Monday, 2 July 2018

Nenek Dan Cucu (Utusan Borneo)

Nenek Dan Cucu
Oleh Sabahuddin Senin

Abdul Hakeem dan Laila, isterinya, berdua telah pergi ke klinik kesihatan Langkon. Aladdin, anak mereka yang berumur masuk dua tahun ikut bersama. Tapi, Mansoorah hari ini tak ikut, dia bersekolah.

Sekolah Tadika Kemas lebih kurang sepuluh minit dari rumah mereka di Kampung Damai. Hari ini adalah giliran nenek dan atuk akan mengambil Mansoorah di sekolah tadika. Tiap hari Mansoorah pergi ke sekolah tadika dihantar oleh ayahnya, Abdul Hakeem. Kalau tidak Laila akan pula membawanya, lima belas minit sebelum pukul lapan pagi. Pukul sebelas pagi, salah seorang dari mereka akan membawa pulang Mansoorah.

Begitulah rutin tiap hari, bergilir-gilir sepanjang minggu dari isnin hingga jumaat. Tapi hari ini, Abdul Hakeem dan Laila tak akan sempat mengambil Mansoorah di sekolah tadika pada pukul sebelas pagi. Jadi, nenek dan atuk akan pergi berdua setengah jam sebelum jam sebelas pagi. Hal ini telah mereka bincangkan sekeluarga sehari sebelumnya.

Nenek dan atuk telah dijelaskan berulangkali supaya nenek dan atuk sampai sebelum jam sebelas pagi. Jalan ke sekolah tadika, taklah payah, semuanya masih dalam Kampung Damai. Keluar dari halaman rumah Abdul Hakeem, ke kiri jalan beraspal terus sampai simpang dua dekat surau. Jiran sebelah kiri kami, Mak Akram, dia ada kedai kantin, rumahnya tak berpagar. Tapi di Kampung Damai ini mempunyai beberapa buah kedai. Rumah sebelah kanan jalan menuju ke surau, imam rafiq, dulu rumah itu kepunyaan JKR, tahun-tahun tujuh puluhan, ketika JKR membina jalan raya dari Kota Belud ke Kota Marudu.

Walaupun jalan ke sekolah tadika itu, tak jauh dan mudah tapi bagi nenek dan atuk adalah satu cabaran dan ujian besar bagi mereka berdua yang kini berusia kira-kira lapan puluh tiga tahun. Di sebelah kiri ada tujuh rumah termasuk rumah yang baru dibuat masih empat tiang berdiri dan lantai semen fondasi. Rumah-rumah di sebelah kanan ada lapan buah rumah, juga ada sebuah rumah yang masih dalam pembinaan dan dua simpang lain. Tapi semua jalan itu berputar-putar masih di Kampung Damai.

Di simpang dua, surau sederhana, simpang ke kiri, lebih kurang seratus meter, di depan pohon mangga yang berbuah lebat, simpang lagi ke kiri, di sebuah rumah besar bertingkat dua, dan pohon mangga dekat dapurnya  telah rebah  masuk sedikit ke kawasan  sekolah tadika. Pohon mangga itu masih hidup, sebahagian akarnya  masih mencengkam tanah.

Nenek dan atuk sebentar-sebentar melihat jam dinding kalau sudah masanya menjemput Mansoorah di Tadika. Nenek kelihatan bimbang. Atuk, sudah biasa menjadi pengiring ke mana saja mereka pergi berdua. Atuk tak pernah tinggal, Atuk mesti ikut sama. Atuk sendiri tak suka ditinggalkan sendiri. Atuk suka keluar rumah, ke mana saja. Tapi nenek kurang suka keluar rumah, berjalan-jalan tak tentu arah, diam di rumah lebih daripada keluar.

Abdul Hakeem dan Lailah  percaya nenek dan atuk boleh ikut perancangan yang telah dibuat oleh mereka berdua beberapa hari sebelumnya. Sebelum pergi, Abdul Hakeem dan Laila bertanya berulang-ulang pada nenek dan atuk, apakah mereka berdua  boleh melakukan tugasan ini, mengambil Mansoorah, di sekolah tadika sejam sebelas pagi.

Ketika turun tangga Abdul Hakeem memandang mata isterinya, Laila mencari kata muafakat antara mereka berdua yang nenek dan atuk boleh sampai ke sekolah tadika sebelum pukul sebelas pagi. Di luar pagar rumah, Abdul Hakeem berjalan di depan sambil memegang tangan Aladdin keluar pintu pagar besi diikuti oleh isterinya, Laila.

