Monday 3 September 2018

Tamu






Tamu
Oleh Sabahuddin Senin
Kota Marudu September 2018

"Ada apa bos." tanya salah seorang penumpang kereta. Langit gelisah, Semua Nampak gelisah.
"Jalan ke tamu sekarang tak dibenarkan masuk." kata salah seorang.
"Kenapa"
"Ada penangkapan."

Aduh! Mengapa masa tamu. Siapa pula yang berani buat fasal seperti ini. Ini masanya Jamal dapat membawa anaknya ke tamu. Marah dalam diri Jamal. Ingin sekali dia melafazkan kata-kata kesat tapi ia tahan dirinya di depan keluarganya. Jamal masih tak puas.

"Inilah masa nak tunjuk pada anak" Dia masih memikirkan kalau ada jalan pintas. Tetapi kelihatannya ramai polis peronda dan road block di setiap simpang. Operasi hujung minggu.

Jamal memandang anak dan isterinya. Mereka tak berkata apa-apa. Suasana agak tegang di  jalan depan.

 Pemeriksaan Polis makin hebat.

"Banyak penangkapan."
"Yang tak ada dokumen."
"Kosong sama sekali."
"Beberapa truk penuh."


Pelbagai pendapat dilontarkan dari pelbagai arah. Orang-orang seperti serangga keluar dari lubang tanah yang terganggu. 

Makin ramai orang cuba menghindar. Tidak dapat dibedakan yang mana yang diburu dan yang mana bebas. Tidak banyak pertanyaan, langsung kepada soalan, 'kamu ada surat keterangan.' Kalau ada, jalan terus. Yang tidak ada, tunggu. 

Matahari mulai panas. Keringat Jamal pada dahi dan baju yang dipakainya mulai basah.

“Berapa lama lagi? Kereta ini tidak bergerak.” Ana pula rasa remas dalam kereta. Dia memandang Jamal.

Sebelum Jamal mengiyakan Ana telah keluar dari kereta ingin mendapat udara bebas. Dia tidak berkata sedikit pun. Dia rasa tertekan, berjalan ke depan sedikit, melihat-lihat suasana kelam kabut. Ana hilang dari pemandangan. Jamal mulai cemas. Milah di dalam kereta. Jamal berjalan cepat ke depan melalui beberapa kereta yang berderet. Tapi Ana masih tidak kelihatan. Jamal makin cemas, apa yang harus dia lakukan sekarang. Jamal terus melangkah ke jalan depan. Langkahnya semakin cepat. Orang ramai masih datang dan pergi dari pelbagai arah.

Jamal bimbang kalau  Ana tersesat dan dapat kecelakaan. Orang masih panik. Udara panas, matahari pukul sebelas.



Jamal dibesarkan di kampong tak jauh dari pekan ini. Masa kecil dia sendiri dibawa oleh ibu dan ayah ke tamu tiap hujung minggu. Kebiasaan ini telah menjadi kegiatan hujung minggu keluarga Jamal. Pagi-pagi mereka bertolak selepas subuh, dengan kereta tumpangan turun ke tamu.

Kenangan dengan orang tua  ini telah menjadi kerinduan pada Jamal ketika berada di luar negeri. Jamal rindu pada suasana, bau dan keramaian masa tamu. Jamal tidak mendapat suasana tamu seperti ini di supermarket, plaza, di mana saja belahan dunia.

Ana masih tidak kelihatan. Jamal bingung dan mata Jamal terus mencari-cari Ana. Jamal teringat, Milah, ia berpatah balik ke kereta.

“Apa akan jadi pada Milah.” Fikirannya tak menentu. Ana pun tak kelihatan. Langit pudar.

Jamal berdiri. Ia tidak pernah dengan situasi begini.  Ia tidak tahu hendak buat apa. Ia terpajak seperti tiang eletrik. Lama juga dia berdiri. Matanya mencari sasaran. Dia pejam mata rapat-rapat, atau cuba menenangkan fikirannya. Dia tidak tahu mau ke depan atau patah balik.

Sekarang Jamal mulai sedar dia masih berdiri di tengah jalan, dan cuba memusatkan fikirannya pada satu. Harus balik ke kereta secepat mungkin. Jamal berjalan seperti berlari, dan mengelak dari bertembung dengan orang.

