Tuesday 4 September 2018

Hadiah Merdeka (Utusan Borneo)

Hadiah Merdeka
Oleh Sabahuddin Senin
Kota Marudu.

Aku telah menunggu di ruang tunggu ini sudah beberapa jam. Tapi belum ada berita. Aku pun tak menghitung saat, minit dan jam atau hari. Terasa sudah lama menunggu. Menunggu itu suatu yang penuh tanda tanya tapi setelah menjadi khabar suka adalah suatu kebahagiaan.

Masa isteri mengandung orang-orang yang dekat pun tertanya-tanya, apa benar Zainab kini berbadan dua. Setelah Zainab memang benar dari keputusan uji kencing, Zainab mengandung, kami bersyukur dan bersedekah. Khabar Zainab mengandung itu diterima dengan doa syukur. Maklumlah hampir sepuluh tahun kami berumah tangga, baru tahun kesepuluh Zainab mengandung.

Aku masih di ruang tunggu, hospital Tuanku Jaafar, Seremban. Fikiran aku tak tentu hala, melayang-layang, terbang ke sana ke mari. Beberapa hari ini memang aku merasa letih, kurang tidur, makan pun tak menentu.

“Usah bimbang sayang. Semuanya ok.” Aku katakan ini sebelum berkejar ke hospital beberapa jam sebelum ini.

Aku masih ingat saudara sepupu, Salmah, tak sempat dikejarkan ke hospital, terpaksa melahirkan di tengah jalan. Kereta Ambulance tiba, tapi kerana perjalanan ambil masa sejam kalau tak ada trafik. Dalam perjalanan dari Nilai ke Seremban, saudara sepupu aku telah mulai mengerang, makin lama makin kuat, Pendek cerita, anak perempuan saudara sepupu lahir dalam kereta ambulance dalam perjalanan ke hospital.

Hal seperti ini, aku tak ingin terjadi pada Zainab. Biar Zainab melahirkan selesa di hospital, tiba lebih awal. Biar menunggu tak apa.

Kalau dibiarkan, tanpa peduli, minit-minit terakhir baru gerak dari rumah, akibatnya, jadilah macam Salmah.

Aku berdoa dan Zainab pun berdoa. Semoga kelahiran anak kami yang pertama ini, lahir di hospital, bukan di tengah jalan atau di rumah. Kedua-dua kami tak ingin hal ini terjadi pada kami.

Ini adalah anak kami yang pertama. Kami telah mencuba macam-macam usaha dan nasihat. Tapi senjata kami adalah doa. Doa memberikan kami kekuatan. Kerana saat yang ditunggu itu makin dekat.

Aku tak bimbang sekalipun sudah beberapa hari tak tidur. Dan aku dapat bayangkan hari hari mendatang akan lebih teruk lagi. Tak apa, tak apa, aku kuatkan semangat. Bukan semua orang dapat apa yang dia inginkan dalam hidup ini. Tuhan telah beri aku isteri yang istimewa, kurnia dalam hidup ini. Ada  ijazah pun tak sama dengan mendapat seorang cahaya mata.

Tanyalah pada semua orang, ada sedikit saja yang tak ingin punya anak atau juriat. Semua orang ingin punya keturunan yang akan menerus keturunannya sampai kiamat. Suara itulah yang mengiyang-iyang dalam diri aku. Hidup rumah tangga akan lebih bahagia ditambah punya anak keturunan.

Gaji kami berdua sederhana saja. Sekarang semuanya mahal. Kalau kita tak pandai mengurus hidup, sekalipun gaji banyak, semua itu tak bererti kalau hutang keliling pinggang.

“Mau ini, mau itu. Akhirnya terjerat. Bertahun-tahun lamanya bayar hutang. Hutang dengan bank” Aku  bicara sendiri.

Aku sendiri di ruang tunggu ini. Tak ada orang yang memandang aku, biarkan aku sendiri terbang dengan fikiran. Tiap ujian pasti berlalu. Tak perlu risau-risau kerana kalau difikirkan keterlaluan semua itu akan menjadi penyakit, dan tekanan jiwa.