Nenek melihat anaknya, Abdul Hakeem dan Laila mengganding Aladdin sampai keluar jalan pagar halaman rumah. Mata nenek melihat anak beranak itu berjalan belok ke kanan terus ke stesen bus. Jalan ini tak sunyi, tiap petang ramai kereta parking di luar pagar, orang-orang memilih jalan naik ke bukit sejauh tiga kilometer sampai ke puncak Stesen TV.

Pandangan nenek masih pada jalan. Walaupun mereka telah pergi kira-kira setengah jam tadi. Nenek merasa seperti kehilangan mereka. Sunyi. Aladdin dan Mansoorah, cucunya, adalah kesenangan nenek dan atuk. Cucu-cucunya ini tak pernah diam, sekalipun perbedaan umur keduanya taklah begitu jauh, Aladdin masuk dua tahun dan Mansoorah sudah lima tahun.

Tadi pagi Abdul Hakeem menghantar Mansoorah ke sekolah tadika, Aladdin ikut. Dua cucu nenek ini, tak pernah diam, mereka main sepanjang hari, berlari-lari, ketawa dan menangis. Kadang-kala nenek dan atuk tak dapat menahan kemarahannya kepada cucu berdua ini. Tapi kemarahan nenek dan atuk cepat redah. Kalau mereka ke kedai jiran selalu mereka beli gula-gula dan keropok.  Aladdin dan Mansoorah faham benar nenek dan atuk. Nenek selalu membawa mereka ikut, dan menurutkan kemahuan mereka berdua.

Nenek masuk ke dalam rumah. Atuk masih baring di tempat tidur, tilam di atas lantai. Terasa sepi, ketiadaan Aladdin dan Mansoorah. Nenek duduk di atas sofa bertantangan dengan jam dinding. Nenek boleh melihat dengan jelas pada jam dinding. Nenek telah duduk di sini entah dah berapa lama. Sebentar tadi, jam dinding berbunyi  sepuluh kali. Masih ada sejam setengah sebelum mengambil Mansoorah di sekolah tadika.

Nenek boleh melihat kaki atuk dekat pintu bilik mereka berdua. Bilik nenek dan atuk bersebelahan dengan bilik Aladdin dan Mansoorah.  Abdul Hakeem dan Laila bilik ketiga di hujung dekat dengan tangga turun ke dapur.

Walaupun dengan usianya, nenek masih boleh memasak. Abdul Hakeem dan Laila tak melarang nenek memasak apa yang nenek suka, masak mee rebus, goreng, tumis, dadar telur, ikan kering, apa saja ikut selera nenek.  Kesukaannya nenek sendiri, masak kicap dan goreng ikan atau masak ayam kurma.

Pagi tadi nenek masak mee goring, goreng telur mata sapi, dan kopi giling. Semua mereka duduk di meja panjang dan makan agak terator. Cucu-cucu nenek tak pernah tak suka masakan nenek. Mereka terbiasa dengan masakan nenek. Tak hairanlah nenek selalu berusaha supaya tiap pagi sarapan pagi tepat pada masanya. Hanya satu hal, nenek mulai sedikit lambat. Itu tak disedari oleh nenek.

Melihat cucu suka dengan masakan nenek, setelah solat subuh, nenek mulai menyiapkan sarapan yang sederhana tiap pagi. Kecuali kalau nenek rasa kurang sihat, maka nenek tidak akan bangun dan baring saja di tempat tidur. Umur nenek dan atuk dalam keadaan sekarang ini,  semua penyakit mudah berkeluaran. Nenek tak hairan  sakit-sakit sendi, darah tinggi, kencing-kencing malam menjadi sebahagian dari hidupnya. Atuk pula ada prostate kanser peringkat empat sejak dua tahun dulu. Atuk dapat bekalan ubat untuk harmon terapi.

Tapi kedua, nenek dan atuk punya selera makan yang baik. Abdul Hakeem dan Laila tidak pernah lupa membawa makanan ketika mereka pulang dari berbelanja hujung bulan atau turun ke tamu hujung minggu. Dan ini disenangi oleh nenek dan atuk. Mereka berdua mendapat pelayanan dan khidmat yang baik dari Abdul Hakeem dan Laila. Umur tidak menjadi batas untuk menjalin kasih terhadap anak-anak dan cucu-cucunya.

Sekalipun kedua cucu nenek dan atuk tidak sepanjang masa seperti ‘malaikat.’  Kerap Aladdin dan Mansoorah bergaduh saja sepanjang hari.  Dan perkara-perkara yang digaduhkan hal yang remeh-temeh . Selalunya kakak tak ingin mengalah pada adiknya, Aladdin. Dan Aladdin mulai pandai membalas balik pada kakaknya, Mansoorah.

