan itu
adalah merupakan anak tangga kejayaan dan refleksi kehidupan luar dan
dalam seseorang.
Tapi dia tak akan menyerah kalah pada kepentingan diri sendiri dari orang awam. Dr Tanya seorang doktor, dia ingin memberikan perkhidmatan pada semua orang dari tingkat, kedudukan dan lapisan, tapi fobianya yang satu ini, suntil, adalah merupakan pertarungan yang tak akan berakhir, antara kebiasaan dan tradisi dengan sikap dan cara hidup yang terbaik.Inilah
Petang itu Dr Tanya meninggalkan hospital melihat
ke depan dengan penuh curiga. Besok dia akan turun dan bertarung lagi
seperti tidak ada sesuatu apa pun telah terjadi pada dirinya pada hari pertama,
dengan pesakit seperti Suntil.
End///…
*disiarkan oleh Daily Express 29 Julai 2018
terimakasih untuk informasinya,,www.rahma-store.com
ReplyDeleteterimakasih
ReplyDelete