Aku pun nasihat isteri apapun cubaan hidup ini kita harus yakin Tuhan itu akan senantiasa membuka kita jalan keluar.

Tentang hal untuk mempunyai seorang cahaya mata. Lama juga kami telah berbincang walaupun dalam jiwa kami, keinginan kami sebesar langit ingin punya seorang anak.Tolak ini tolak itu akhirnya kami akur, waktunya telah tiba untuk kami berdua mendodoi anak pertama.

Tapi dalam percakapan kami dengan teman-teman dekat, mereka selalu memberikan pandangan yang negatif. Bagi mereka biar hidup tanpa ikatan. Ada anak akan menyusahkan saja dan menghalang kita ke sana ke mari, begitulah kata-kata yang selalu dilontarkan oleh kawan-kawan dekat dan rakan sekerja. Kebanyakan mereka tak menghirau anak. Mereka hanya pentingkan taraf hidup mereka. Mereka mengejar kedudukan mereka, naik pangkat dan nak simpan wang banyak dan belanja.

Berapa lama aku duduk di ruang sepi ini. Tak ada orang lain. Hanya aku sendiri di ruang tunggu ini. Mataku seperti meraba-raba mencari sesuatu yang boleh menghabiskan waktu dalam masa menunggu ini. Tak ada majalah, hanya kerusi kosong, dinding kosong. Betul-betul tak ada yang boleh aku lakukan, selain mengalamun dan berfikir-fikir.

Aku tak sedar waktu berjalan terus. Tanpa aku melihat pada jam, dah beberapa minit lagi tengah malam. Esok hari jumaat. Fikiran aku masih tertumpu pada kelahiran bayi yang pertama. Aku tak ingin memikirkan apa-apa selain isteri dan anak yang bakal isteri lahirkan, selamat.

Dari pagi aku telah sibuk. Aku matikan hp. Aku tak ingin diganggu dengan perkara-perkara yang boleh menganggu fikiran. Aku cuba menenangkan diri. Fikiran aku mulai membayangkan kedua orang tua. Mereka telah pergi selamanya. Alangkah bahagianya kalau mereka berdua masih hidup.

Sebak rasa hatiku ketika mengenangkan orang tua. Ayah telah meninggal ketika aku masih di sekolah rendah. Ibu adalah satu-satunya aku miliki. Aku tumbuh membesar bersama ibu. Ke mana ibu pergi aku pasti ada. Hubungan kami begitu dekat. Kedua-dua seperti memerlukan satu sama lain.

Aku tak punya ramai keluarga. Kerana ibu sendiri pun merantau, anak dagang. Ibu datang dari Labuan ke Sandakan dengan keluarga angkat. Di Sandakan ibu bertemu dengan jodohnya, ayah aku. Dari awal kedua orang tua aku berjuang, tak kenal lelah, apa pekerjaan pun ayah buat asal mendatang rezeki yang halal. Dia adalah seorang ayah yang penyayang, sama pembawaannya dengan ibu.

Malam ini sunyi benar di sini, di kamar tunggu, hospital. Inilah masanya aku bebas dalam waktu segenggam ini. Di ruang ini, anih, seekor cicak pun tak ada. Dindingnya putih. Tapi tak ada tempat untuk berbaring. Ada juga keinginan untuk tidur. Tapi keinginan itu mati di situ saja. Aku belum merasa kantuk. Biar aku layan dulu fikiran ini.

Aku mulai  kembali ke masa lalu. Wajah ibu dan ayah mulai jelas dalam ingatan. Aku mulai membayangkan suara mereka. Sekalipun ayah meninggal masa aku masih di sekolah rendah tetapi ingatanku masih jelas raut wajahnya dan bentuk tubuhnya. Ayah seorang yang berbadan tegap dan berambut lebat, ada kumis dan sedikit janggut. Ia suka tersenyum dan mengucapkan salam ketika datang dan pergi.

