Wednesday 5 September 2018

Dunia Luqman (Daily Express)



Fatimah telah pergi awal pagi sebelum pukul tujuh membawa anak mereka Suhail, berusia lima tahun ke sekolah Tadika. Inilah kebiasaan Fatimah, sibuk di waktu pagi dan menghantar dan mengambil Suhail dari Tadika tiap hari dari Isnin hingga Jumaat.

Beberapa hari Luqman berdiam di rumah. Dia tak boleh ke mana-mana. Tiap kali ia bergerak bukan main sakit, kaki tak dapat dia gerakkan sesukanya. Ke kiri tak selesa dan ke kanan pun tak selesa. Berdiri lagi payah, Melangkah lagi sakit. Pergerakannya sangat-sangat terbatas. Ada keperluan mendesak dia akan paksa juga bergerak, misalnya sekiranya panggilan ke bilik air, seribu ikthiar dia paksa diri juga untuk sampai ke tandas.

Sebab itu mak Luqman berkali-kali mengingatkan Luqman, kalau sakit sendiri yang tanggung. Orang lain hanya belas kasihan tak lebih dari itu. Tapi yang menanggung derita adalah kita sendiri. Oleh itu, kena jaga kesihatan, berjaga-jaga itu lebih baik dari derita menanggung sakit, berubat ke sana ke mari, buang wang banyak walhasil terlayah di tempat tidur sendiri.

Luqman tak habis-habis memikir nasib dirinya yang terlantar sendiri di tempat tidurnya, Tiap hari rumahnya kosong. Isterinya, Fatimah dan anaknya Suhail tak ada di rumah sepanjang hari. Petang Fatimah dan Suhail baru pulang. Rumahnya kosong kecuali suara Luqman mengerang sepanjang hari.

Sudah masuk hari ketiga Luqman seperti perahu tersadai di air tohor. Mulanya dia berfikir sakit ini akan sembuh dalam sehari dua. Tapi makin lama makin sakit. Hari itu dia nak pergi ke klinik kesihatan tapi hatinya berubah, akhirnya niatnya tertundah. Dia seperti menunggu air pasang, dengan harapan perahu kandas tadi dapat bergerak ke tempat dalam. Begitulah fikirannya, tapi ternyata dia masih kandas di sini tak ke mana-mana. Makan ubat demam dan tahan sakit, tapi sakitnya masih tak kurang.

Waktu berjalan perlahan sangat. Luqman merasakan hariannya berjalan terlalu lambat. Lama dia berfikir apa tindakan yang harus dia lakukan. Otaknya seperti jem. Ini kali pertama Luqman tak boleh jalan. Bergerak sedikit-sedikit. Payah kalau nak berdiri. Semuanya ambil masa.

"Marilah ke klinik." Isterinya, Fatimah cuba menenangkan Luqman.Tapi Luqman keras kepala, menganggap sakitnya akan pulih sehari dua. Mau juga isterinya ambil cuti dan menjaga Luqman sepanjang hari. Tapi Fatimah sudah habis cuti. Setengah tahun pertama Fatimah sudah ambil cuti. Jadi, tak ada cuti Fatimah yang tinggal.

Luqman hanya menggerutu, terlihat jelas di matanya dia menahan kesakitan. Dia melihat kaki kiri dekat dengan ibu jari kakinya bengkak dan merah. Sakit bila tersentuh. Masa tidur Luqman tak boleh bergerak, semua pergerakannya terbatas, tak ada yang tak sakit. Pusing ke mana pun sakit.

"Banyak istighafar kalau abang dah siap, mari jumpa doktor" Fatimah mengingatkan Luqman, diam dan tak membuat reaksi.

Hidup ini singkat dan cepat, justeru itu harus berjuang sekalipun dalam apa keadaan sekalipun. Masa gembira atau sedih, sihat atau sakit, semua itu adalah rencah-rencah kehidupan. Sekarang Luqman terlantar sendiri. Suara-suara dalam benaknya berbaur dengan perasaan sedih dan jauh hati.

Bumi seperti lama tak tersentuh. Dia merasa tak berdaya. Terlentang seperti kura-kura yang terbalik. Kemampuannya hanya berdoa, doa yang memberikan dia kekuatan. Saat begini tak ada lain selain ada teman yang boleh diajak berbicara, meluahkan rasa yang tersimpan dalam jiwanya dan simpati. Satu perkara orang seperti Luqman, dia suka orang lain buat untuknya. Fatimah isterinya suka disuruh-suruhnya buat apa saja kemahuannya.