“Aduh di mana kereta tadi?” Jamal mulai panik. Dia memarahi dirinya sendiri. Nafasnya turun naik seperti baru  berlari seratus meter. Cuma bukan di padang. Tidak ada pelumba yang lain selain dirinya sendiri, melawan dirinya sendiri.
Tamu, adalah suatu yang spesial,  tapi bukan hari ini, ya bukan hari ini. Langit berkeringat tapi tidak ada tanda hujan akan turun,

Niatnya untuk membawa mereka melihat tamu kini kelihatannya penuh dengan drama. Drama dia sendiri tidak kuasai. Sekarang dia tidak tahu di mana Ana dan Milah.

Mau rasanya Jamal berteriak memanggil Ana. Kereta yang ditinggalkan tadi tidak kelihatan di depan sepatutnya kereta itu tidak jauh dari tempat dia berdiri. Meskipun begitu dia berlari ke arah kereta. Degup jantungnya tambah kuat kerana dia masih tidak melihat Milah. 

"Kereta di mana." Kepala Jamal seperti gunung yang ingin meletup, Jamal kehilangan akal. dia tidak pasti, di mana dia berada, Dia seperti di dalam kandang. Dan semua orang melihat kepadanya. Kemarahannya semakin meluap.

"Aku bukan orang PTI. Aku anak tempatan jati." 
"Kamu lihat apa di sini." Semua mata masih melihatnya.

Cuaca panas khaltulistiwa, dan baju lengan pendek dipakai Jamal basah dengan peluhnya. Tidak ada lagi keseronokan. Ana tidak kelihatan sekarang. Milah pula entah ke mana. Tidak ada tempat ia ingin bertanya. Dunia kelihatan gelap. Dia rebah ke tanah. Dia cuba bangun. Rebah lagi. Berapa kali dia cuba bangun tetapi masih tidak berdaya.

Sekarang Jamal terbaring. Dirinya jadi seperti sepotong tubuh yang tidak bermaya. Mata Jamal memandang langit, alam maya yang terbentang luas.

Jamal ke luar negeri melanjutkan pelajaran. Jamal, anak yang suka merayau tapi anak satu-satunya dalam keluarganya yang mendapat perhatian dari orang tuanya. Orang tua Jamal dari keluarga yang menggalakan anak-anak mereka belajar sampai tinggi-tinggi, tidak kira sampai ke bulan. Inilah jihad orang tuanya.


Jamal bertahun-tahun belajar di luar negeri.

Pada suatu hari, Jamal ambil keputusan pulang dan bertekad membawa keluarga sekali. 

Dari perkongsian hidup Ana dengan Jamal, lahir Milah. Kini Milah sudah berusia sembilan tahun. Ketika Jamal memutuskan perjalanan mereka bertiga ke Sabah, Jamal bersemangat, kerana ini adalah merupakan perjalanan mereka pertama sebagai keluarga balik bercuti di Malaysia. Sabah adalah negeri Jamal, tanah kelahirannya.

Ana sendiri lebih suka kalau mereka bercuti di Inggeris, atau di Eropah. Tak perlu banyak ubah suai, kerana cara hidup di sana hampir sama dengan kehidupan di Australia.

Mengapa kita harus bercuti di Sabah? Jamal tak ingin gaduh tapi ia pula tak ingin mengalah.

Rindu Jamal pulang bersama keluarga adalah merupakan satu perjalanan yang penuh erti bagi diri Jamal. Jamal ingin melihatkan keluarganya selain keindahan negeri Sabah, Jamal ingin Jamilah, anak perempuan mereka berdua boleh menerima budaya ayahnya, sekalipun Jamilah adalah anak kelahiran Australia.Judy merasakan perjalanan ini akan mengikat hubungan baik, budaya negeri suaminya dan budaya Oz 


Kedatangannya selain ikut dengan suami, Ana terasa sedikit ingin tahu tentang negeri suaminya, Jamal. Perjalanan dari Sydney, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu dan kemudian menuju utara adalah merupakan perjalanan yang memenatkan. Tapi Jamal berusaha menggembirakan keluarganya, supaya bersabar dalam perjalanan sekali dalam sepuluh tahun.

Banyak perkara yang harus ditimbang terima, diresapi dan difahami supaya dengan cara itu menurut Jamal, apresiasi terhadap budaya tempatan akan lebih baik lagi.Sudah satu hari mereka berehat di desa Muhibbah. Tidaklah begitu jauh kalau mereka turun ke tamu hujung minggu.