Ketika ayah pulang dari mana saja ia pulang membawa buah tangan. Walaupun hanya sebiji buah limau, atau kulit-kulit siput. Ibu pun selalu menceritakan tentang ayah,
Peti ingatan tentang ayah hidup dalam diri ini. Kemesraan kami walaupun tak lama  tapi menjadi memori yang panjang dalam hidup ini.

“Khazanah buat generasi penerus.” Aku berkata perlahan pada diriku sendiri. Lama aku tak berbuat seperti ini. Dan melayan fikiran sendiri. Aku berterima kasih pada Tuhan Yang Maha Esa, Juriatku akan panjang. Ini hadiah untuk orang tuaku. Biar keturunan ini sampai kiamat.

Kisah-kisah hidup bersama orang tua hidup bersama aku, sekurangnya aku dapat lanjutkan cerita-cerita tentang mereka kepada anak-anak. Mereka harus tahu tentang atuk dan nenek. Dengan cerita itu mereka tau kebaikan-kebaikan dan perjuangan atuk dan nenek. Ini adalah merupakan khazanah turun-temurun, dari satu generasi ke satu generasi mereka harus diberitahu tentang sejarah hidup keluarga. Ini penting, fikiranku seperti gelombang di lautan luas.

Ketika aku tinggalkan Zainab, di bilik tunggu, jururawat telah ambil semua keperluan, pakaian salinan selepas bersalin, keperluan bayi, semuanya telah disiapkan sebelum masuk hari ini. Persiapan ini telah dibuat lebih awal supaya tak panik. Ini adalah pengalaman baru. Tentu ada banyak yang terlupa. Tapi syukurlah semuanya ada dan telah disiapkan dengan baik..

Sekali-sekali aku keluar dari dunia lamunan kembali ke dunia realiti. Jadi, aku polak balik sebentar di dunia realiti sebentar pula masuk ke dunia lamunan. Apapun masa ini, tidak ada yang menganggu.

Anihnya, ada jam dinding tapi jam itu tak bergerak. Mungkin baterinya dah habis. Banyak tempat termasuk klinik jam dindingnya selalu tak bergerak. Kesimpulannya memang orang atau petugas tak ambil peduli. Jam dinding tetap jam dinding hanya untuk dilihat saja.

Sesekali aku melihat jam tangan sendiri. Belum ada panggilan dari jururawat. Ternyata pengumuman dari dalam, hanya dapat didengar melalui pembesar suara.

Aku tak menghitung berapa lama aku telah duduk. Kali ini aku bingkas berdiri,  meluruskan kaki dan mengerak-gerak badan supaya darah di bahagian kakiku dapat berjalan lancar. Aku berjalan beberapa langkah kemudian patah balik. Cuba menghilangkan rasa keletihan dan semut semut.

“Tak lama lagi. Tak lama lagi.” Aku berkata sendiri.
“Aku redah pada ketentuan Ilahi.”

Aku tak ambil peduli apa yang berlaku di luar. Aku duduk semula di kerusi. Tak pula merasa ngantuk. Kepalaku mulai fokus. Dua tiga hari yang lalu, aku masih sibuk di pejabat. Rakan-rakan sekerja aku tahu keadaan isteri aku menunggu hari. Sebelum berpisah sehari sebelum rakan-rakan sekerja berdatangan mengucapkan tahniah. Mulanya aku agak keberatan menerima ucapan tahniah itu kerana kau tau isteri aku belum pun melahirkan. Tapi mereka sudah mengucapkan tahniah. Aku terima saja semua ucap selamat itu. Ada beberapa kad dan hadiah bungkusan telah diberikan lebih awal pada aku buat isteri.

Waktu terus mengalir, seperti air terjun menjadi sungai kemudian bertemu di muara, sungai menjadi lautan luas. Dalam keadaan seperti ini aku tidak begitu panik. Aku siap menerima segala-galanya. Berita baik atau buruk. Kelahiran anak pertama ini di tanah tumpah darah. Boleh saja anak aku lahir di Inggeris, Australia atau di USA.