Sebenarnya apa yang disukai atau pujian pada Aladdin, Mansoorah akan iri pada adiknya. Akhirnya, selalu saja terjadi gaduh antara Mansoorah dan Aladdin, tiada lain kerana ada rasa cemburu antara mereka berdua. Mansoorah dan Aladdin, keduanya dekat dengan nenek. Hubungan mereka antara satu sama lain penuh dengan rasa kasih.

Hidup atuk dan nenek pula berwarna-warni. Nenek  tekun menjaga dan memelihara atuk. Nenek  selalu ngomeng pada atuk yang selalu suka tidur setelah solat subuh. Nenek pula terbiasa sejak muda lagi tak akan baring setelah solat subuh. Ada saja yang dikerjakan oleh nenek.  Gaduh nenek dan atuk akan selalu tentang tidur dan perkara-perkara kecil seperti menolong di dapur atau ketika nenek memanggil atuk tidak dijawab cepat oleh atuk. Masalahnya kedua atuk dan nenek ada masalah pendengaran dan penglihatan kerana faktor usia.

Nenek akan ngomel sejam dua setelah itu hubungan mereka seperti biasa. Atuk banyak berdiam tetapi adakalanya terjadi soal jawab antara mereka. Tapi akhirnya meredah. Pahit maung masa-masa lalu selalu menjadi perbualan mereka  berulang-ulang. Kini, mereka telah sampai ke peringkat akhir dalam hidup. Tak ada lagi yang datang dalam fikiran mereka kecuali hidup bersama dengan anak dan cucu mereka Abdul Hakeem yang berkahwin lewat dalam hidupnya, ketika Abdul Hakeem berusia lima puluh tahun menikahi Laila, 25 tahun, yang berasal dari negara lautan teduh.

Nenek masih merenung-renung hidupnya. Tapi nenek tak membiarkan fikirannya terbang jauh. Sekadar  melihat sedikit ke belakang.

“Alhamdulillah,  semua ini...” Nenek  menarik nafas dalam.

Mata nenek mulai kurang awas. Tubuh nenek membongkok sedikit ke depan dan badan nenek mulai menurun dan nenek nampak pendek. Atuk masih boleh berjalan, tapi kalau solat atuk duduk di kerusi.

Nenek melihat jam dinding, fikirnya sudah masanya mereka pergi ke sekolah tadika. Bimbang nanti mereka datang terlambat. Atuk tertidur tadi, nafasnya turun naik dan dekurnya tak terlalu kuat. Nenek memerhatinya dari jauh. Nenek sudah biasa dengan Atuk yang suka tidur pagi. Dari kerusi sofa nenek mendekati  bilik mereka, cuba membangunkan atuk. Beberapa kali nenek memanggil atuk tapi tak ada reaksi. Nenek meninggikan suaranya.

Atuk memberi reaksi sedikit membuka matanya. Nenek gusar, takut terlambat mengambil Mansoorah.  Atuk masih dalam keadaan duduk, mengambil sedikit masa atuk menguasai dirinya. Akhirnya, atuk bingkas dan berdiri sejenak lalu melangkah. Nenek hanya memandang atuk.

“Kita dah lambat.” Nenek  mengingatkan atuk yang sedang berjalan ke bilik air.

Kini mereka dah bersiap akan pergi. Atuk mengunci  pintu pagar dan nenek menunggu. Langit terang-benderang, tak ada awan hitam. Ini adalah pertama kali nenek dan atuk menjemput Mansoorah. Perlahan-lahan mereka ikut jalan ke surau.  Atuk di depan sejarak tiga dan empat langkah seperti  nahkoda dengan batheranya. Mereka tak banyak bicara.

Ketika sampai di simpang dua di depan surau, mereka membelok ke kanan. Mulanya teragak-agak juga, tapi mereka yakin, ini jalan ke sekolah tadika. Sampai di hujung jalan ada pohon mangga lebat berbuah belok ke kiri ke jalan masuk kanan sejauh seratus meter sebelah kiri , di situ, sekolah tadika Mansoorah. Mansoorah menunggu di dalam, guru Tadika menyuruhnya bersiap-siap. Ia mendekati pintu diikuti oleh guru.  Nenek dan atuk berdiri tidak jauh dari pintu masuk sekolah tadika. Mereka berdua senyum pada guru Tadika.