Memang inilah yang dirancang oleh Jamal masa di Australia lagi. Jamal menarik nafas panjang dan mencium bau udara kampungnya. Jamal memerhatikan ladang kelapa sawit telah mengambil tempat dalam lanskap negeri tumpah darahnya. Jamal sendiri tak berapa suka, dulu hutan jati kini menjadi seperti rimba kelapa sawit. Lanskap tanah berubah samasekali. Fauna dan flora, hewan-hewan telah meninggalkan tanah leluhur.

Hutan kini kosong dari hewan-hewan yang unik di negeri ini. Jamal asyik menggeretu sepanjang tiba di negerinya. Jamal ingin Judy dan anaknya  dapat berkongsi keindahan negeri ini bukan saja dari percakapan tetapi dari keindahan alam semula jadi, hawa khatulistiwa. Jamal ingin anaknya dapat berbangga negeri ayahnya.Jamal masih mempunyai banyak cara untuk memperlihatkan negeri asal kelahirannya kepada mereka berdua seperti gunung Kinabalu, pulau-pulaunya dan budaya setempat yang kaya dengan tradisi.

Sejak tiba di Sabah, anaknya banyak bertanya tentang negeri ini. Jamal pun seperti agen pelancungan berusaha menjelaskan semuanya. Banyak yang Jamal tak tau sekarang, kerana sejak ditinggalkannya, banyak perubahan berlaku. Kemajuan atas nama pembangunan dan percaturan politiknya yang boleh berubah dalam satu malam.Hari itu, anak beranak, mereka turun ke tamu hujung minggu. Jamal ingin melihatkan yang terbaik negeri ini.

Apa yang dilihat dan rasakan masa dia masih kecil dan dibesarkan di tanah peribumi ini. Jamal ingin hidangkan semuanya di hadapan mereka.Tapi sepanjangan jalan ke tamu hari itu seperti tersendat-sendat. Trafik sepanjangan jalan. Aku bertanya apa yang sedang berlaku. Mengapa hari ini? Hari yang sepatutnya segala-galanya harus lancar.

Jamal mengharapkan dia dapat melihatkan kelebihan negeri ini. Negeri yang menurut Jamal, kaya alam semula jadi, kaya adat dan tradisi, pelbagai suku kaum yang hidup rukun damai. Semua ini ingin Jamal hidangkan kepada anak dan isterinya.Selama ini Jamal banyak bercakap tentang kehebatan ini. Sungguh! Rasakan sendiri dan nikmati sendiri, Jamal yakin, anak dan isteri tentu terpesona.

Jalan yang sepatutnya dalam setengah jam boleh sampai ke tempat tujuan kini mengambil lebih masa."Apa yang terjadi di hadapan." dolak-dalik pertanya itu hinggap dalam dirinya.Biar lambat asal selamat. Tapi ini sudah terlalu lambat. Jamal memandang anaknya. Kelihatan banya kereta ronda Polis di hadapan. Ada Road block di hadapan. Jamal masih menimbang-nimbang ingin berpatah balik atau meneruskan perjalanan ke depan.

Dia tertanya-tanya, dan memandang anak dan isteri, tanpa banyak memberi komentar atau penjelasan kepada mereka berdua.Kelihatan banyak kenderaan  berpatah balik. Bukan pilihan mereka tetapi kelihatannya mereka seperti tak ada pilihan harus mengikut perintah.

Dari jauh sudah nampak pasukan polis bersenjata sedang memeriksa semua kereta.Polis sangat hati-hati dalam pemeriksaan.Mereka bertanya ringkas kepada pemandu kemudian sorotan mata mereka ke dalam kenderaan satu persatu. Bus pengangkutan yang membawa penumpang lebih muatan, dan tiap penumpang diperintahkan mengeluarkan kad pengenalan.

Suasana cemas. Kelihatan orang seperti berlari-lari mencari perlindungan. Jamal kelihatan panik. Matanya mencari-cari tetapi situasi menjadi gawat. 

Seperti semua penjuru telah ditutup dan dikepung. tak ada jalan keluar. Ini operasi besar-besaran. Inilah hari yang tragik. Jamal mulai panik. dia tak tau apa nak dibuat. Orang berlari dari segala arah dalam kelam kabut.

Jamal merasa dia terkepung. Langit ,menjadi gelap, penglihatannya kabus. Jamal tak dapat fokus. Semuanya seperti berjalan agak perlahan. Jamal masih fikir tentang anak isteri. Dalam sekelip mata jalan-jalan menjadi sesak.Nafas Jamal mulai sesak. Dia tak pernah rasa demikian. 