Fatimah, berusaha membantunya. Sekalipun Fatimah merasa Luqman degil dan keras hati. Tiap hari dia pun memang kelihatan letih. Seharian kerja. Sedikit saja masa berbual, masa makan malam. Kekadang mereka berdua pun tak banyak sangat yang dibicarakan.Masing-masing melayan fikiran sendiri. Ternyata ketika sakit, di situlah keinginan Luqman untuk mendapat perhatian dari Fatimah. Suhail, biasanya tidur lebih awal, selepas Isha.

Luqman tak biasa bersendiri. Dia selalu dikeliling kolejnya. Jadi tinggal sendiri memang penuh ujian. Otaknya tak boleh diam. Tapi kalau sudah sakit, Luqman mengaku kalah. Kemampuannya dikendurkan. Luqman mulai fikir banyak tentang Tuhan. Itu tempat yang selamat. Jalan yang selamat kembali kepada Rabb.

Dia tak ada selera makan. Fatimah tak akan turun kerja kalau tidak menyiapkan makan untuk Luqman sarapan pagi, makan tengahari. Fatimah tahu sangat perangai suaminya. Ujian ini datang tanpa diduga. Luqman cuba istighafar semampunya. Ketahanan mental Luqman tercabar, sekalipun pada masa ini dia berfikir kalau dia punya satu juta wang dan harta yang banyak pun tak akan mendatangkan faedah kerana semua itu tak bererti apa-apa, kalau dia terlantar di atas katil, sendiri dan mengerang kesakitan.

Ya Luqman tak menyalahkan sesiapa. Ada ramai lagi orang yang kurang bernasib baik yang lebih teruk dari dirinya sendiri. Luqman melihat dirinya sedang menghadapi ujian.Ketika tak berdaya baru masa itu dia merasa bersalah dan menyalahkan dirinya sendiri. Masa sihat Luqman tak peduli, dia akan buat apa saja keinginan hatinya. Tak ada orang boleh tegah. Sekalipun isterinya, Fatimah yang tau isi hati dan sikap Luqman, kekadang dia hanya mengiyakan saja. Fatimah tak ingin konflik, pertengkaran berjela-jela, meskipun dia tahu, gaduh-gaduh kecil itu hal lumrah bagi suami isteri.

Fikirannya merayau-rayau, tak ada yang dapat dia tumpukan. Tak ada dahan yang dapat dia bertengger, Sekejap dia mulai fikir tentang politik. Memikirkan nasib bangsanya. Luqman ingin bangsanya jadi bangsa yang besar dan kuat. Dunia makin kacau. Tak ada negara yang tak ada masalah sekalipun negara-negara US, Jepun dan negara-negara barat, semua ada masalahnya sendiri.

"Buat apa nak fikir, hal yang tak terjangkau."
"Biarkan, biarkan, kepada yang ahli."

Terbujuk juga hati ambil jalan tengah. Buat apa nak fikirkan sesuatu yang Luqman sendiri tak mengerti. Sesuatu yang dia hanya dengar atau baca di media. Sekarang Luqman sudah sakit, terima saja habuan dan rasakan semua rasa sakit itu. Masa di atas katil ini tak boleh bergerak baru konon nak memikirkan masalah hidup dan mati.

Luqman mulai fikir dia belum siap untuk mati. Aduh! fikiran sampai ke situ. Soal hidup dan mati adalah janji tiap orang. Tak ada yang boleh melawan arus, melawan takdir, bila waktu itu sampai, tak kira apa diri ini sudah siap atau tidak, harus siap. Bayangan anaknya turun ke dalam fikirannya. Apa yang akan terjadi pada mereka berdua, isteri dan anaknya. Suhail nanti masuk rumah anak yatim piatu.  Bagaimana pula kalau Fatimah berkahwin lagi ketika dia tak berada di dunia ini, Suhail jadi anak tiri. Kalau suami Fatimah yang baru itu baik beranak, hidup Suhail akan baik. Tapi bagaimana kalau tidak..