“Ayah Mansoorah tak datang.” Tanya guru Tadika.
“Tidak, mereka pergi ke klinik Kesihatan Langkon.” Jawab nenek secara sopan.

Perlahan-lahan nenek dan atuk meninggalkan sekolah tadika menuju jalan pulang ke rumah. Tangan kanan Mansoorah dipegang oleh nenek, mereka berjalan perlahan. Atuk seperti biasa berjalan di depan. Mansoorah berhenti di depan pohon mangga.

“Nek, banyak buah.” Kata Mansoorah menunjuk ke arah pohon mangga.
“Ya.” Nenek mengangguk setuju.

Di selekoh, atuk telah meninggalkan mereka jauh. Atuk masuk ke dalam salah sebuah kedai kampung damai dan di sana atuk berbual dengan orang punya kedai, Haji Ahmad. Lama mereka berbual. Mulanya,nenek dan Mansoorah menunggu atuk. Tapi ketika atuk asyik bercerita, nenek menarik sedikit tangan Mansoorah supaya mereka jalan duluan.

Mansoorah ikut saja nenek. Dan tak membantah kemahuan nenek. Hari tak begitu panas. Mereka telah melewati beberapa rumah. Nenek membelok ke kanan. Mansoorah ikut. Atuk tak kelihatan. Mansoorah cuba mengatakan sesuatu, tapi nenek berjalan tanpa berhenti.  Di sebelah kanan jalan ada rumah papan dua tingkat, dari beranda ada orang cuba menarik perhatian nenek.

“Ini bukan jalan ke rumah nenek.”  Perempuan setengah umur itu berkata dari beranda rumahnya  ke arah nenek dan Mansorrah. Tapi nenek diam dan tak memberi reaksi.

Nenek rasa kesal dengan atuk, perangai atuk yang suka berhenti dan bercerita panjang dengan orang. Memang dari dulu atuk begitu. Pernah nenek menunggu sampai tiga jam menunggu atuk. Pengalaman ini bukan sekali dengan atuk, jadi nenek memang telah biasa dengan tabiat atuk yang tak pegang pada janji. Ketika atuk bilang,”sebentar”, itu bukan sebentar boleh sampai satu dua jam, setengah hari atau sepanjang hari. Jadi, nenek sudah jera. Sebab itu, tadi, nenek tak tunggu lama-lama.

Sejak kebelakangan ini, dunia nenek semakin kecil. Nenek menjadi pelupa. Kali ini nenek mulai merasakan ada yang tak beres. Nenek cuba menenangkan dirinya dan tidak menunjukkan ada kebimbangan pada dirinya. Nenek tak menampakkan pada cucunya, Mansoorah.

Nenek tak dapat mengenal di mana sekarang lokasi mereka. Apa lagi rupa jalan dan di mana sudah jalan pulang ke rumah. Penjual ikan yang biasa dengan nenek menghentikan motorsikalnya dan berkata kepada nenek, “Nenek telah sesat ni, ini bukan jalan ke rumah nenek, dah jauh, patah balik, ikut jalan ini sampai hujung belok kanan, di situ, rumah nenek.”

Kemudian penjual ikan itu meneruskan perjalanannya. Nenek berpatah balik. Mansoorah diam menurut. Nenek. Jelas, nenek samasekali hilang arah. Ingatannya pada jalan pulang makin kusut. Mansoorah pula yang membimbing tangan nenek. Mereka melalui jalan berlalang panjang di tepi jalan yang telah ditebas. Beberapa buah rumah dilalui mereka, akhirnya, nenek mulai kenal pada pintu rumah yang ada dua bendera yang telah lusuh dimakan waktu.

Atuk masih belum kelihatan. Masih berbual panjang dengan Haji Ahmad. Di depan pintu pagar, Mansoorah memandang nenek kesayangannya, lalu memeluknya. Nenek membalas pelukan cucunya dengan kasih dan doa. Nenek merasakan mereka telah selamat dari sesat di jalan. Sedang nenek dan Mansoorah masih berpelukan, tak begitu jauh penjual ikan sampai dengan senyum lebar.

“Ada ikan apa hari ini.” Tanya nenek kepada penjual ikan yang bermotor itu.
“Ada ikan basung, romahan dan ikan filipin.” Jawabnya kepada nenek, pelanggannya yang baik.

Dari jauh kelihatan atuk datang dari arah kedai Haji Ahmad, berjalan menuju arah mereka masih ketawa.

end///... 
*Disiarkan oleh Utusan Borneo, 12 Ogos 2018

No comments:

Post a Comment