Orang-orang mulai berlari bertempiaran mencari perlindungan di mana saja mereka dapat melarikan diri. Mereka merasa seperti diserang hendap. Mereka melanggar satu sama lain. Tak ada sopan santun. Mereka sedang diburu, mereka menyelamatkan diri. Antara satu sama lain, tiada rasa kasih. Meeka hanya fikir diri sendiri menyelamatkan diri dari buruan.

Matahari semakin panas. Ada yang jatuh ke dalam longkang kerana ketika berlari tidak melihat orang. Ada yang berteriak meminta tolong. begitu ketakutan ada yang kencing sambil berlari. Ada yang tak dapat menahan sakit perut. begitu takut mereka tak rasa malu lagi terberak di pinggir jalan.

Suasana riuh-rendah. Langit penuh dengan burung-burung walid yang entah dari mana  bertebaran kemudian langit kosong seperti tanpa penghuni. 

Jamal berdiri tak tau nak buat apa-apa. Dia berdiri, memandang alam seperti akhir zaman. Di langit  penuh dengan objek yang berterbangan dalam kebingungan. Jamal tak dapat memikirkan apa yang berlaku sebentar tadi. Dia hanyut ke masa sekarang.

Anih, pemandangan di depan yang dilihat Jamal tak dapat diramalkan. Inferno. Orang-orang jatuh tunggang terbalik. Mereka berlari tak tentu arah, Ada yang terlambung ke atas dan terhempas jatuh ke bawah.Masih ada graviti yang menarik mereka ke bumi.

Jamal tak berlari, ikut seperti orang. Tapi dia sendiri tak tau nak melarikan diri ke mana. Semuanya seperti tak ada rahsia lagi. Dan yang peliknya seperti tak ada tempat perlindungan.  Terdedah.

Kepala Jamal pusing, langit pusing, dunia pusing, dirinya berpusing di tengah-tengah dunia. Bumbung langit runtuh, segalanya runtuh, tak ada tempat berpegang.

Jamal mendengar seperti ada suara memanggil namanya tapi dia tak tau dari mana suara itu. Ia bergema. Di langit terbuka,  dan dia sendiri tak memahaminya. Jiwanya bergelora. Degup jantungnya cepat dan jamal menyerap saja tanpa ada perlawanan dan membuat reaksi. Dia cuba memahami apa yang telah terjadi.

Orang-orang cemas seperti melarikan diri dari sesuatu. Mereka curiga. Segala berlaku dalam satu masa. Jamal menyerah dan pasrah pada keadaan.

Jamal pun curiga. Semua curiga dan dirinya curiga. Curiga dan tak ada rahsia. Semua terdedah.

Berdiri seperti tunggul di tengah jalan. Orang berdatangan melanggar tunggu itu. Jamal jatuh,berdiri, jatuh.  Jam dinding langit bertukar warna dan bergerak cepat. Langit menjadi merah. Burung walid masih berterbangan arah yang berbeda.

“Apa dah jadi.” Jamal memarahi dirinya sendiri. Dia seperti dihanyun ke sana ke mari, dan tak bertali. Kemudian dia melihat diri. Apakah ini mimpi atau realiti yang tak terjangkau.

Jamal kembali ke dalam dirinya. Dia merasakan kosong. Tangannya tak bergerak,  Anggota badannya., seperti telah ia tertinggal. Jauh dan hening. Dia bagaikan terangkat.

Jamal cuba kembali, dan memusatkan fikirannya. Apa yang telah terjadi. jauh di bawah sana seperti orang  berlari ke sana ke mari. Panik. Pecah perang atau Tsunami. Tak pasti. Mungkin kecelakaan. Dan Jamal sendiri seperti telah lupa segala-galanya. Burung walid masih terbang memenuhi langit. Pemandangan Jamal gelap. Jamal terpisah dari keluarga. Ana entah di mana, Jamilah pun tak kelihatan.

Waktu yang anih. orang-orang  seperti sarang serangga dimasuki suatu benda asing. Ada orang dilanggar kereta. Bunyi siren di udara. Kereta Ambulance masuk longkang. Panik. Hospital entah di mana. Jamal, bagai batang yang hanyut di samudera luas.

End/…..



  

No comments:

Post a Comment