Selama ini hubungan rumah tangga mereka berdua baik. Fatimah, isterinya, tak pernah bersifat kurang ajar pada Luqman. Mereka hidup sederhana. Makan seadanya. Fatimah tak pernah meminta lebih dari yang Luqman dapat usahakan. Fatimah penurut, tetapi dia punya pendirian. Fatimah punya dasar agama. Jadi, dia tahu batas ketentuan ketika berhadapan dengan soal perasaan.

Memang kita semua bukan malaikat. Ada kelemahan. Cepat membuat reaksi, ikut perasaan. Ketika terjentik, cepat marah. Luqman memikirkan selama ini dia mungkin mengasari isterinya tanpa dia sendiri sedari. Egonya sebagai seorang suami, lelaki, fikir Luqman kerana seperti kebanyakan orang lelaki lain, dia anggap dirinya selalu benar. Tapi bila dia duduk sendiri baru ada rasa kesal.

Luqman boleh saja tiba-tiba marah-marah tak tentu fasal. Kerana tiap hari, Luqman perlu ada target. Kalau sebulan tak terjual kereta tentu tak ada wang tambahan. Jadi, Luqman bertungkus lumus sebagai penjual kereta dapat menjual beberapa kereta setiap bulan. Tak kisah, asal ada yang terjual.

Sebab itu Luqman merasa, kekadang dia bertindak di luar batas. Kata-katanya kasar, dan marah tak tentu fasal. Tapi Fatimah, orang yang banyak bersabar. Dia mengalah, membiarkan gelombang berlalu. Menurut Fatimah tak ada guna, kalau masa itu dia berkeras tentu gempa gunung meletup, dan mereka berdua juga yang akan merasakan kesakitan dari pergaduhan suami isteri yang tak tentu fasal.

"Soalnya bagaimana kalau aku mati sekarang."
"Aku belum siap. Banyak dosa aku dengan Fatimah."

Luqman masih sedar dia berada di dalam kamar tidur. Tapi fikiran tertumpu pada Fatimah. Selama mereka berdua berumah tangga, tak pernah dia membantu Fatimah dalam kerja-kerja di rumah. Pada hal kedua mereka tiap hari turun kerja balik petang. Fatimah pun manusia seperti dia. Kalau dia penat tentu Fatimah penat. Sedikit pun dia tak membantu kerja-kerja di dapur.

Bila Luqman sampai di rumah, dia mandi lalu duduk menonton tele. Biasanya Fatimah sudah berada di rumah ketika Luqman pulang. Kesukaannya dia akan minta Fatimah buatkan kopi dan biskut kering, menunggu solat maghrib dan makan malam. Inilah rutin Luqman tiap hari kecuali dia keluar malam sendiri.

Luqman masih rasa sakitnya belum meredah. Sehari saja pun rasanya seperti sudah 100 hari. Kalau mati sekarang, Luqman masih belum siap, hati kecil Luqman terus menyakinkan dirinya.  Rasa bersalah Luqman pada Fatimah terus menghantui dirinya.

Kalau Fatimah pulang hari ini Luqman mau minta maaf pada semua kekasarannya, dan layanannya sebagai suami terhadap isteri. Luqman benar-benar takut kerana dia sendiri saja yang tahu dia bukan seratus peratus suami contoh yang terbaik. Gajinya tiap bulan, kekadang dia tak berikan pada isterinya. Alasan Luqman banyak yang mau dibayar. Pada hal Luqman berbelanja sesuka hati, makan di restoran dengan kawan-kawan, diam-diam bercuti di negeri jiran, Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Banyak hal yang Luqman tak beritahu dengan Fatimah. Luqman menganggap seolah-olah hak dia sebagai lelaki. Kalau ditegur dia akan suka membentak. Tapi ada satu perkara lagi yang dia rahsiakan selama ini. Memang niatnya memilih jalan itu bukan tujuan kebaikan tetapi kerana dia fikir dia seorang lelaki. Kerana dia seorang lelaki maka kalau dia memilih jalan ini tak ada sesiapa boleh memberhentikan kemahuannya termasuk Fatimah.

Rasa egonya pada masa itu melambung tinggi. Dia telah tiba pada satu tahap dan keputusan bahawa semua mata tertumpu kepadanya, terutamanya kaum Hawa. Dia merasa dirinya hansem dan merasa semua tumpuan hawa kepadanya. Dia tau ini menyakitkan Fatimah. Dia mau nikah lagi. Keputusannya mutamad, niatnya adalah kerana dia berada di posisi sebagai lelaki, tidak lain dari merasa dirinya hebat.