Dalam perkara ini aku patriotik. Aku telah puas merantau. Aku telah puas belajar di luar negara. Bertahun-tahun aku berada di negera asing. Isteriku pun ikut, kekadang ia lebih suka tinggal di tanah air. Mungkin kebiasaan dan mudah kerana tempat itu kita telah kenali, apalagi tanah air sendiri. Jadi,. tak hairan kalau ada isteri-isteri lebih suka tinggal di tanah air dari ikut suami bertahun-tahun di negeri orang yang budayanya tentu berlainan, adat resamnya apa lagi kehidupan sehari-hari.

Tetapi ada kebaikan yang lain, sekurangnya kita tidak tinggal seperti katak bawah tempurung. Melihat tempat baru dan mengalami sendiri kehidupan yang lain dari tempat kita dilahirkan tentu banyak hal-hal baru yang dapat dipelajari. Semua itu menjadi pengalaman yang berharga juga. Ada positif dan kontra. Dan lagi peluang seperti ini  bukan selalu sekali dalam hidup. Jadi, ambil kesempatan selagi ada peluang. Isteri aku sekurangnya dua kali ikut bersama ke luar negeri ketika aku melanjutan pelajaran untuk sarjana dan doctorate, di Inggeris dan di US.

Sekarang aku tak ke mana-mana lagi. Di sini, tumpah darahku, dan di sini aku, isteri dan anakku akan tinggal. Dan anak aku akan tumbuh membesar menjadi anak jati yang sayangkan negaranya. Fikiran aku telah melayang jauh, walaupun belum ada khabar isteri telah melahirkan. Saat-saat begini, banyak fikiran yang mengoda. Aku pun asyik dengan fikiran yang positif. Aku bukan orang yang pahit. Istriku juga. Kami dari anak orang biasa, yang bekerja keras dari bawah sampai ke atas.

Isteriku seorang guru. Pendidikannya semua didalam negeri. Ia diasuh dan dibesarkan dari sekolah rendah, menengah sampai ke universiti. Dia tak pernah merasa, dirinya dari universiti kelas kedua. Istimewanya dia lulus dengan kepujian kelas pertama. Dari anak seorang penoreh menjadi guru yang berjaya. Tentang ini tentu kami berdua bangga akan pencapaian kami. Kami bersyukur, hempas pulas kami akhirnya kami berjaya. Semua ini kami raih dengan perjuangan dan pengorbanan.

Masih menunggu ini, memang bukan perkara yang mudah. Seminit, sejam dan sehari itu seperti menunggu rasa berbulan-bulan dan bertahun. Tapi dalam kehidupan ini kita selalu diuji dengan menunggu. Jadi, aku dah biasa menunggu untuk satu keperluan. Menunggu keputusan kerja, menunggu hasil peperiksaan, menunggu waktu bahagia atau menunggu hukuman yang akan dijatuhkan. Menunggu tibanya masa kelahiran bayi pertama. Ya, semua itu, menunggu.

Tak terasa sudah hampir tengah malam. Kurang beberapa minit waktu tengah malam. Masih sendiri di ruang tunggu. Menunggu kelahiran anak pertama. Belum ada lagi panggilan menyampaikan khabar itu.

Aku berdoa terus supaya semua dipermudahkan. Tak ada selain dari memohon keselamatan dan kesejasteraan buat isteri dan anak yang bakal lahir. Sebentar lagi tengah malam. Aku telah lupa hari apa ini. Cuma aku ingat hari Khamis masa aku menolong isteri berkemas-kemas. Esok hari Jumaat. Ya hari Jumaat. Ada yang istimewa, tapi aku tak dapat memikirkan, apa yang istimewa. Udara dingin dalam kamar tunggu ini tak sedikit pun mengganggu jalan fikiran aku.

Dari pembesar suara di bilik tunggu ada panggilan supaya aku datang ke wad bersalin.

“Anak Encik Abdul Malik telah selamat lahir pada 12:01 tadi. Dan selamat Hari Merdeka”

*Diterbitkan oleh Utusan Borneo pada 7 Oktober 2018





No comments:

Post a Comment