Dia lakukan semua kerana dia hanya mau kahwin lagi. Dan memang niatnya bukan mengikut jalur agama semuanya hanya semata-mata untuk memperlihatkan dia adalah seorang macho dan pemikat yang handal. Tapi itu hanya pendapat dirinya sendiri.

Fatimah telah membaca semua gerak Luqman. Mereka baru berkahwin dua tahun, Fatimah sedang mengandung anak pertama. Kandungan Fatimah masuk tujuh bulan. Tapi Luqman tak mempedulikan semua itu. Dia suka buat hal dia sendiri membiarkan Fatimah dengan masalah dirinya sendiri, kandungannya.

Bila Luqman memikirkan tentang itu masa ini, dia merasa sangat tertekan. Bagaimana dia telah menyakitkan hati Fatimah dan menyiksanya dengan sikap dan pelayanannya yang memang kurang baik terhadap Fatimah. Luqman tak dapat menyembunyikan kejahatannya terhadap isterinya, Fatimah. Sebagai manusia Fatimah juga terasa terluka.

Luqman pun tak segan memberitahu Fatimah, keinginan hebat dalam dirinya untuk nikah malah dia menunjukkan gambar dan whatsapp dirinya dengan wanita lain itu.

Perkahwinan mereka hampir berakhir. Tapi Fatimah masih berfikir panjang  dan juga memikirkan kandungannya dan dia tak punya energi untuk itu semua.

"Ya Rabbi, ampun."

"Bayangkan kalau aku mati sekarang."

Luqman melayan sakit sambil melayan fikirannya dan kerisauannya. Luqman rasa banyak berbohong dengan Fatimah. Ada orang bilang ada bohong kecil, bohong sunat dan bohong besar. Tapi sebenarnya semua serupa bohong. Luqman fikir, kalau dia berbohong hal-hal kecil tak akan merugikan keluarga. Jadi, kalau dia pulang lambat kerana bercanda dengan kawan-kawan di kedai kopi, itu bagi Luqman bohong kecil, juga berhelah dengan mengatakan banyak kerja di pejabat bercakap dengan pelanggan.

Tapi kini hati Luqman merasa bersalah dan sedar tentang hal itu hanya ketika dia sakit. Dia ingin merubah diri. Biarkan sakitnya sekarang ini sembuh dan akan memulai hidup semula dengan baik. Walaupun dia sedar, dalam hidupnya bersama Fatimah, bukan baru kali ini dia sakit. Tapi kali ini lain, dari yang lain, jiwanya bergemuruh. Ketakutan Luqman akan kematian itu kembali kepada dirinya. Dia tahu ini bukan pura-pura atau dibuat-buat atau dia lakukan supaya mententeramkan dirinya atau kerana rasa bersalah menghantui dirinya selama ini. Tapi Luqman tak ambil peduli. Barulah kali ini ketika Luqman terlayah tak bermaya, dia mulai memikirkan lagi perkara ini.

Luqman benar-benar merasa dia akan mati. Dia berdoa dia tidak mahu mati sebelum bertemu dengan Fatimah dan Suhail. Ini bukan melodrama yang pura-pura atau Luqman lakukan untuk menutup kelemahan dirinya sendiri. Rasa sakit bercampur dengan tekanan dan kemurungan menjadikan dirinya berada dalam keadaan yang sangat tertekan.

Petang itu Fatimah datang dengan Suhail, perlahan-lahan membuka pintu dan Luqman melihat kehadiran mereka berdua, tampak senyum sedikit di wajah Luqman. Walaupun rasa sakitnya masih belum berkurang.

Tapi masa itu juga Luqman ingin mengatakan keinginannya untuk Fatimah memaafkannya. Tapi Luqman seperti tak dapat mengucapkan dengan bahasa terator. Beberapa hari sudah Luqman terlentang di tempat tidur, dan seperti kehilangan ala tuju. Tiap kali Luqman ingin menerangkan kepada Fatimah, tapi bahasanya seperti tak dapat dimengerti.

Keputusan Fatimah memanggil Ambulance segera, dia tak lagi menunggu pendapat suaminya, masanya membuat keputusan dan bertindak dan inilah dilakukan Fatimah yang terbaik buat suaminya Luqman.

*Diterbitkan oleh Daily Express 28 November 2018


No comments:

Post a Comment